hati

3 bulan rancang program

Oleh Kusyi Hirdan

Tarikh 10 Jun 2018, bandar diraja Kuala Kangsar belum lagi sibuk kerana Ramadan masih ada berbaki hampir seminggu sebelum tibanya Syawal. Kenderaan yang melewati jalan di depan jam besar mercu tanda bandar itu juga berjalan lancar. Namun pada petang Ahad itu, keadaan mula berubah.

Sekitar jam 4 petang, dalam panas terik membahang, kira-kira 20 orang lelaki dan wanita memakai jaket berwarna oren mula sibuk ‘bekerja’. Mereka menahan kereta yang lalu lalang, memberi salam dan mengucapkan selamat berbuka serta hari raya.

Setiap kenderaan yang berhenti menerima sebatang lemang dan sebungkus rendang! Rupa-rupanya sekumpulan sahabat mengagihkan sedekah sempena Ramadan dan Syawal.

“Program ini kami rancang lebih tiga bulan lalu. Saya dan rakan daripada kumpulan amal Superfrends menyasarkan mengumpul 500 batang lemang dan rendang untuk diagihkan sebagai sedekah jalanan pada penghujung Ramadan tanpa mengira bangsa dan agama penerima,” kata Zul Haron, antara pengasas kumpulan perancang program.

Penerima terdiri daripada orang yang melalui jalan itu dengan berkereta, bermotosikal atau berjalan kaki. Malah Superfrends juga memikirkan cara supaya pekedai yang ada di bandar itu turut menerima sumbangan.

“Tentu mereka sukar nak datang kerana perlu menjaga kedai. Bertepatan dengan misi agihan ini sebagai dakwah, kami mahu mereka turut merasainya. Jadi kami wujudkan agihan melalui motosikal yang dipanggil ‘rider’. Rider ini ditugaskan mengagihkan lebih kurang 100 batang lemang dan rendang kepada pekedai yang ada,” katanya.

Zul tidak menafikan, ada pengguna jalan raya bukan Islam yang menolak pemberian lemang itu kerana risau terselindung agenda agama. Namun selepas diterangkan ia adalah pemberian ikhlas demi meraikan Ramadan dan Syawal, barulah mereka menerimanya dengan senang hati.

Suasana jalan raya menjadi agak sibuk tetapi terkawal. Sekitar setengah jam saja, 500 batang lemang habis diagihkan dan yang datang sedikit lewat pulang dengan kecewa.

“Walaupun proses agihan sekitar setengah jam tetapi dari hari sebelumnya sukarelawan kami sudah bekerja keras. Mereka bergotong-royong memasak rendang dan membungkusnya. Mereka juga berganti-ganti mengikuti program lain seperti agihan 300 pek kuih raya dan hamper raya. Memang mencabar sungguh memandangkan aktiviti ini dilakukan pada bulan puasa. Tetapi, Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sebenarnya, orang yang bertanggungjawab sebagai ketua bagi mengumpul 500 batang lemang itu ialah Raja Rahmah Raja Yaacob. Dia juga bertanggungjawab mencari pembekal lemang, menyediakan kumpulan memasak dan mengumpul sukarelawan untuk membantu.

Bukan mudah untuk mengumpul sumbangan 500 batang lemang dan rendang yang bernilai RM10 satu set. Justeru, saban hari Raja Rahmah tidak putus asa mempromosikan program itu di laman sosial.

“Apabila orang sudah mula memberi sumbangan, kita lagi seronok dan semakin bersemangat menghebahkan program ini kepada semua keluarga dan kenalan. Ada yang menaja 10 batang, 20 batang atau lebih. Sedikit pun kami terima.”

Asalnya Raja Rahmah dan kawan-kawannya mahu mengumpul 400 batang saja. Namun selepas mencapai sasaran itu, ia ditambah 100 batang lagi.

“Sebenarnya masa saya dan kumpulan mula menempah lemang, kami belum cukup dana lagi. Tetapi kami dengan beraninya tempah 400 batang. Alhamdulillah, dapat juga kami mencapai sasaran,” kenang Raja Rahmah.

Hatinya risau dalam menghitung hari selagi program belum terlaksana. Selepas semuanya selesai, barulah dia berasa lega.

Syafiqah Sorberi, sukarelawan yang membantu mengagihkan lemang menggunakan motosikal dan menjadi rider memberitahu, dia mendapat pengalaman yang sangat bernilai.

“Syukur selesai semuanya. Pengalaman yang sangat bernilai bagi saya. Terima kasih kepada Puteri Nurul Syahirah Raslan kerana membawa saya dalam aktiviti ini. Semoga Allah permudahkan urusan berdakwah kita semua,” katanya.

Syafiqah dan Puteri perlu berulang-alik mengambil stok lemang kerana mereka hanya mampu membawa sekitar 10 batang setiap kali pusingan.

Amirah Aznam pula mengakui, cuaca yang sangat panas begitu mencabar tetapi semangatnya masih kuat.

“Moga panas yang kami semua redah, semalam diredai-Nya. Saya terfikir, bagaimanalah Rasulullah SAW dan sahabat bertarung nyawa dalam Perang Badar sambil berpuasa pula. Tidak terbayangkan. Pengalaman sebagai sukarelawan hari ini membawa pengetahuan berharga. Alhamdulillah, saya sangat seronok dua hari bersama Superfrends. Insya-Allah mahu turut serta lagi dalam program amal akan datang,” katanya.

Omar Farhan Nordin antara yang terbabit dari mula sehingga berakhirnya program agihan kuih raya dan lemang amal itu. Dia mengakui letih yang berbeza kerana bulan puasa kali ini cuacanya sangat panas. Namun Omar bertahan dan tetap bekerja keras membantu mengangkat 500 lemang yang sememangnya berat.

“Mengikuti aktiviti ini banyak mengajar saya erti kehidupan dan kesabaran. Semoga pertolongan saya dan semua sukarelawan yang hadir pada masa itu diterima oleh Allah SWT,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 1:54pm
d