hati

Tip untuk si keriting

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Tidak ramai wanita yang gembira apabila mempunyai rambut keriting. Berbanding rambut lurus, jenis keriting sering dianggap memalukan, bermasalah, sukar diurus dan paling teruk meragut keyakinan wanita untuk berada di khalayak.

Penyelesaian mudah adalah dengan mendandan rambut sekemas mungkin atau meluruskannya di salun. Begitupun, seberapa lama masalah dapat dibendung?

Andai tersilap langkah, rambut akan menjadi bertambah kusut, rosak dan akhirnya terpaksa dipotong pendek.

Suatu hal yang cuba dijauhi kebanyakan wanita yang berambut keriting adalah memotong rambut hingga paras yang sukar diikat atau didandan kemas. Pilihan itu dilihat paling sukar berikutan mudah menarik perhatian dan pertanyaan yang menyinggung perasaan.

Sebenarnya, memiliki rambut keriting lebih baik berbanding rambut lurus dan nipis. Terpulang kepada kreativiti untuk mendandan dan keterbukaan hati setiap individu untuk menerima kelainan diri seadanya.

Anda mungkin berasakan rambut keriting sebagai masalah dan kelemahan diri. Namun, ada ramai wanita yang memilih untuk berfikir secara positif dan menganggap diri mereka unik berbanding orang lain.

Ada banyak teknologi dan kaedah dandanan yang boleh digunakan wanita berambut keriting supaya selesa dengan penampilan diri. Soal rambut kusut boleh ditangani dengan pilihan syampu dan perapi tepat. Ikuti beberapa tip yang mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah wanita berambut keriting. Ingat, walau apa pun jenis rambut anda, ia tetap mahkota yang wajar dibanggakan!

Mencuci rambut

Pilih syampu khusus untuk rambut keriting dan bilas sehingga bersih. Anda boleh meramas rambut seperti biasa. Usah risau rambut kusut. Usai membilas, gunakan perapi sambil 'menyikat' rambut dengan jari.

Biarkan lima minit dan bilas bersih.

Menyikat

Waktu terbaik untuk menyikat rambut keriting adalah ketika ia masih basah. Luangkan masa di depan cermin bilik air buat seketika untuk menyikat rambut. Pilih sikat bergigi kasar untuk mengelakkan rambut putus.

Selesai menyikat rambut, lap lebihan air dan gunakan perapi tanpa bilas.

Mengeringkan rambut

Anda mungkin teruja melihat bagaimana pendandan di salun menguruskan rambut pelanggan menggunakan pengering. Usah terpedaya. Ia mungkin nampak mudah, tetapi berisiko menambah kekusutan rambut. Sebaiknya, keringkan rambut dengan tuala di depan kipas. Sikat perlahan-lahan.

Menggunting rambut

Menggunting rambut keriting ketika basah mungkin memberikan hasil yang jauh berbeza apabila ia kering. Jadi, jangan sesekali cuba melakukan sendiri. Dapatkan bantuan pakar. Satu lagi, jangan gunakan mata pisau (razor) untuk rambut keriting kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pramatang dan pertumbuhan rambut aneh.

Mengubah rambut

Sekalipun ada rawatan untuk meluruskan rambut, ia mungkin berkesan kepada mereka yang mempunyai jenis rambut halus. Jika tidak, hasil rawatan hanya akan bertahan beberapa hari saja. Dalam erti kata lain, anda sebenarnya membazir wang!

Cuba terima dan memahami kelainan yang ada pada diri. Berambut keriting juga manis jika bijak menyesuaikan gaya.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 1:14pm
d