hati

Asing 70 peratus untuk simpanan

Oleh HM Digital

Mengenang kembali pemberian duit raya pada zaman dulu dengan sekarang amat jauh bezanya. Seingat penulis sekitar awal 1980-an duit raya diterima tidaklah seperti sekarang sehingga jumlahnya mencecah ratusan dan ribuan ringgit.

Besar atau kecil jumlahnya pemberian duit raya ini ia seakan-akan sudah menjadi satu budaya. Malah sebagai ibu bapa atau individu yang sudah bekerja pasti menyediakan bajet untuk diberikan kepada sanak saudara atau anak-anak tetamu yang berkunjung ke rumah.

Pastinya pengalaman menjadi kanak-kanak adalah sama untuk setiap individu. Berkunjung ke rumah saudara-mara dan jiran tetangga bukannya untuk menikmati ketupat, rendang dan kuih-muih, tetapi menunggu duit raya. Malah ada yang sanggup beraya sehingga ke petang biarpun tidak mengenali tuan rumah semata-mata ingin menambah jumlah pungutan duit raya.

Kebiasaannya duit raya akan diberikan kepada ibu untuk disimpan. Ada juga membelikan barang keperluan atau mainan anak-anak sekiranya peralatan itu agak mahal. Bagaimana menguruskan duit raya kerana ada kanak-kanak yang menerima sehingga ribuan ringgit? Jika disimpan sudah pasti jumlahnya sudah mencecah belasan ribu apabila mereka berada di penghujung usia belasan tahun.

Menurut Perunding Motivasi Keibubapaan Zaid Mohamad, duit raya diibaratkan sebagai ‘durian runtuh’ kepada anak-anak. Ia boleh disamakan dengan situasi orang dewasa menerima bayaran bonus. Dalam kedua-dua senario, jumlah yang diterima adalah lebih banyak daripada biasa. Ini sudah tentu mendorong nafsu untuk berbelanja lebih besar dan sekiranya nafsu tidak dikawal, jumlah yang besar itu akan habis dalam sekelip mata.

“Oleh itu amat penting anak diajar menguruskan duit raya mereka supaya tidak dibelanjakan dengan membeli pelbagai barang tidak berfaedah seperti mainan, mercun atau menonton filem. Tidak salah membelanjakannya, namun ibu bapa perlu mengajar anak menyayangi duit itu dan berbelanja setakat 30 peratus sahaja. Baki 70 peratus lagi hendaklah disimpan di dalam akaun bank. Inilah masanya untuk menambahkan jumlah simpanan dengan cepat,” katanya.

Jelas Zaid, kebiasaannya duit raya diterima bermula pada awal usia kecil sehingga mereka menuntut di pusat pengajian tinggi. Malah ada yang masih menerima duit raya selagi belum berumah tangga. Dalam hal ini pengurusan duit raya berbeza mengikut usia anak-anak.

“Bagi yang masih kecil contohnya di bawah usia enam tahun, ibu bapa boleh membantu mereka menyimpannya, tetapi perlu diperjelaskan dengan baik. Asingkan dan kumpulkan duit mereka di dalam sampul tersendiri. Bersabarlah sedikit jika anak asyik bertanya berapakah jumlah duit raya mereka. Mereka pasti akan bertanya beberapa kali sehari,” katanya.

Bagi yang sudah bersekolah rendah, buka akaun bank atas nama mereka dan bawa anak menabung selepas musim raya nanti manakala yang sudah bersekolah menengah pastinya wang itu disimpan di dalam akaun masing-masing. Ibu bapa yang berkemampuan boleh menggandakan jumlah simpanan mereka sebagai motivasi. Ajar juga anak-anak agar tidak membuang sampul duit raya, sebaliknya, menggalakkan mereka mengumpul dan mengitar semula.

Sekiranya ibu bapa ingin memberikan duit raya kepada anak-anak pastikan hanya 30 peratus dibelanjakan. Namun begitu, disiplin kewangan juga harus ditanam iaitu dengan membeli barang di dalam kemampuan.

“Seeloknya belilah barang permainan bukannya barang keperluan. Ini kerana barang keperluan adalah tanggungjawab ibu bapa dan tidak adil bagi mereka membelanjakan duit raya untuk membelinya. Berikan sedikit keseronokan dengan mendapatkan permainan yang amat diingini mereka kerana itu adalah hak sebagai kanak-kanak,” katanya.

ADAB TERIMA DUIT RAYA

Mengenai jumlah pemberian duit raya, seawal usia ibu bapa harus menekankan aspek keikhlasan dan rezeki kepada anak-anak. Tanamkan rasa bersyukur dengan setiap wang diterima. Katakan kepada mereka bukan jumlah yang dipentingkan tetapi tanda ingatan adalah paling utama.

“Besar atau kecil jumlahnya tidak menjadi isu sebaliknya pesan kepada anak untuk menghargai setiap duit raya diterima walaupun jumlahnya RM1. Seperti peribahasa sikit-sikit lama-lama jadi bukit, pastikan anak-anak menghargai wang ini dan menyimpan dengan baik, bukannya dibiarkan bersepah.

“Tukarkan wang kecil mereka dengan wang kertas lebih besar nilainya seperti RM5 atau RM10. Ini mungkin akan menimbulkan motivasi tambahan untuk mereka menghargai wang RM1 tadi,” katanya.

Paling penting jelas Zaid, ajarkan anak mengenai tujuan utama menziarahi tetamu iaitu untuk menghubungkan silaturahim. Duit raya hanyalah sampingan dan bukannya objektif utama. Jika tuan rumah menghulurkannya, anak-anak perlu diajar bersyukur dan berterima kasih.

Memberi duit raya adalah hak tuan rumah. Anak-anak yang bertamu tidak boleh meminta-minta manakala kewajipan tuan rumah pula adalah melayan tetamu sebaik mungkin mengikut kadar kemampuan mereka.

“Dalam hal ini pastikan anak-anak faham duit raya adalah sedekah ikhlas tuan rumah dan sepatutnya mereka bersyukur apabila menerimanya, walaupun dalam jumlah kecil berbanding di tempat lain. Pengajaran sebegini boleh memperbetulkan persepsi anak-anak kecil mengenai rumah terbuka dan duit raya,” kata pengarang buku terlaris Ibu bapa Bijak, Anak Hebat dan Ibu Bapa Bijak, Anak Mewah.

Mengenai ada ibu bapa yang merendah-rendahkan pemberian duit raya tetamu seperti yang tular di laman sosial kerana terlalu sedikit, jelas Zaid ia tidak seharusnya berlaku. Ini kerana anak-anak akan belajar perkara negatif daripada perbuatan ibu bapa mereka. Ia juga seolah-olah merendahkan kemampuan orang lain dan menafikan konsep keikhlasan itu sendiri.

“Hal ini boleh menimbulkan perasaan riak dan takbur jika ibu bapa mampu memberikan jumlah yang lebih tinggi. Anak-anak akan belajar mengukur konsep hari raya dengan jumlah duit raya. Ini bertentangan dengan perintah agama yang menganjurkan bulan puasa dan hari raya sebagai salah satu cara menginsafkan diri menerusi insan yang serba kekurangan.

“Sepatutnya hari raya diraikan dengan penuh kesederhanaan dan kesyukuran akan segala nikmat yang diberikan Tuhan, walaupun ia tidak seberapa. Syawal ini tidak wajar dicemarkan dengan sifat kebendaan dan kemewahan,” katanya.

SIMPAN DUIT RAYA ANAK

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata, Nurhuda Khalid, sejak anak berusia setahun dia sudah mula membuka akaun simpanan untuk anak-anaknya Julia Natasha Nadzir, 17, Jasmin Liana, 15 dan Juliana Alisa, 12. Setiap tahun menjelang Syawal mereka menerima duit raya tidak kurang RM2,000 seorang yang diterima daripada saudara mara, rakan-rakan dan jiran tetangga.

“Semua duit ini saya simpan di dalam akaun simpanan dan hanya akan dikeluarkan untuk keperluan mereka apabila dewasa nanti. Namun pernah juga mereka meminta untuk membeli keperluan sendiri. Biasanya untuk barang keperluan peribadi saya tidak menggalakkan mereka menggunakan duit raya kerana ia sememangnya tanggungjawab saya menyediakannya,” katanya.

Tambah Nurhuda, Julia dan Juliana pandai berjimat dan menyimpan kesemua duit raya mereka berbanding anak kedua Jasmin Liana yang sedikit boros dan gemar menggunakan duit raya untuk membeli makanan kegemarannya.

Sebagai ibu, walaupun anak-anaknya sering menerima duit raya dalam jumlah yang banyak namun sejak kecil dia sering menasihati mereka supaya menjaga adab ketika menerimanya.

“Pernah mereka terus membuka sampul duit raya di hadapan tetamu, saya menegur dan mengatakan perbuatan ini tidak baik. Seharusnya sampul duit raya dibuka di rumah dan bersyukur menerimanya walaupun jumlah di dalamnya kecil. Saya juga menerangkan hari raya bukan bertujuan mengumpul duit raya sebaliknya masa untuk bertemu saudara-mara dan peluang mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Mengimbas ketika anak-anak masih kecil, Nurhuda memberitahu dahulu mereka sangat teruja untuk mengetahui jumlah duit raya diterima. Tetapi apabila usia meningkat remaja keterujaan itu semakin berkurangan. Kadang-kadang sehingga sebulan duit masih di dalam sampulnya.

“Bagi saya duit raya adalah hak anak-anak, namun ibu bapa perlu memantau apa yang dilakukan anak-anak dengan duit raya itu. Menyimpan untuk masa depan adalah cara terbaik bagi menambah simpanan mereka. Ada juga ibu bapa menggunakan duit raya untuk membeli keperluan anak-anak. Mungkin yang kurang berkemampuan tidak salah menggunakannya asalkan memberitahu kepada mereka dan berjanji akan menggantikannya semula,” katanya. - Siti Zarinah Sahib

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 11:58am
d