hati

Tidurlah sayang...

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tingkah laku anak banyak bergantung kepada cara didikan ibu bapa. Hakikatnya, cara tepat mendidik anak perlu dimulakan seawal usia bayi untuk mencapai tahap kecerdasan (IQ) yang tinggi, sekali gus bakal melahirkan anak yang cerdas dan cergas.

Bagi mendapatkan tahap kecerdasan IQ yang tinggi, tidur mencukupi antara elemen paling utama dalam penyediaan dan pembentukan rangkaian saraf serta membantu perkembangan kelakuan dan menggalakkan bahasa asas selain pertuturan yang cepat.

Perunding Utama Psikologi ChildPsych, Dr Edward Chan berkata, mereka yang mengalami masalah kurang tidur tidak kira pada usia bayi mahupun dewasa menyebabkan sel dan saraf tidak mampu berehat sepenuhnya.

“Ini mengakibatkan kerosakan otak pada jangka panjang yang tidak dapat dipulihkan dan masalah berkaitan tahap tumpuan atau pemprosesan maklumat.

“Apabila bayi tidak dapat tidur secukupnya, mereka mungkin mengalami masalah membuat keputusan, cara mengatasi masalah, mengawal emosi dan kelakuan serta mengendali perubahan semasa. Kekurangan tidur juga mempunyai kaitan dengan kemurungan yang menjurus kepada bunuh diri dan kelakuan berisiko melampau.

“Anak kecil yang tidak mendapat tidur secukupnya pula lazimnya mudah marah, mengamuk dan bersifat mendadak, mengalami kemurungan, sedih dan tidak mempunyai motivasi diri,” katanya.

Dr Chan berkata, kekurangan tidur juga mungkin menyebabkan si kecil mengalami masalah kurang fokus, gagal dalam pembelajaran atau mudah rasa tertekan.

“Selain itu, bayi kurang tidur juga boleh mengalami masalah emosi yang tidak stabil dan penurunan kemampuan untuk mengawal perasaan marahnya.

“Justeru, setiap ibu bapa perlu berusaha memberikan tidur yang cukup kepada si kecil bagi mengelak berlakunya semua kesan negatif dalam pembentukan dan tumbesaran minda anak,” katanya.

Menurutnya, selain memastikan bayi mahupun kanak-kanak memiliki tidur mencukupi, ibu bapa juga perlu menghormati perasaan mereka selain membantu kesedaran diri menggunakan alat permainan kegemaran mereka.

“Ibu bapa juga perlu mengatur aktiviti bagi mengenal pasti emosi anak selain mengatur aktiviti untuk membantu mereka mengawal diri.

“Usaha yang dilakukan ibu bapa amat berkesan dalam mempengaruhi keperibadian anak terutama dalam tumbesaran minda dan IQ mereka,” ujarnya.

Antara langkah menggalakkan bayi atau kanak-kanak tidur awal supaya mereka mendapat tidur mencukupi:

1. Biasakan si kecil masuk ke bilik pada jam 9 malam. Anda boleh mengajak mereka berbual atau cuba bacakan buku cerita bersesuaian.

2. Jangan kerap membawa atau membiasakan si kecil keluar lewat malam terutama ke tempat tidak sesuai.

3. Disiplinkan si kecil secara konsisten untuk tidur pada waktu yang sama setiap hari.

4. Biasakan mereka tidur dalam keadaan gelap bagi mendapatkan tidur yang nyenyak.

5. Keadaan tempat tidur haruslah tidak terlalu bising dan selesa bagi memberikan ketenangan.

6. Bersihkan badan si kecil terlebih dulu, lap badannya menggunakan air suam sebelum menukarkan baju, lakukan urutan ringan menggunakan minyak bayi dan pastikan lampin pakai buang mereka masih kering.

7. Boleh juga pasangkan muzik bersesuaian secara perlahan di dalam bilik seperti ayat al-Quran atau lagu kanak-kanak.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 3:33pm
d