hati

Sebar ilmu perniagaan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Pernah berasa detik sukar untuk memulakan perniagaan dek kekurangan ilmu dalam bidang itu dan sering tidak dilayan apabila bertanyakan kepada individu yang mahir, menjadikan wanita gigih ini berazam membuktikan dirinya juga boleh berjaya.

Memang kecewa apabila berdepan dengan orang yang kedekut ilmu dan disebabkan pengalaman pahit itu, dia menyimpan hasrat membantu individu yang mahu memulakan perniagaan, namun tidak mengetahui selok-belok bidang itu.

Ternyata, kesabaran dan ketekunan, Nor Zaleha Hasan Basri, membuahkan hasil apabila dia kini bukan saja mampu tersenyum gembira kerana berjaya mengendalikan perniagaannya sendiri, namun dalam masa sama giat membantu wanita dan belia yang sedang tercari-cari arah memulakan perniagaan.

Menurut Nor Zaleha, dia menubuhkan kelas khas itu yang memberikan khidmat tunjuk ajar peribadi mengenai penggunaan pengiklanan laman Facebook (FB) selain selok-belok dunia perniagaan khusus kepada individu yang mahu mula berniaga.

“Setiap sesi tunjuk ajar memakan masa tiga hingga empat jam sehingga individu itu faham sepenuhnya mengenai bidang yang mahu diceburinya kerana saya memberi penjelasan terperinci dan menyeluruh.

“Menggunakan pengalaman bertapak dalam bidang ini selain mempelajari selok-belok perniagaan dan pemasaran daripada individu mahir dari dalam dan luar negara selama lebih tiga tahun menjadikan saya mahu berkongsi semua yang saya ada dengan orang lain,” katanya.

Dia yang juga lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik berkata, ‘kelas’ tunjuk ajar dijalankan di lokasi yang dipersetujui bagi memastikan sesi itu berjalan dengan mudah dan selesa.

“Saya berusaha memberikan kefahaman sepenuhnya mengenai selok-belok pemasaran terutama menggunakan FB kerana kini hampir semua orang mempunyai telefon pintar dan akaun laman media sosial itu. Jadi peluang anda berniaga dan mendapat pelanggan sangat luas.

“Disebabkan kini segalanya hanya di hujung jari menyebabkan semua menjadi mudah dan banyak membantu peniaga baru yang menjalankan perniagaan secara dalam talian,” ujarnya.

Wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu turut mengakui sambutan yang diterimanya mengenai khidmat tunjuk ajar peribadi ini amat menggalakkan dan rata-ratanya berpuas hati dengan sesi dijalankan.

“Apa yang paling menggembirakan apabila mereka bersemangat memulakan perniagaan selepas melalui sesi itu dan sudah mengetahui asas mengenai perniagaan.

“Dengan keazaman dan semangat tidak kenal erti putus asa, sesiapa saja boleh berjaya dalam apa juga jenis perniagaan yang mereka mahu ceburi. Namun untuk berjaya faktor disiplin diri perlu ada,” katanya.

Cabaran sebagai peluang

Dia akui, di sebalik kemanisan yang dirasai terselit juga pelbagai cabaran terutama membabitkan soal pembahagian masa.

“Sikap masyarakat yang lebih suka melihat kegagalan daripada kejayaan memang menguji ketahanan emosi dan minda. Saya sentiasa katakan pada diri sendiri bahawa inilah peluang untuk membuktikan kemampuan. Selain itu cabaran di peringkat industri yang memerlukan saya mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal.

“Oleh kerana sudah merasai sendiri laluan yang pahit, menjadikan saya lebih faham keperluan bakal peniaga. Saya juga sering menyuntik kata-kata perangsang kepada mereka yang berdaftar supaya tidak mudah lemah semangat dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, dia sering menekankan supaya anak didiknya memilih bidang yang sesuai dengan keadaan ekonomi dan kehendak semasa.

“Saya bukan saja menekankan faktor pemasaran, malah akan memberi penjelasan sebenar mengenai risiko yang bakal dihadapi sekiranya gagal menguruskan perniagaan dengan baik.

“Objektif saya mudah, saya mahu mereka mempunyai asas yang kukuh, semangat jitu dan bijak dalam menguruskan perniagaan terutamanya ketika berdepan risiko juga kerenah pelanggan,” katanya.

Tambahnya, soal bayaran dikenakan juga amat berpatutan kerana baginya dia lebih kepada usaha membantu individu yang mahu berjaya dan mempunyai keinginan memiliki perniagaan sendiri.

“Saya tidak menjual ilmu yang saya ada kerana saya lebih kepada membantu terutama kepada individu yang benar-benar mahu berjaya. Bagi saya semua ini tidak ada nilainya kerana kejayaan mereka sudah dapat membayar penat lelah dan usaha saya ini.

“Syukur, segala usaha dipermudahkan dan saya kagum melihat ramai individu yang datang daripada pelbagai latar belakang dan tempat semata-mata demi menimba ilmu,” ujarnya.

Pegang lapan matlamat

Nor Zaleha mengakui amat bersyukur kerana dianugerahkan teman hidup yang sentiasa membantunya dalam perniagaan dan sesi tunjuk ajar dijalankan itu.

“Dia seorang yang memberi keutamaan kepada keluarga dalam apa keadaan sekalipun selain memahami kehendak isterinya dengan memberi sokongan sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti yang saya rancang.

“Kami berjaya mengatur langkah menaikkan penjenamaan jenama sendiri dengan mengambil kira segala aspek penting bagi meluaskan jajahan perniagaan kami,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami sentiasa berpegang kepada lapan matlamat dalam kehidupan iaitu agama, keluarga, kerjaya, kebahagiaan, kesihatan, pendidikan dan kemajuan diri, memberi sumbangan serta kewangan.

“Saya dan suami juga memilih FB sebagai medan berkongsi ilmu kerana ilmu yang ada ini adalah anugerah Allah selain turut menjalankan perniagaan di laman sosial itu.

“Disebabkan itu, saya juga mahu berkongsi ilmu kepada individu lain dan memberitahu mereka FB bukan saja boleh dijadikan laman bersosial, namun ia sebenarnya medan yang berguna kepada individu yang berkecimpung dalam perniagaan,” ujarnya.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 12:48pm
d