hati

Jiwa kental menginsafkan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Ada cerita menyayat hati lantas menyebabkan air mata mengalir tanpa diminta. Ada pula cerita yang mampu menguntum senyuman gembira. Ternyata kedua-duanya memberikan pengalaman paling bermakna serta kemanisan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Bagi Dr Nur Hanisah Zainoren, 24, Tuan Hissam Tuan Mamat, 35, Dr Wan Martina Wan Yusof dan Ustaz Hafizul Husni sepanjang lapan hari di Cox’s Bazar, Bangladesh bersama pelarian Rohingya memberikan pengalaman yang bercampur-baur. Dalam sedih ada gembiranya, dalam ceria terselit keinsafan yang perlu dijadikan ikhtibar.

Bertindak ingin memberikan sesuatu kepada pembaca terutama kehidupan masyarakat Rohingya di kem pelarian di sana mendorong keempat-empat mereka mencatatkan pengalaman berharga, kemudian digabungkan dalam naskhah buku berjudul Assalamualaikum, Rohingya!

Menurut Dr Nur Hanisah, sudah lama dia berhasrat melawat etnik Rohingya di Bangladesh bertujuan ingin melihat sendiri kehidupan mereka di sana. Apabila ada pihak menawarkan peluang bersama 13 individu lain, dia terus memberikan persetujuan.

“Kami bernaung di bawah Komuniti Kemanusiaan Malaysia dengan sembilan badan bukan kerajaan bergabung bersama. Usaha mencari dana turut diadakan dengan hasil kutipan RM200,000 yang disumbangkan daripada orang perseorangan dan badan korporat,” katanya yang juga graduan perubatan dari Universiti IMS di Bangalore, India.

Terkesan melihat kehidupan etnik Rohingya di sana, jelas Nur Hanisah, ketika menjejakkan kaki kali pertama di Cox’s Bazar dia terkesima melihat kedai di kiri dan kanan yang diusahakan pelarian. Ada kedai makanan, perhiasan, makanan ringan serta peralatan komunikasi.

“Saya terfikir dari mana mereka mendapat modal mengusahakan perniagaan. Selepas mendapatkan penjelasan baru saya faham ada antara mereka yang sememangnya berniaga, jadi sebelum melarikan diri ada yang sempat membawa sedikit barang perniagaan mereka dan mula berniaga di sini,” katanya.

Kemudahan awam juga banyak yang sudah didirikan seperti sekolah, madrasah, masjid dan hospital yang disumbangkan daripada orang ramai di seluruh dunia. Walaupun kehidupan mereka baru bermula, tetapi daripada riak wajah langsung tidak tergambar rasa sedih atau kecewa, sebaliknya penuh mensyukuri nikmat Allah yang tiada tandingannya.

“Saya dapat rasakan betapa mereka mempunyai ketahanan diri yang sangat tinggi. Keimanan yang kuat sehingga kesukaran yang dilalui tidak menimbulkan rasa kecewa atau sedih, sebaliknya mereka bangkit memulakan kehidupan baru demi untuk keluarga tercinta,” kata Nur Hanisah yang turut menghasilkan dua buku berjudul Selamat Datang ke Wad Tarbiah dan Aku Budak Medik 3.0.

Jelasnya lagi, antara sebab utama mengapa dia ingin menyertai misi kemanusiaan ke Bangladesh disebabkan ingin menyelami sendiri perasaan mereka. Melihat umat Islam yang ditindas dalam isu Palestin, Syria dan Rohingya membuatkan dia sedar perlunya usaha daripada umat Islam untuk membantu mereka.

“Tetapi apa yang berlaku sekarang isu ini seakan-akan dibiarkan saja sedangkan mereka umat Islam yang perlu dipelihara akidah mereka. Sebab itu saya tidak melepaskan peluang untuk turut serta berada di Bangladesh dengan harapan apabila melihat sendiri timbul rasa keinsafan dari dalam diri,” katanya.

Bagi Tuan Hissam pula, ketika menyatakan hasrat mengikuti misi kemanusiaan di Bangladesh, dia menerima pelbagai kecaman daripada mereka yang bertanyakan mengenai nasib rakyat tempatan yang perlu juga dibela. Tambahan pula, pada waktu itu adalah musim tengkujuh di Kelantan, jadi perasaan ketika itu sangat berbelah bagi.

“Secara peribadi isu Rohingya membawa makna mendalam kepada saya. Ia isu yang berpanjangan dan sebagai sukarelawan beragama Islam, penghapusan etnik tidak seharusnya berlaku. Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk bersama-sama menyelami perasaan mereka, sekali gus memberikan bantuan kemanusiaan. Sekurang-kurangnya dengan sedikit pertolongan ia mampu membuka mata pihak lain untuk turut serta membina kehidupan baru mereka di sini,” katanya.

Menurut Tuan Hissam apa yang disaksikan di bumi Bangladesh mengenai krisis kemanusiaan terburuk abad ini dengan hampir setengah juta manusia menyelamatkan diri daripada kekejaman askar Myanmar, semuanya dimuatkan dalam buku 117 halaman. Ini saja yang dapat dilakukan sebagai peninggalan untuk anak cucu di Malaysia terutama yang tidak pernah mengenali etnik Rohingya. Ia bermula dengan luahan di Facebook saja, tetapi selepas cetusan idea daripada Dr Nur Hanisah maka terhasillah buku Assalamualaikum Rohingya! yang mengambil masa tidak sampai empat bulan untuk disiapkan.

“Buku ini yang 100 peratus jualannya akan dikumpul untuk tabung pendidikan anak Rohingya. Saya melihat pentingnya meningkatkan taraf pendidikan supaya golongan pelarian dapat mengubah nasib mereka.,” katanya.

Buku Assalamualaikum Rohingya! boleh dibeli menerusi dalam talian pada harga RM25 atau melayari laman Facebook Assalamualaikum Rohingya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 1:05pm
d