hati

Talian hayat PWP

Oleh Siti Zarinah Sahib

Kehidupan keluarga sempurna biasanya terdiri daripada ayah, ibu dan beberapa orang anak. Namun, realitinya tidak semua berjaya mencapai matlamat ini kerana ada yang terhenti di pertengahan usia perkahwinan. Sama ada disebabkan perceraian atau kematian pasangan, pastinya ia disertai tekanan emosi.

Kesedihan akibat kehilangan teman hidup dan tekanan memikirkan bebanan kewangan biasanya terpaksa dihadapi ibu tunggal. Lebih-lebih lagi wanita yang tidak bekerja. Dengan kos sara hidup yang tinggi dan anak yang masih bersekolah, wanita terpaksa memikirkan bentuk pekerjaan yang terpaksa dilakukan. Walau sehebat mana sekalipun wanita itu, pasti dia akan terkesan apabila terpaksa menanggung beban dan tanggungjawab dalam membesarkan anak seorang diri.

Bagi Penyelaras Sosial Parents without Partners (PWP), Jaya B, sejak 11 tahun lalu dia menyaksikan nasib ibu bapa tunggal di Malaysia yang menderita dalam diam dan menghadapi kesukaran memenuhi keperluan keluarga.

Sesetengah mereka terpaksa melakukan dua kerja serentak disebabkan sumber kewangan yang tidak mencukupi.

“Ibu tunggal misalnya langsung tiada simpanan jangka panjang. Apabila bercerai atau selepas kematian suami, mereka dibiarkan tanpa sokongan dan ini sangat menyedihkan. Oleh itu, dengan penubuhan PWP pada 2007, ia sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa tunggal menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menerusi jualan Jumble Station. Kedai barangan terpakai ini berperanan mengumpul produk yang pernah digunakan dan menjualnya semula.

“Ia terletak di dua lokasi iaitu USJ 1, Selangor untuk golongan miskin dan terpinggir membeli barangan terpakai sementara Jaya One, Petaling Jaya lebih kepada membina kesedaran serta menjual selain menerima barangan didermakan. Namun setiap calon akan dinilai menerusi sesi temu duga bagi memastikan mereka benar-benar penerima bantuan secara holistik.

“Kami juga menyediakan latihan kemahiran, bimbingan kewangan, stesen bacaan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik bagi memudahkan mereka belajar membaca dalam bahasa Inggeris, kaunseling untuk ibu bapa tunggal serta acara khas,” katanya.

Menyedari pada masa kini perniagaan dalam talian menjadi pilihan pelanggan dan membolehkan pengusaha mendapat keuntungan lebih cepat serta pantas, PWP bekerjasama dengan Maxis melancarkan kempen ONEder bagi membantu ibu bapa tunggal berpendapatan rendah mencapai kebebasan kewangan secara dalam talian menerusi platform e-dagang Maxis.

Jelas Jaya B, sebelum Maxis menghubunginya, dia sememangnya mahu menjual barangan menerusi dalam talian, tapi tidak mempunyai sumber diperlukan.

“Kami bernasib baik kerana Maxis menyokong projek ini. Antara cabaran PWP, selepas memperkenalkan perniagaan dalam talian, kami perlu memilih produk yang betul dan mengambil gambar sesuai untuk dikongsi bersama pengguna Internet. Selain itu, banyak perkara yang perlu dipelajari termasuk menulis penerangan berkenaan produk, pembungkusan, tempat penyimpanan serta mempelajari teknik promosi.

“PWP perlu menyediakan tempat penyimpanan barangan yang ditempah menerusi dalam talian selain belajar menyesuaikan diri dengan trend perniagaan terkini,” katanya.

Bagi Ketua Pembangunan Perniagaan Maxis, Senthil Balan Danapalan, dia percaya Parents without Partners (PWP) adalah organisasi yang komited menyokong ibu bapa tunggal kurang bernasib baik bagi membina kekuatan dan kebebasan untuk mencapai kejayaan.

“Kami mendapat maklumat selama ini Jumble Station hanya menjual barangan menerusi kedai fizikal saja. Jadi Maxis mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan PWP bagi memberi pilihan untuk memperniagakan produk mereka secara atas talian.

“Selepas latihan diberikan dalam jangka masa tidak sampai enam minggu, laman sesawang e-dagang baru Jumble Station menerima 6,000 lawatan sejak pelancarannya. Filem ONEder Parents Maxis pula memperoleh hampir 4.8 juta paparan dan 2,800 kongsian. Kami juga menganjurkan kutipan derma dalam kalangan kakitangan Maxis dan pelbagai barangan terpakai berkualiti untuk dijual di kedai Jumble Station PWP. Kami percaya semua ini membantu meningkatkan kesedaran berkenaan usaha PWP dan meningkatkan penghargaan awam terhadap dedikasi serta pengorbanan ibu bapa tunggal di Malaysia,” katanya.

Jelas Senthil, untuk Jumble Station, Maxis menyediakan latihan e-dagang contohnya mengkategorikan produk di katalog dan memuat naik ke laman sesawang, proses operasi seperti mengemas kini, menghantar serta mengendalikan barang stok juga turut diberikan. Pengembangan laman web turut disepadukan dengan pembayaran atas talian MaxisPay dan penghantaran melalui Pos Laju.

“Semua latihan memudahkan pelayar menjejaki laman sesawang dan melihat produk disediakan. Kami juga berharap kempen ONEder Parent ini meletakkan asas kukuh bagi penggunaan e-dagang dan pemasaran dalam talian untuk PWP dan Jumble Station e-store bagi membolehkan ibu bapa tunggal memasarkan produk ciptaan unik mereka dengan selamat. Selain menambah sumber pendapatan baru, Jumble Station juga boleh menjadi tempat komuniti PWP mempamerkan bakat dan kreativiti mereka,” katanya.

Farah Nisha urus Jumble Station

Bagi Pengurus e-dagang Jumble Station, Farah Nisha Mohd Hafiz, tugasan menguruskan perniagaan dalam talian adalah sesuatu yang baru. Setiap hari dia perlu menyemak pesanan dan mengatur setiap pesanan pelanggan. Walaupun menetap di Terengganu sementara PWP di USJ Subang, Selangor namun dengan Internet, semua urusan dapat dilakukan dengan mudah di mana saja.

Menceritakan lebih lanjut bagaimana terbabit dengan sukarelawan PWP, jelas Farah Nisha, bapa angkatnya yang juga pengusaha produk memberitahunya berkenaan projek di antara PWP dan Maxis. Menyedari ia adalah peluang keemasan untuk membabitkan diri dalam perniagaan dalam talian, Farah terus menyatakan persetujuan mencuba. Ditambah pula latar belakang pendidikan dalam jurusan diploma pentadbiran dan perniagaan, dia dapat mempraktikkan apa yang dipelajarinya.

“Perniagaan e-dagang adalah sesuatu yang baru kepada saya. Tawaran untuk membabitkan diri dengan PWP dan Jumble Station tidak harus saya lepaskan. Ini kerana PWP sangat membantu golongan ibu tunggal menambah pendapatan mereka. Ibu saya tidak terkecuali. Oleh itu, saya ingin menyokong mereka yang sentiasa membantu saya dan keluarga selain memberikan bantuan dalam bentuk barangan runcit dan perbelanjaan sekolah.

“Saya juga berharap pembabitan saya dengan PWP akan menggalakkan remaja lain terbabit dalam aktiviti amal. Saya percaya sesiapa saja boleh melakukan sesuatu untuk membahagiakan orang lain. Malah saya masih ingat pesanan ayah supaya selalu melakukan kerja amal kerana ia membabitkan perasaan sayang dan semangat jati diri seseorang,” katanya.

Menerima latihan intensif daripada pasukan e-dagang Maxis, jelas Farah ia sangat membantu bagi menambah kemahirannya. Menerusi latihan ini Farah semakin arif dari segi penubuhan portal, inventori, menyediakan kandungan seperti menulis penerangan produk, pengkatalogan dan penyimpanan barang, memeriksa pesanan baru dan pemenuhan pesanan. Walaupun pada mulanya ia agak rumit namun lama-kelamaan semakin mahir dan mampu melakukannya dengan pantas.

Untuk pembaca Harian Metro, nikmati diskaun pengenalan khas apabila anda berbelanja di www.jumblestation.com.my.

Diskaun 15 peratus bagi barangan buatan tangan dan diskaun 10 peratus untuk barangan terpakai dengan cara memasukkan kod JSPRELOVED15 dan JSHANDMADE10 ketika mendaftar keluar. Kedua-dua kod diskaun boleh digunakan untuk item berkenaan dalam pembelian yang sama.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 2:47pm
d