hati

Pendandan gelandangan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kelibat wanita bertudung menyikat dan menggunting rambut bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat gelandangan di sekitar ibu kota. Kalau dulu Nur Azmina Ahmad Burhan, 31, sering dilihat menawarkan potongan rambut secara percuma di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Namun kini pemilik salun Lawa Studio itu memilih berada di Pusat Gelandangan Medan Tuanku sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Kekal dengan gaya sama sejak tujuh tahun lalu, bahu wanita muda ini masih bersilang beg kecil yang mengandungi sepit rambut bersama peralatan menggunting.

Tangannya ligat menyudahkan kerja menggunting setiap kali khidmatnya diperlukan. Kata Nur Azmina, dia puas melakukan kerja menggunting rambut golongan gelandangan ibu kota tanpa sebarang bayaran. Lebih daripada itu, dia puas kerana dapat membantu gelandangan mengubah penampilan, sekali gus menggembirakan mereka dengan pemberian yang tidak seberapa.

“Sebelum memiliki salun dan menjadi pendandan rambut, saya pelajar biasa. Bagaimanapun, saya suka bermain dengan rambut dan selalu mencuba gaya berbeza.

“Setiap kali balik kampung, saya biasanya akan membawa pulang sebotol syampu khas dan mencuci rambut ibu saudara. Apa yang menariknya, saya selalu mendapat bayaran atas khidmat berkenaan. Sejak itu saya mula sedar bidang dandanan rambut memang cukup dekat di hati dan jiwa.

“Hendak dijadikan cerita, saya dan ayah sempat berkunjung ke ekspo kecantikan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Di sanalah saya mula mendaftar untuk mengikuti kursus dandanan di satu akademi rambut dan mula bekerja di salun, kira-kira sembilan bulan kemudian,” katanya.

Tabur bakti

Menurut Nur Azmina, dia mula aktif dalam kerja kebajikan selepas menjadi sukarelawan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) melalui projek Pertiwi Soup Kitchen untuk menyediakan keperluan asas buat gelandangan.

“Ketika itu saya sudah bergelar pendandan rambut. Melihat ramai gelandangan nampak tidak terurus, Aunty Munirah (Pengasas Pertiwi, Munirah Abdul Hamid) bertanya jika saya mahu membantu memotong rambut mereka. Masakan hendak menolak?

“Saya begitu teruja untuk menggunting rambut orang gelandangan. Bagi saya, ia antara keputusan terbaik yang pernah dibuat sepanjang hidup saya,” katanya.

Jelas anak bongsu daripada tiga beradik ini, pada awalnya dia melakukan kerja menggunting rambut di Jalan TAR seorang diri, sementara sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen mengagihkan makanan serta keperluan kepada gelandangan.

Namun pertambahan orang, menuntut dirinya mencari lebih ramai tukang gunting. Berikutan itu, Nur Azmina mencari rakan sukarelawan baru untuk membantunya, sekali gus membentuk pasukan pendandan sendiri yang dinamakan kru Pop-Up.

Kata Azmina, sepanjang aktif dalam kerja amal berkenaan, dia tidak pernah menilai setiap individu yang datang untuk mendapatkan khidmat menggunting rambut percuma daripadanya. Baginya, setiap orang berhak memiliki penampilan menarik atau sekurang-kurangnya mudah diterima masyarakat.

Oleh itu, dia melayan setiap orang yang datang tanpa mengira keadaan atau kerenah mereka. Ada yang mahu dandanan rambut mengikut trend terkini, mengemas penampilan, tidak kurang juga ada yang meminta dibotakkan kepala.

“Saya melayan setiap orang yang datang sebagai pelanggan, bukan gelandangan. Jadi, saya akan cuba memenuhi setiap permintaan mereka dengan memberikan hasil yang terbaik.

“Sejak mula menggunting rambut masyarakat gelandangan, saya dapat rasakan inilah pengalaman paling berharga. Wang ringgit tentu sekali tidak boleh membeli setiap kepuasan yang saya dapat setiap kali melihat mereka gembira dengan imej baru. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dilorongkan ke jalan kebajikan sebegini.

“Bayangkan, ketika bermula sebagai sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen dulu, saya pernah menangis. Sedih melihat kehidupan mereka yang serba kekurangan, sedangkan kita mampu hidup selesa,” katanya.

Semua orang boleh bantu

Ditanya sekali lagi mengenai kepuasan yang diraih sepanjang tujuh tahun ini, Nur Azmina tersenyum penuh makna. Tiada siapa yang mungkin dapat meneka betapa dirinya begitu gembira kerana dapat menggariskan senyum di wajah orang lain.

“Hingga ke saat ini, saya begitu menghargai setiap saat yang pernah diluangkan bersama gelandangan. Saya puas dan bersyukur kerana mempunyai kemahiran yang dapat mengubah keyakinan orang. Melihat mereka gembira saja sudah membuatkan saya begitu gembira.

“Sebenarnya sesiapa pun boleh menyumbang kepada kerja sukarela. Wanita umpamanya, mereka boleh mengambil inisiatif untuk menyertai mana-mana jenis kerja sukarela. Sama ada mengajar, memasak, menjahit atau apa saja. Ia mungkin bukan mudah tetapi kepuasannya berbaloi. Saya sendiri merancang untuk terus melakukan kerja amal ini bersama kru Pop-Up. Jika boleh, saya mahu membuatkan lebih ramai orang gembira dengan hasil dandanan rambut sebegini,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 1:29pm
d