hati

Gaya anggun bertudung labuh

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Selain busana, tudung mahupun selendang antara yang perlu dipilih sebaik-baiknya bagi memastikan penampilan harian dipandang manis.

Dalam berhijab, setiap wanita mempunyai cita rasa tersendiri memilih selendang mahupun tudung yang ingin digayakan. Ada yang gemar menyarung selendang polos, namun ada juga yang selesa mengenakan selendang bercorak atau sarat dengan perincian.

Apa juga pilihan, perkara yang perlu diberikan perhatian adalah jenis rekaan selain ia perlu bersesuaian dengan kemampuan diri kerana ada tudung dijual pada harga yang amat tinggi.

Tidak hairanlah mengapa terdapat segelintir wanita mempunyai tudung atau jenama kegemaran sendiri malah sanggup mengeluarkan kos yang agak tinggi demi mendapatkan koleksi kesukaan hampir setiap bulan.

Berusaha memberi pilihan kepada wanita yang mahu tampil anggun pada lebaran, Rossascarf tampil dengan variasi tudung yang direka khusus untuk gaya Muslimah terkini.

Menurut pengasasnya Rozalina Aziz, antara koleksi tudung dan selendang yang baru dilancarkan adalah Jameela, Sumaiyyah, Nurqaseh dan Sulam Rossa.

“Semua koleksi tudung dihasilkan daripada fabrik berkualiti dan dijahit sendiri bagi memberi kelainan dengan koleksi sedia ada di pasaran. Selain memberi kelainan, semua koleksi ini bersaiz labuh hingga XXL dan sangat sesuai digayakan dalam pelbagai majlis atau ke pejabat.

“Ia juga amat menjimatkan masa terutama kepada golongan ibu berkerjaya kerana tudung ini hanya perlu disarung selain labuh menutup dada,” katanya.

Rozalina berkata, lebih menarik apabila pihaknya menawarkan 15 pilihan warna bagi setiap koleksi selain mempunyai saiz bermula M hingga XXL.

“Kami menjanjikan kelainan yang dapat menyerlahkan penampilan pemakai dan semua koleksi ini dijual pada harga mampu milik bermula RM45 hingga RM70 sehelai.

“Syukur, kami menerima sambutan di luar jangkaan dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan semua koleksi tudung kami yang boleh disuai padan dengan pelbagai busana,” ujarnya.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 11:12am
d