hati

Jualan kemeja-T untuk dana

Oleh Yusliza Yakmir Abd Talib

Uniqlo Malaysia melancarkan kemeja-T edisi khas sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan Fugeelah bagi mengumpul dana untuk kanak-kanak pelarian dari Sekolah Fugee, Kuala Lumpur.

Lima rekaan kemeja itu adalah ilham lima kanak-kanak dan remaja dari sekolah berkenaan. Sementara itu, semua hasil jualan juga bakal disumbangkan kepada sekolah berkenaan untuk memastikan penyediaan pendidikan yang berterusan bagi kanak-kanak pelarian.

Kerjasama dengan Fugeelah itu, antara usaha berterusan Uniqlo Malaysia sebagai sumbangan kepada masyarakat setempat.

Sejak kemasukannya ke negara ini, jenama itu secara progresif sudah menggerakkan komuniti menerusi usaha pemuliharaan seperti sumbangan pakaian terpakai kepada pelarian, In Store Shopping Experiences dan aktiviti terpilih dengan rumah kanak-kanak.

Fugeelah sebelum ini mengetengahkan rekaan aksesori gaya hidup yang direka dan dihasilkan pelarian kanak-kanak serta wanita yang terpinggir.

Rekaan juga diilhamkan kanak-kanak daripada pelbagai budaya, bakat dan perjalanan hidup yang unik. Kanak-kanak ini juga belajar berkenaan pertukangan, reka bentuk dan kemahiran lain untuk menghasilkan ciptaan yang menarik.

Kanak-kanak itu juga terbabit dari peringkat konsep rekaan hingga penghasilan ciptaan. Fugeelah juga bekerjasama dengan rakan Malaysia lain bagi model perniagaan mampan yang memastikan pengagihan kerja dan kekayaan secara adil.

Menurut jurucakap Uniqlo, pihaknya sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Fugeelah dalam membolehkan kanak-kanak dari sekolah itu menghasilkan barangan kreatif sebagai cara yang mampan untuk memupuk usaha mulia selain memberi penjagaan kepada masyarakat yang terpinggir.

“Kami yakin bahawa ini akan menjadi kerjasama jangka panjang yang bukan saja akan memperkayakan anak-anak ini tetapi juga penyumbang kepada usaha murni ini,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Uniqlo Malaysia, Yuki Yamada dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Sementara itu, bagi Pengasas Fugeelah, Deborah Henry, pihaknya amat teruja dengan kerjasama jenama global yang mempertahankan pelarian seperti Uniqlo.

Katanya, pelajar sekolah itu teruja mencipta karya seni, apatah lagi melihat rekaan mereka dihasilkan dan percaya ini adalah peluang yang baik untuk mewujudkan kesedaran berkenaan perjuangan pelarian.

Sekolah Fugee ditubuhkan pada 2009 sebagai platform pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak yang terpinggir bagi merealisasikan potensi mereka sepenuhnya dengan melengkapkan mereka ilmu hidup dalam persekitaran bebas diskriminasi.

Kemeja-T itu boleh didapati di koleksi Projek Sosial Uniqlo x Fugeelah dan ia akan dijual di kedai online Uniqlo pada 20 Julai pada RM59.90.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 12:59pm
d