hati

Ajak kanak-kanak main bola sepak

Oleh HM Digital

Bersukan bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi memberikan banyak kebaikan kepada individu. Selain meningkatkan daya koordinasi dan keyakinan diri, bermain secara berkumpulan dapat memupuk kemahiran sosial. Malah sukan seperti bola sepak secara tidak langsung mengajar kanak-kanak mengenai nilai bertolak ansur dan kerjasama yang menjadi aspek penting dalam membentuk keperibadian kanak-kanak apabila mereka dewasa kelak.

Sesuai sambutan Piala Dunia 2018, yang sedang berlangsung sekarang adalah masa sesuai menanam minat aktif bersukan dalam diri kanak-kanak. Oleh itu peluang ini digunakan sepenuhnya oleh KidZania apabila menganjurkan KidZania SportZ buat kedua kalinya bagi menggalakkan kanak-kanak untuk mempelajari nilai kehidupan hari ini.

Sebagai meraikan peminat cilik bola sepak di Malaysia, bermula dari 9 Jun hingga 8 Julai ini, KidZania SportZ 2018 akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya sesi futsal, foosball dan permainan yang disukai ramai, Subbuteo. Pada masa sama KidZania turut menampilkan Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia dan bengkel bola sepak eksklusif bersama pasukan Akar Umbi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur Shahrul Nizar Ahmad, memandangkan kehangatan bola sepak sudah dirasai, KidZania yakin ini adalah masa sesuai menanam minat aktif bersukan dalam diri kanak-kanak.

“Aktiviti yang diadakan ini juga bertujuan membolehkan kanak-kanak dan seisi keluarga mempelajari lebih lanjut mengenai bola sepak orang buta dan cuba nasib menjaringkan gol dengan mata ditutup dalam satu sesi perlawanan khas bersama Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia. Bukan itu saja, mereka juga berpeluang menjalani latihan bersama pakar bola sepak daripada Akar Umbi FAM dalam satu bengkel eksklusif,” katanya.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai acara seperti latihan menggelecek dalam perlawanan 2V2, atau cuba menjaringkan gol dengan mata ditutup. Foosball pula adalah permainan yang menguji koordinasi tangan dan mata dan sesuai untuk semua peringkat umur serta permainan video bola sepak alam maya yang pastinya membuatkan pemain berasa seperti berada di atas padang.

Turut hadir ketika perasmian adalah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang melahirkan rasa gembira dengan aktiviti anjuran KidZania ini.

“Kami berbesar hati dapat memberikan sokongan dan menggalakkan minat kanak-kanak dalam sukan bola sepak menerusi program KidZania SportZ ini. Inisiatif seperti ini dapat meningkatkan lagi penghargaan orang awam terhadap bola sepak dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk mula bermain bola sepak. Kejayaan dalam bola sepak bermula dari akar umbi,” katanya.

KidZania SportZ 2018 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik lain untuk disertai seisi keluarga, antaranya, sukan berbasikal, ping pong, aktiviti robot, memanah dan juga papan luncur jari.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 11:51am
d