hati

Cari kaedah elak bayi tak selesa

Oleh Siti Zarinah Sahib

Sebaik melahirkan cahaya mata ibu selalu berpesan supaya tidak lupa menyapukan minyak angin pada perut bayi selepas mandi dan memakaikan barut sepanjang masa. Petua ini bagi mengelak bayi kembung dan menangis sepanjang malam.

Ini kerana untuk tiga bulan pertama selepas kelahiran kebiasaannya bayi mudah mengalami kembung. Ia ditandai dengan tangisan berpanjangan dan tubuh berada dalam keadaan tidak selesa.

Walaupun diberi susu sama ada susu ibu atau formula, ia tidak dapat memberikan kelegaan kepada si kecil. Keadaan ini membuatkan si ibu menjadi tertekan kerana tidak dapat tidur lena.

Kembung perut jika tidak dirawat akan menyebabkan sawan tangis pada si kecil. Oleh itu amat perlu mengetahui penyebab kepada tangisan bayi. Adakah bayi lapar, panas, lampin basah atau disebabkan kembung.

Kembung juga berlaku disebabkan cara menyusu menggunakan botol yang salah dan saiz lubang puting yang terlalu kecil. Bayi juga seharusnya disendawakan sejurus selepas diberi susu bagi mengelak kembung. Ibu pula harus mengelak mengambil makanan berangin sekiranya menyusukan bayi sepenuhnya kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

Sebagai ibu bapa, pastinya akan mencari kaedah bagi mengelak ketidakselesaan pada si kecil. Tetapi ada sesetengah keadaan biasa dalam kalangan anak kecil yang memberikan tekanan pada ibu bapa.

Contohnya, refluks gastro-esofageal, turut dikenali GER, yang biasa dihadapi anak kecil, yang mengakibatkan bayi kerap meluah atau muntah selepas menyusu dan biasanya dialami bersama sakit perut atau merengek selama berjam-jam selepas menyusu.

Menurut Pengarah Urusan Hong Yang Hoo Pharma Sdn Bhd, yang juga pendukung urutan bayi, June Choo, GER dianggap perkara biasa terutama dalam masa beberapa minggu dan bulan pertama kelahiran bayi. Ia disebabkan cincin otot pada dasar esofagus belum cukup matang sekali gus mengakibatkan sebahagian gabungan makanan, minuman dan asid daripada perut bayi yang sepatutnya disalurkan ke usus naik semula menerusi esofagus.

“Oleh sebab gejala dan tanda GER seakan serupa dengan kembung, ini menyebabkan ramai ibu menyangka GER adalah gejala kembung perut. Dalam budaya Cina, GER dalam istilah bahasa percakapan dikenali sebagai ‘tangisan 100 hari’ kerana ia biasanya berlaku dalam 100 hari pertama selepas kelahiran bayi,” katanya.

BELAJAR JENIS URUTAN

Berdasarkan pengetahuan dalam bidang ini selepas mengambil kursus anjuran Persatuan Urutan Bayi Antarabangsa (IAIM) di Australia, June berkongsi beberapa petua urutan bayi yang boleh membantu melegakan bayi, termasuk si kecil yang kerap berasa tidak sedap perut.

Selain itu, kajian mencadangkan bahawa urutan bayi juga memberikan manfaat tambahan, seperti membolehkan ibu membelai dan meluangkan masa dengan anak, membantu si kecil bertenang dan tidur lena, mempengaruhi secara positif hormon bayi yang mengawal stres dan menggalakkan tumbesaran bagi bayi pramatang.

Untuk melegakan masalah kembung perut, antara kaedah yang boleh membantu adalah mengurut perlahan perut bayi selama beberapa minit menggunakan minyak (tidak panas dan selesa) untuk kulit si kecil. Antara langkah yang boleh diikuti adalah:

1. Urutan atas ke bawah

Hangatkan minyak menggunakan tangan sehingga mencecah suhu badan. Bercakap dengan bayi sebelum melakukan urutan kerana ia sebahagian daripada proses yang boleh mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi. Gaya urutan perut yang popular ialah gerakan menghala ke bawah (seperti dalam gambar).

Caranya, letakkan kedua-dua tangan pada perut bayi dan secara perlahan tolak ke bawah dengan sedikit tekanan. Ia membantu membuang angin dalam perut bayi menerusi saluran usus. Anda boleh melakukan kira-kira empat hingga enam pusingan bagi gaya ini tetapi perhatikan reaksi bayi terhadap urutan sebelum meneruskannya.

2. Urutan ‘I Love U’

Gaya urutan ini istimewa. Dinamakan ‘I Love You’ kerana mewakili satu set tiga langkah berterusan yang meniru bentuk huruf ‘I’, ‘L’ dan ‘U’. Urutan ini sesuai untuk bayi yang mempunyai angin berlebihan dalam perut ataupun sembelit dan diilhamkan menurut susunan usus bayi yang terlilit mengikut arah jam.

Huruf pertama ‘I’ memerlukan anda meletakkan tangan pada bahagian kanan perut bayi dan mengurut ke bawah seperti bentuk huruf ‘I’. Kemudian teruskan dengan huruf ‘L’ dengan meletakkan tangan pada perut bayi dan perlahan-lahan tolak ke arah kanan secara mendatar kemudian menuju ke bawah, mengikut arah dalam ke luar, seakan membentuk huruf ‘L’ terbalik.

Untuk huruf ‘U’, gerakannya seakan bentuk huruf ‘U’ terbalik, bermula daripada usus kecil menghala ke luar. Jadi, daripada ‘I’ ke ‘L’ ke ‘U’, gerakan urutan membantu mencipta gerakan menolak bagi membantu bayi menyahkan angin atau melegakan sembelit, tetapi kita harus sentiasa ingat bahawa ia perlu dilakukan secara lembut.

Lakukan empat hingga enam urutan ‘I Love You’ bagi setiap sesi untuk mendapatkan hasilnya, tetapi seperti gaya urutan lain, ia bergantung kepada reaksi si kecil, sama ada dia menerima urutan berkenaan.

Untuk proses urutan ini lakukan menggunakan minyak yang dapat membantu melegakan kembung perut. Antaranya adalah Minyak Daun Ubat TYT beraroma lembut dan menenangkan serta sesuai untuk kulit bayi yang halus. Ia tidak berminyak, meresap sepenuhnya ke dalam kulit dan boleh dibasuh daripada pakaian.

Diformulasi berasaskan resipi berkurun yang diwarisi daripada nenek moyang June, lapan bahan ramuan utama seperti daun sembung, dong quai, Arborvitae Cina, sirih, serai, halia, kulit pokok gaharu dan minyak kelapa sawit yang dididihkan bersama selama berjam-jam untuk menghasilkan minyak tradisional pelbagai fungsi.

Mendapat pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP) daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan disahkan halal oleh JAKIM.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 12:58pm
d