hati

Rawatan hormon untuk penuaan sihat

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Pengalaman berdepan masalah alahan, tekanan emosi, keletihan, hormon tidak stabil hinggalah membawa kepada masalah obesiti suatu masa dulu memberi impak perubahan cukup besar dalam hidup wanita ini.

Sekalipun memiliki kepakaran dalam bidang perubatan, realitinya ia bukanlah jaminan untuk seseorang itu kekal sihat ke akhirnya, tanpa diduga dengan pelbagai kesengsaraan hidup.

Hari ini, mendengar suara wanita ini saja sudah dapat meneka betapa hidupnya kian positif dan optimis berdepan cabaran mendatang. Tiada lagi tekanan emosi meletihkan atau masalah kegemukan membimbangkan. Malah Dr Norhaslinda Mat Hassin cukup bersemangat ketika diajak berkongsi cerita perjalanan hidupnya sebagai pengamal perubatan am, pengkhususan Perubatan Estetik, Penuaan Sihat dan Regeneratif.

Mesra dengan panggilan Dr Linda, anak kelahiran Pulau Pinang berusia 43 tahun ini dibesarkan di Petaling Jaya dan mendirikan rumah tangga ketika tahun akhir pengajian perubatan di Universiti Malaya.

"Saya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dan pembedahan pada 2000. Selepas mendapat pendedahan dan latihan awal sebagai doktor di Hospital Universiti Kuala Lumpur (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya), saya berkhidmat di merata hospital dan klinik kesihatan sekitar Klang dan Pulau Indah. Sepanjang tempoh berkhidmat, saya tidak dapat lupakan kenangan menjaga kesihatan penduduk Orang Asli di pedalaman Pulau Indah selama dua tahun.

"Kalau ada yang mengatakan doktor bekerja dalam suasana selesa, dakwaan itu meleset jauh sekali. Saya bersama pasukan perubatan perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda, meredah hutan belukar dan jalan tidak bertar untuk sampai ke perkampungan mereka demi menyampaikan perkhidmatan kesihatan serta merawat pesakit luar.

"Di sini jugalah saya banyak mempelajari mengenai penjagaan kesihatan ibu mengandung dan kanak kanak kekurangan nutrisi serta zat. Pada masa sama, kami juga dapat mengenali budaya dan adat resam Orang Asli di situ dengan lebih dekat," katanya.

Membantu pesakit wanita

Kesempatan bergelar doktor tentu sekali membuka ruang luas untuk wanita ini mengenali dunia perubatan di hospital. Kata Dr Norhaslinda, dia bertuah kerana mendapat banyak pendedahan mengenai bidang perubatan sakit puan dan perbidanan.

"Kebetulan pada masa itu hamil anak sulung, jadi saya banyak melihat wanita lain yang mengandung dan hendak melahirkan. Saya juga tidak lupa bagaimana ketika sedang sarat mengandung, berada di wad bersalin untuk membantu pesakit melahirkan anak. Terlalu banyak pengalaman berharga yang dapat dikutip.

"Namun, dalam tempoh sama, saya sedar sebenarnya ramai wanita kurang faham atau tidak mempunyai kesedaran terhadap penjagaan kesihatan tubuh dalam segala aspek termasuk ketika hamil dan selepas melahirkan.

"Mereka tidak mengambil kira betapa pentingnya tahap kesihatan optimum demi menjaga atau membesarkan anak kelak. Dari situ, saya berazam untuk terus mendalami apa saja bidang perubatan berkaitan kesihatan wanita dan menemui bidang yang saya terokai sekarang," katanya.

Mungkin cerita wanita ini nampak terlalu ringkas pada luarannya, tetapi agak mengejutkan apabila Dr Norhaslinda sendiri mengakui dia terpaksa melalui pengalaman pahit berikutan tahap kesihatannya yang merosot, berpunca daripada alahan berpanjangan.

"Saya anggap ini sebagai dugaan. Tahun demi tahun saya terdedah kepada tekanan kerja dan emosi yang tinggi, setiap hari berdepan persekitaran yang tidak sihat, menyedut asap kenderaan dan rokok, radiasi, gelombang elektromagnetik, pengambilan makanan serta nutrisi tidak seimbang serta ketidakstabilan hormon badan.

"Natijahnya, saya menjadi antara penyumbang statistik obesiti negara. Saya langsung tidak bertenaga, kerap keletihan, emosi tidak stabil, mengalami rambut gugur dan banyak lagi episod sengsara. Paling terkesan apabila ayah saya yang mengidap kencing manis perlu menjalani rawatan hemodialisis kerana kegagalan buah pinggang kronik selama lima tahun.

"Syukur keadaan kembali ceria. Ayah juga cukup bertuah kerana berupaya mengembalikan kesihatannya sedikit demi sedikit. Semuanya kerana amalan penuaan sihat. Ia memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati hidup berkualiti, sekali gus memberi peluang kepada golongan yang sedang meniti usia emas melihat cucu cicit membesar, cergas beribadat dan sihat tanpa perlu bergantung kepada alat bantu," katanya.

Cabaran manis

Menyentuh soal cabaran, Dr Linda berkata, bukan mudah untuk mengubah kebiasaan masyarakat hari ini. Tambahan konsep penuaan sihat adalah berteraskan pencegahan awal dan perlu melihat kepada punca penyakit.

"Bidang perubatan ini memerlukan penjagaan diet dan nutrisi; menjaga perhubungan sesama manusia dan tuhan; kecergasan fizikal; kawalan tekanan yang optimum; tidur mencukupi dan rawatan gantian hormon seimbang untuk badan.

"Enam aspek ini saja sudah memberi cabaran tersendiri. Apalagi ketika saya baru hendak mula berkongsi khidmat kepakaran dengan masyarakat setempat pada masa itu. Saya nekad mengutamakan kesihatan wanita dan mereka perlu dibantu.

"Kemudian, cabaran tiba pula dari sudut keperluan modal yang besar untuk memulakan perniagaan di kawasan elit, Bukit Jelutong. Mahu atau tidak, saya perlu membeli mesin laser untuk rawatan kulit wajah berteknologi tinggi untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan kulit dan penuaan sihat wanita mahupun lelaki. Namun kini, semuanya berjalan lancar berkat sokongan suami dan restu ibu bapa.

"Ibu saya antara yang paling banyak berkorban. Beliau banyak membantu meringankan tugas menjaga anak. Tanpa sokongan ibu, mungkin perjalanan perniagaan saya tidak seindah hari ini," katanya.

Kini Radiant Clinique yang diusahakan sudah beroperasi selama tujuh tahun. Malah Dr Linda sendiri teruja kerana dapat membantu ramai wanita yang mengalami masalah gangguan hormon, kulit kusam, jerawat, jeragat dan sebagainya.

Dr Linda juga pernah mendapat pengiktirafan sebagai seorang Pengamal Hormon Lanjutan daripada International Hormone Society (IHS), Belgium di bawah didikan Dr Hertoghe yang dikenali sebagai 'Father of Hormones'. Dia juga pernah diberi peluang menjadi penceramah oleh Persatuan Wanita, Perwakilan Doha, Qatar sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 2016.

"Saya banyak mendekati wanita golongan korporat, berkerjaya, usahawan wanita dan mereka yang mahu berjaya dalam tugasan tetapi kerap mengalami keletihan, kurang fokus dan kurang keyakinan dalam penampilan.

"Dengan cara ini, saya berasa lebih dekat dengan mereka yang memerlukan. Lagipun, rawatan bukanlah tertumpu pada golongan berduit semata-mata. Misi saya jelas. Saya mahu membantu lebih ramai masyarakat mencapai tahap kesihatan yang optimum untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

"Harapan saya, masyarakat khususnya wanita dapat menyahut cabaran untuk kekal sihat sepanjang hayat dan mendapat kehidupan lebih bermakna di masa depan," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 1:28pm
d