hati

Membentuk jiwa murni

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Ibu bapa tonggak dalam melahirkan anak berjiwa murni. Semakin besar keluarga, makin besar jugalah tanggungjawab ibu bapa. Merekalah yang mencorak kehidupan anak, membesarkan dengan penuh kasih sayang, mendidik dan menyediakan setiap keperluan seawal usia dalam kandungan hingga dewasa.

Kalau dulu, kebanyakan ibu bapa memilih untuk bersikap tegas, sentiasa mengutamakan disiplin, menekankan asas agama, menyemai sifat hormat-menghormati, bertanggungjawab, patuh, taat dan saling menghargai. Namun kini, senario sudah jauh berubah.

Majoriti ibu bapa hari ini terlalu sibuk bekerja. Mereka banyak bergantung kepada teknologi untuk berkomunikasi dan memantau perkembangan anak. Malah arahan, pesanan, nasihat, teguran atau apa saja bentuk pertanyaan dilontar menerusi medium sama.

Tiba masa sukar, anak dibiarkan terkapai sendirian. Dari situlah tercetusnya masalah sosial dalam kalangan remaja. Mereka lebih banyak bersama rakan, berkongsi masalah dan paling membimbangkan menumpang kasih pada orang yang dianggap teman atau pasangan.

Ketika inilah ibu bapa cenderung meletakkan kesilapan di bahu anak. Mereka lupa bagaimana bentuk didikan yang diberi sepanjang membesarkan anak. Sedangkan mereka sepatutnya merenung kembali setiap kelemahan yang ada dalam diri sehingga membawa kepada runtuhnya akhlak anak.

Menurut pakar keluarga dan kasih sayang, Dr Rozieta Shaary, ibu bapa seharusnya menjadi contoh terbaik buat anak dan menggalas amanah untuk membesarkan serta mendidik zuriat dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Seorang anak memerlukan petunjuk daripada ibu bapa atau penjaga untuk menjadi orang berguna. Mereka perlu dididik dan diberi ilmu untuk menjadi ‘manusia’ yang ada ciri kemanusiaan dan nilai murni. Bagaimanapun, ramai ibu bapa hari ini berasakan mereka sudah melakukan yang terbaik untuk anak.

“Jadi, apabila anak terbabit masalah sosial di luar rumah, degil, biadab, bersikap tidak wajar dan sukar dibentuk, mereka gagal melihat kesilapan diri. Anak terus dipersalahkan, dihukum dan dicerca sehingga akhirnya meninggalkan dendam dalam diri mereka. Inilah yang kita mahu bendung selagi mampu,” katanya.

Sembilan kesilapan lazim

Berikutan itu, Dr Rozieta menyenaraikan sembilan kesilapan besar yang lazim dilakukan ibu bapa dalam mendidik anak sebagai panduan. Sebaiknya, ibu bapa mengambil sedikit masa untuk menilai kembali bentuk didikan yang dipraktikkan hari ini demi kesejahteraan masa depan.

1. Tiada ilmu keibubapaan

Ilmu adalah asas untuk membentuk keluarga cemerlang dan bahagia. Tidak kira dalam apa saja bidang, ilmu perlu dipelajari. Namun, dalam soal membentuk keluarga, ilmu keibubapaan sering diabaikan.

Tanyalah kepada mana-mana pasangan secara rawak, tentu ramai yang terpinga-pinga jika ditanya sama ada mereka ada mengikuti kursus atau kelas keibubapaan. Adapun, mereka banyak merujuk kepada rakan, membaca perkongsian di majalah atau di media sosial.

Ramai beranggapan mereka boleh mempelajari setiap tugas dan tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak secara semula jadi, mengikut perkembangan anak serta tahun mendatang. Sebaiknya cari ilmu keibubapaan sebagai persediaan atau teruskan menambah pengetahuan dari semasa ke semasa.

2. Membandingkan anak

Tiba waktu anak tersilap langkah, ada jenis ibu bapa yang cepat saja menegur. Dalam keadaan rasional, mungkin tegurannya lebih ringkas dan bersifat secara langsung. Begitupun, jika kesilapan dilakukan besar, sukar diterima atau mendatangkan kejutan, teguran biasa boleh bertukar emosional, meleret sehingga tercetus kata-kata yang tidak wajar.

Lazimnya, ibu bapa yang mempunyai zuriat yang ramai akan membandingkan sikap anaknya. Si bongsu disuruh mencontohi sulung, anak kedua disuruh melihat perlakuan baik anak kelima dan begitulah seterusnya. Mungkin niat ibu bapa hanya untuk menjelaskan perlakuan baik yang perlu dicontohi anak. Tetapi membandingkan mereka bukanlah kaedah didikan yang bijak.

Boleh jadi, anak akan menyimpan rasa terguris, rendah diri dan dendam kepada adik-beradik sendiri. Jika kesilapan ini terus berulang, anak mungkin menjauhkan diri sekali gus menyebabkan hubungan keluarga kian renggang.

3. Menyalahkan anak sulung

Masih ingatkan kita bagaimana perasaan saat pertama kali menatap zuriat pertama? Gembira, terharu dan syukur bercampur-baur. Itulah amanah yang Allah SWT beri ketika kita menginginkan penghibur dalam rumah tangga.

Bagaimana pula layanan kita selepas mempunyai dua, tiga atau empat anak? Perhatian yang dulunya tertumpu pada anak sulung terbahagi buat adiknya. Keutamaan juga berubah. Paling menyedihkan, anak sulung kini menjadi tempat melepaskan marah jika adiknya bergaduh sesama sendiri, berebut mainan atau menangis.

Pulang dari kerja, anak sulung jarang disapa, bahkan anak kecil didukung dan dimanja dengan alasan anak sulung sudah menikmati zaman bayinya dulu. Cubalah berlaku adil pada setiap anak. Jika yang kecil menumpahkan air, bersikap nakal dan menyepahkan rumah, minta bantuan anak sulung dengan bahasa lembut dan penuh kasih-sayang. Usah menghukum anak sulung atas kesalahan yang dilakukan adiknya. Jika tidak, anak sulung mungkin berubah laku menjadi seorang pemarah dan berdendam dengan adiknya.

4. Kerap mengkritik

Ada ibu bapa yang tidak semena-mena naik marah apabila mendengar anak begitu cekap menghafal nama selebriti Korea, watak animasi atau apa saja program berkaitan dengan rancangan televisyen. Tanpa sedar, kita merendahkan kebolehan menghafal anak dengan membandingkan minatnya terhadap pelajaran.

Cuba lihat dari sudut positif. Anak yang cekap menghafal sebenarnya sedang menunjukkan kebolehan dirinya dalam mengingat. Beri pujian dan motivasi untuk mereka terus mengasah kebolehan dari sudut bermanfaat. Selitkan nasihat dan dorongan untuk mereka.

Andai kita terus mengkritik, anak tidak akan dapat melihat potensi dirinya dari perspektif yang positif. Lebih dari itu, mereka mungkin berasa rendah diri dan melihat tidak ada satu pun perkara yang dibuat betul.

Kritikan membina pastinya memberi lebih inspirasi, tetapi kritikan bersifat menjatuhkan hanya mendatangkan perasaan benci dalam diri.

5. Bukan pendengar yang baik

Seawal usia anak mula bercakap, ibu bapa sepatutnya merebut peluang untuk kerap berkomunikasi bagi merangsang pertumbuhan otaknya. Dalam kebanyakan situasi, anak biasanya suka bercerita dengan ibu bapa di usia lima ke tujuh tahun.

Apabila mencapai umur persekolahan, mereka lebih banyak bercerita dengan rakan sebaya atau sepermainan. Justeru, luangkan masa dengan anak jika mereka mahu berkongsi cerita. Elakkan membuat kesimpulan mudah atau memotong percakapan setiap kali anak bercerita.

Beri perhatian sebaiknya ketika anak memerlukan orang untuk mengadu, bercerita atau berkongsi pendapat. Jika diabaikan keperluan ini, anak mungkin akan hilang minat untuk terus berkomunikasi dengan ibu bapa.

6. Terlalu tegas

Banyak perkara yang cuba dilakukan anak, mudah dianggap salah dan sukar dimaafkan. Ini kerap berlaku dalam masyarakat kita. Ibu bapa menetapkan peraturan, anak tidak boleh bergaduh. Sedangkan dalam masa sama, ibu bapa kerap bertengkar di depan anak. Keadaan ini menyebabkan anak mudah hilang hormat terhadap kedua ibu bapa.

Bersikap tegas ini penting, tetapi berlagak dominan itu tidak bagus.

7. Mengejek anak di khalayak

Kita perlu faham, biarpun anak masih kecil, mereka mempunyai rasa segan dan malu. Apabila diketawakan, anak mungkin jadi lebih malu dan hilang keyakinan diri.

Bergurau adalah perlakuan berbeza dengan mengejek. Tetapi andai anak malu dijadikan bahan gurauan, berhentilah daripada terus mengusiknya.

Kerap kali anak yang terkencing tanpa sengaja dijadikan bahan ejekan ibu bapa dengan harapan mereka serik dan tahu mengawal diri. Perlu diketahui bahawa mengkritik dengan cara menjatuhkan anak boleh menjadikan mereka seorang yang negatif dan mudah berasa diri tidak dihargai.

8. Memanjakan anak

Ini kesilapan terbesar dan paling kerap terjadi terutama dalam keluarga yang hanya memiliki anak tunggal. Mereka memanjakan anak, mengikut setiap kehendak dan memberikan pelbagai keselesaan. Sampai usia remaja, anak mula menampakkan sikap perengus jika kehendak tidak dituruti dan mula memprotes dengan pelbagai cara.

Sebenarnya, ramai ibu bapa yang keliru antara memanjakan anak dan membelai mereka. Kita masih boleh membelai anak dengan penuh kasih sayang sehingga mereka dewasa. Tetapi memanjakan anak perlu ada hadnya.

Anak perlu dididik mengenal tanggungjawab dengan menyuruh mereka melakukan kerja ringan seawal usia persekolahan supaya menjadi insan berkualiti pada masa depan.

9. Mengikut telunjuk anak

Kerap disebut sebagai keibubapaan kain lap kaki. Kedengaran kasar bukan? Ini antara cabang akibat terlalu memanjakan anak. Sampai suatu tahap, ibu bapa tidak dapat menolak setiap permintaan atau suruhan anak.

Sepatutnya, jika tidak boleh, ibu bapa perlu mengatakan tidak kepada anak. Ramai ibu bapa hari ini tidak sedar mereka menjadi alas kaki anak, termasuk anak kecil. Ada ibu bapa yang datang mengadu betapa sukarnya menghentikan ketagihan gajet dalam kalangan anak kecil mereka. Sedangkan mereka sendiri yang memberi anak gajet untuk memudahkan urusan mengasuh saban hari.

Hal ini terjadi kerana sikap ibu bapa sendiri yang tidak mahu susah dari awal. Mereka beri gajet untuk mendiamkan anak di meja makan, ketika keluar membeli-belah, waima apabila berkunjung ke rumah saudara dan teman.

Akhirnya, mereka beri alasan susah mengawal ketagihan anak pada gajet. Dari satu sudut, mereka sebenarnya gagal mendidik dan memimpin anak.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 6:27pm
d