hati

Reka kasut selesa dipakai

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Wanita tinggi lampai ini lulusan jurutera kimia. Dia pernah berkhidmat di bahagian pembangunan perniagaan dan strategi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama lima tahun.

Walaupun berada di tempat yang selesa, dia masih mahukan kepuasan bekerja. Darah muda mendesak wanita ini mengambil masa untuk berfikir panjang dan akhirnya beralih ke dunia rekaan serta fesyen.

Tiada asas, bermakna dia perlu bertindak rasional dan bermula dari bawah. Kata Nelissa Hilman Cheow, 34, idea untuk meneroka bidang baru tercetus selepas melihat banyak projek berkait dengan pentas peragaan dan pertunjukan fesyen.

“Selepas lima tahun bekerja, saya kerap bertanya kepada diri, apa lagi yang hendak dilakukan selepas ini? Saya mula memikirkan bidang yang sesuai dan sepadan dengan minat serta kemampuan diri.

“Entah bagaimana, saya tertarik kepada fesyen dan mula mencari hala tuju seterusnya. Saya menghantar permohonan untuk mengikuti kursus jangka pendek di Polimoda iaitu sekolah fesyen di Florence, Itali.

“Masa itu saya sendiri tidak tahu di mana Florence. Apa yang saya fikir, ia hanya kursus jangka pendek. Kalau tidak suka kemudian hari, saya masih boleh kembali ke dunia korporat. Jadi, mohon sajalah,” katanya sambil ketawa.

Kata Nelissa, pembuatan kasut Itali banyak mengajarnya untuk menghasilkan sepatu buatan tangan, mengenal jenis kulit, hal perkilangan, selain memberi ruang kesempatan untuk bertemu dengan ramai pekerja mahir.

“Ternyata pengalaman di sana cukup menarik. Malah, saya gembira menamatkan kursus selama satu setengah tahun di sana. Apabila pulang ke Malaysia, saya merangka banyak perancangan.

“Memang pada awalnya saya mahu terus tampil dengan rekaan kasut (jenama) Nelissa Hilman (NH). Tetapi saya memutuskan untuk bekerja di kilang kasut dan menimba ilmu serta pengetahuan dulu sebelum membuka perniagaan sendiri.

“Saya mahu fahamkan dulu selok-belok industri kasut tempatan dan pada masa sama mencari kilang sesuai untuk bekerja sama pada masa depan,” katanya.

Hanya selepas 2011, barulah wanita ini mula melangkah yakin dengan memperkenalkan koleksi sepatu jenama sendiri di pentas peragaan.

“Bayangkan, ketika itu saya masih tidak faham berkenaan pemasaran dan penjenamaan. Semuanya baru. Bagaimanapun, saya beruntung kerana berpeluang berkolaborasi dengan pereka fesyen WanPa, bersama Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) untuk Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2011. Secara tidak langsung, permulaan itulah yang membina semangat dan keyakinan saya untuk terus berada dalam industri,” katanya.

Melangkah lebih jauh

Tamat MIFW, wanita ini semakin optimis. Permulaan tahun seterusnya juga berjalan lancar dengan beberapa strategi baru. Nelissa mula mengeluarkan koleksi sepatu baru.

“Kami menerima banyak tempahan sepatu kulit asli. Berjaya atau tidak, perniagaan ketika itu masih dalam proses percubaan. Modal pula hanya bersandarkan pada simpanan peribadi.

“Dua tahun berperang dengan untung dan rugi, akhirnya perniagaan beransur baik sedikit demi sedikit. Banyak pengalaman dan ilmu berharga yang saya peroleh sepanjang dua tahun melakukan cuba jaya. Kadangkala ada rekaan yang saya buat mengikut kehendak diri dan gagal terjual. Namun semua itu tidak pernah melemahkan semangat.

“Sekitar 2014, saya mula membuat pinjaman mikro dengan bank. Ketika itu hendak keluarkan koleksi kecil untuk platform jualan dalam talian, Fashion Valet. Kemudian, buka kaunter di MidValley, Isetan dan Parkson dan hanya tahun lalu saja saya mendapat peluang membuka butik pertama di Bangsar Village (BV) II,” katanya.

Sesuai dengan visi untuk sentiasa meraikan wanita, Nelissa berkata, dia komited untuk terus membawakan lebih banyak himpunan sepatu indah buat mereka yang mementingkan keselesaan dalam gaya.

Meneliti pilihan sepatu ditawarkan kepada pelanggannya tidak kira di butik mahupun dalam talian, jenama ini menjadi tumpuan wanita yang sukakan rekaan ringkas, tidak bertumit dan jenis mudah disarung.

“Saya suka menghasilkan sepatu yang selesa dipakai setiap hari dan dikongsi bersama lebih ramai wanita. Ketika ini, ada banyak jenama yang mengeluarkan sepatu bertumit dengan pelbagai rekaan menarik. Namun hakikatnya, masih ramai wanita yang memerlukan sepatu bertapak rendah dan selesa untuk dipakai ke pejabat mahupun majlis formal,” katanya.

Jelas Nelissa, setiap koleksi sepatunya adalah buatan tangan manakala koleksi bertumit pula dihasilkan daripada kulit asli berkualiti tinggi. Keunikan itu pastinya jarang ditemui memandangkan banyak sepatu kini dihasilkan daripada material campuran, tetapi dijual pada harga mahal.

“Saya mahu terus menghidupkan industri kasut tempatan. Hari ini, lambakan label sepatu dari negara luar secara tidak terkawal dengan promosi harga lebih murah memberikan kesan kepada penjenamaan produk buatan sendiri.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan kualiti dan rekaan kasut tempatan. Walaupun ada banyak cabaran terutama dalam isu mendapatkan tenaga mahir, pastinya usaha dan komitmen tinggi mampu mengatasi segala-galanya,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 2:42pm
d