hati

Kenali struktur kulit untuk cantik

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tidak kira wanita mahupun lelaki, ramai yang mahu cantik dengan mudah dan menjadikan alasan letih serta tidak cukup masa sehingga sanggup melakukan tindakan yang membahayakan kulit.

Ada juga yang bersikap acuh tidak acuh dengan mencuba satu persatu produk kecantikan wajah di pasaran tanpa mengenali sendiri jenis masalah wajah dan struktur kulit.

Bagi mengetahui panduan mengenai penjagaan kulit supaya kekal cantik dan sihat dengan lebih tepat, setiap individu itu perlu mengetahui serba sedikit mengenai struktur kulit.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kulit terbentuk daripada tiga lapisan iaitu lapisan pertama dipanggil epidermis, yang terbentuk daripada keratin yang keras.

Lapisan kedua pula dipanggil dermis yang mengandungi kolagen, fibroblas dan gentian kenyal. Ia dipenuhi dengan hujung saraf dan salur darah serta mengandungi kelenjar minyak dan kelenjar peluh. Kelenjar minyak menghasilkan sebum iaitu sejenis bahan yang berminyak.

Manakala lapisan ketiga iaitu bahagian kulit paling dalam terdiri daripada sel lemak iaitu tisu di bawah kulit tisu subkutaneus. Kulit berfungsi sebagai penghalang untuk mempertahankan kemasukan bahan berbahaya dan mikro organisma.

Pada masa sama, ia turut melindungi organ dalaman daripada kecederaan dan mengawal suhu badan melalui perpeluhan. Kulit boleh berubah secara fisiologi apabila menjelang dewasa terutama selepas akil baligh.

Terdapat beberapa perubahan yang akan berlaku kepada kulit seperti:

1. Hormon merangsang kelenjar minyak untuk menjadi aktif. Ini menyebabkan penghasilan sebum bertambah terutama bagi remaja lelaki. Hasilnya, muka dan rambut menjadi amat berminyak serta kulit wajah berjerawat.

2. Kelenjar peluh mula dikeluarkan semasa akil baligh. Kelenjar ini terletak di ketiak dan kawasan kemaluan.

3. Peluh daripada kelenjar berkenaan akan bergabung dengan bakteria di bahagian permukaan kulit dan menghasilkan bau badan.

Kulit yang cantik dan menjadi idaman kebanyakan individu adalah licin, tegang, anjal dan tampak kemerah-merahan. Selain itu, ramai juga yang menginginkan kulit mereka bebas daripada jerawat dan kering.

Tidak kurang juga ada sesetengah daripada individu yang mahu memiliki kulit muka normal iaitu lingkungan kulit kering ke berminyak. Namun, perlu diketahui nilai pH yang normal pada kulit adalah 4.2 hingga 5.6 bagi memastikan ia sentiasa sihat dan bersih.

Nilai pH pada kulit boleh dikekalkan melalui pengeluaran sebum dan perpeluhan. Ia berperanan membantu mengekalkan bahagian kulit luar daripada merekah.

Nilai pH kulit yang normal dan seimbang juga membantu menyekat pertumbuhan bakteria yang menjadi penyebab kepada beberapa masalah termasuk jerawat.

PANDUAN MILIKI KULIT SIHAT

Bagi memastikan kesihatan dan kecantikan kulit sentiasa terjaga, beberapa langkah perlu diambil antaranya:

1. Membersihkan kulit

Mandi satu ke dua kali sehari, lebih lagi sekiranya badan berpeluh dengan banyak.

Sabun tidak memudarat­kan, tetapi penggunaannya secara berlebihan boleh menyebabkan kulit kering kerana ia menyingkirkan sebum.

Penggunaan air panas boleh menyebabkan kulit kering.

Guna sabun atau pencuci yang lembut jika mempunyai kulit kering.

Bagi kulit sensitif, elakkan sabun atau pencuci yang mengandungi wangian dan pewarna kerana ia boleh menyebabkan radang kulit.

2. Gunakan pelembap selepas mandi

Pelembap membantu mengekalkan kelembapan kulit. Minyak bayi boleh digunakan untuk kulit yang kering. Bagi kulit berminyak, tidak perlu menggunakan pelembap.

3. Gunakan penyegar

Penyegar berfungsi untuk menutup liang roma terutama bagi anda yang mempunyai kulit berminyak. Ia membuat kulit menjadi kering serta mengecutkan liang roma.

4. Gunakan bahan pelembap mata

Ini antara kaedah penjagaan yang sering dipinggirkan. Penggunaan bahan pelembap di sekeliling kelopak mata boleh mengurangkan keradangan pada kulit mata yang nipis dan sensitif.

5. Jaga kebersihan diri

Salin dan pakai pakaian bersih sekerap mungkin.

6. Lindungi kulit daripada cahaya matahari

Kulit menjadi rosak jika terdedah kepada cahaya matahari. Gunakan krim pelindung matahari bila perlu.

Pelindung matahari perlu disapu semula selepas dua hingga tiga jam selepas berenang.

7. Bersenam secara berkala

Senaman adalah kaedah yang paling mudah dan murah untuk menjaga kesihatan dan kecantikan. Senaman secara berkala akan melancarkan perjalanan darah ke seluruh organ termasuk kulit untuk mengekalkan kesihatan kulit.

8. Amalkan diet seimbang

Makanan yang seimbang amat penting dan ia mestilah mengandungi sumber protein, karbohidrat, serat, lemak, vitamin dan mineral. Namun untuk mendapatkan kulit yang cantik, lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang kaya dengan pelbagai jenis vitamin serta antioksidan.

9. Tidak merokok

Bahan berbahaya yang terdapat dalam asap rokok boleh menyebabkan kulit cepat berkedut selain menyebabkan kanser.

10. Minum air lapan gelas sehari

Banyak meminum air kosong bagi menambah kelembapan kulit.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 9:44am
d