hati

Bina jaringan usahawan online

Oleh Siti Zarinah Sahib

Hampir 10 tahun lalu Yienyee Soh adalah pembeli tegar yang mendapatkan barangan menerusi dalam talian. Namun ketika itu platform Facebook dan Instagram belum ada, jadi kebanyakan penjual terdiri daripada pelajar yang mendapatkan barangan mereka daripada pemborong dan menjual menerusi blogspot.

“Ketika itu penjualan menerusi dalam talian belum dikenali. Jika ada hanya membabitkan pengusaha terdiri daripada pelajar yang memulakan perniagaan dalam talian. Ini membuatkan mereka sangat popular dan laman sosial mereka mudah diterima ramai,” katanya.

Kegemaran dan minat terhadap barangan dalam talian membuatkan Yienyee terfikir alangkah baiknya sekiranya dia boleh melakukan sesuatu supaya tidak hanya menjadi pembeli, sebaliknya menyumbangkan sesuatu untuk usahawan ini.

“Saya meneliti semua blogspot yang ada dan ia terlalu berserabut. Jadi saya cuba menyiapkan satu portal sendiri yang lebih berkesan, mesra dan mudah digunakan. Peniaga dan pembeli pula sangat rapat sehingga saya boleh membuka bazar membabitkan mereka. Pengguna semakin ramai berkongsi mengenai fesyen, malangnya blogspot tidak bertahan lama. Selepas dua tahun biasanya akan ditutup,”katanya.

Merasakan ia sangat merugikan kerana pembelian menerusi dalam talian memudahkan pengguna, Yienyee bertemu rakan, Luqman Adris enam tahun lalu untuk menghasilkan portal yang lebih besar, Avana.

Jelasnya, Avana menyediakan platform e-dagang menerusi jaringan media sosial seperti Facebook dan Instagram, selain modul latihan kepada usahawan terbabit memulakan perniagaan di media sosial termasuk pengurusan pemasaran dan perniagaan secara dalam talian.

“Kami mempunyai pengalaman luas dan mahir dalam membina platform e-dagang dan pengendalian kursus dalam industri pemasaran digital, media sosial dan perniagaan atas talian.

“Platform ini membantu peniaga menjalankan perniagaan dalam talian mereka dengan cara sistematik, kedai dalam talian profesional dan dilengkapi sistem pengurusan inventori, pengurusan pesanan berserta integrasi gerbang pembayaran percuma kurang dari 15 minit.

“Ini membolehkan peniaga menggunakan pelbagai saluran jualan dan menggabungkan usaha pemasaran mereka menguruskan pesanan dan inventori dalam satu sistem berpusat dan pada masa sama, memantau perkembangan perniagaan masing-masing,” katanya.

CABARAN DIHADAPI

Walaupun berpengalaman dalam teknologi terutama media sosial, wanita ini menjelaskan, cabaran dihadapi tetap ada.

“Sejak penubuhan Avana saya mempunyai dua harapan penting yang perlu ditunaikan iaitu membantu usahawan menjalankan perniagaan serta mempertahankan perniagaan mereka sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga tahun akan datang.

“Sekiranya bisnes sudah bertahan, saya mahu mengembangkan perniagaan sehingga ke luar negara. Memang nampak sukar, tetapi dengan adanya struktur dan modal bisnes semuanya mampu dilakukan,” katanya yang kini mempunyai 25 kakitangan bagi membantu memberikan latihan kepada usahawan.

Sepanjang Ramadan lalu, Avana menyediakan platform webinar dengan menjemput mereka yang mahir dalam industri bagi memberikan seminar menerusi dalam talian.

“Ia membantu melonjakkan hasil jualan terutama busana Muslimah. Kami beritahu mereka sekiranya gambar cantik dengan model menarik, sudah pasti produk mendapat sambutan. Gambar sangat penting kerana ia memberi kekuatan untuk diterima ramai,” katanya.

Jelasnya lagi, selepas Ramadan sepatutnya usahawan mempunyai asas perniagaan bagi memantapkan lagi usaha mereka. Bukan hanya cemerlang ketika bulan puasa saja, sebaliknya jualan perlu konsisten.

“Dalam perniagaan perlu ada keuntungan. Jika tidak sukar untuk diteruskan. Keuntungan dikira selepas ditolak semua kos walaupun kosnya kecil. Ini sistem dalam perniagaan dan ia sangat penting bagi membolehkan usahawan tahu stok yang kurang, baju yang mendapat permintaan ramai serta rekaan yang boleh dihadkan atau ditambah,” katanya.

Menghasilkan komuniti untuk says.com dan beberapa laman web lain, Yienyee berharap dapat mencari lebih ramai rakan niaga yang ingin bersama-sama memajukan perniagaan mereka.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 1:11pm
d