hati

Kecergasan beri impak kepada kecantikan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Sedar atau tidak, tubuh yang sihat dan cergas sebenarnya memberi banyak kesan kepada kecantikan diri serta penampilan wajah.

Tidak kira sama ada amalan pemakanan sihat, gaya hidup aktif atau kekal dengan emosi positif, ketiga-tiga unsur ini boleh jadi kunci utama untuk membentuk diri wanita anggun sempurna.

Meraikan Hari Kesejahteraan Global selaras dengan evolusi syarikat, spa wajah HerbaLine menekankan kepada wanita berkenaan pentingnya pemahaman khusus terhadap petua kesejahteraan diri yang boleh memberi impak positif kepada kecantikan tubuh dan wajah.

Kata Timbalan Pengurus Besar HerbaLine Gary Sho, masih ramai wanita tidak faham konsep kesejahteraan diri dan menganggap kecergasan mental serta fizikal hanya perlu untuk kesihatan. Padahal, untuk menjadi individu yang anggun dan benar-benar sihat, mereka perlu memberi perhatian kepada penjagaan tubuh, minda serta emosi secara holistik.

Selaras falsafah jenama spa itu, mereka menggunakan Hari Kesejahteraan Global untuk berkongsi lebih banyak ilmu dan petua kesejahteraan menerusi saluran media sosial serta edaran risalah kepada orang ramai.

“Kami percaya setiap individu perlu melakukan perubahan untuk mencapai kesejahteraan hidup yang diinginkan. Jadi, kita perkenalkan konsep dua dalam satu HerbaLine Facial Spa dan Mama Kim dengan tema Jaga Pemakanan dan Jaga Penampilan bagi 2018.

“Menerusi konsep baru ini, kami tawarkan pengalaman menyegarkan, memulihkan, melegakan tubuh, fikiran dan perasaan. Ia bertujuan mengembalikan kesejahteraan, keyakinan diri dan kesihatan menyeluruh wanita dari dalam hingga ke luar.

“Kami juga menggalakkan amalan pemakanan sihat dengan menawarkan sajian percuma di Mama Kim. Selain itu, pelanggan yang mendapatkan khidmat

di HerbaLine Facial Spa juga akan menikmati rawatan lilin parafin kaki secara percuma.

“Bagi membantu mengembalikan semua keyakinan diri wanita, kami juga menawarkan rawatan urut muka dan badan, diikuti mandian kaki garam laut, terapi spa ikan serta minuman serai menyegarkan,” katanya.

Jelas Sho, dia terkesan dengan Laporan Ekonomi Pelancongan Kesejahteraan Global 2013 yang mentakrifkan kesejahteraan sebagai kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.

“Ia bukan sekadar bermaksud bebas daripada penyakit atau keuzuran, tapi turut menekankan gaya hidup proaktif, sihat dan sejahtera. Kalau diperhatikan, banyak syarikat dan individu membelanjakan jutaan ringgit untuk pelan penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan, tetapi kurang memberi perhatian kepada program kesejahteraan yang boleh mengelak atau mengekang seseorang daripada jatuh sakit.

“Malah laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jun 2018 menunjukkan penyakit tidak berjangkit (NCD) kini meragut nyawa 41 juta orang setiap tahun, bersamaan 71 peratus daripada kematian global. Angka ini akan meningkat pada tahun mendatang, menjadikan amalan memelihara kesejahteraan itu penting demi kesihatan, kecergasan diri dan penampilan positif masyarakat,” katanya.

Berikutan itu, Sho berkongsi beberapa tip dan petua untuk panduan ringkas pembaca.

1. Jaga kesihatan fizikal

Lakukan senaman fizikal sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Ini bukan saja dapat meningkatkan fungsi otak, mood dan tenaga, tetapi turut mengurangkan tekanan dan keresahan.

?Pastikan anda masuk tidur dan bangun pagi pada waktu yang sama setiap hari untuk memastikan corak tidur yang konsisten.

2. Jalin hubungan sihat

Sistem sokongan penting untuk menjamin kesejahteraan. Tumpukan kepada usaha menjalin hubungan ikhlas yang membawa makna ke dalam hidup. Luangkan masa berkualiti bersama orang yang menyayangi, mementingkan kesihatan dan kebahagiaan anda.

Sesekali, pergilah bercuti bersama keluarga dan kawan untuk memulihkan kesegaran, kecergasan dan kesejahteraan diri.

3. Uruskan tekanan, kawal perasaan

Tiada cara untuk lari daripada tekanan. Apabila anda tidak boleh mengubah keadaan, anda boleh cuba mengubah fikiran. Anda boleh bergantung kepada kemahiran menguruskan keadaan dengan cara yang sihat seperti meditasi, yoga, menulis, melukis, mendengar muzik atau mencurahkan perasaan kepada seorang yang anda percayai.

4. Jaga makan

Pemakanan adalah asas kesihatan dan kesejahteraan fizikal serta mental setiap orang. Sayur dan buah kaya dengan vitamin, mineral, serat serta fitonutrien lain untuk kesihatan harian. Cuba amalkan pengambilan lima warna makanan sehari kerana fitonutrien dalam sayuran dan buah-buahan bukan saja mampu menguatkan sistem imun untuk mencegah kanser dan penyakit jantung, tapi juga baik untuk menentang penuaan serta membaiki DNA.

5. Air untuk tubuh

Minum banyak air! Dalam kehidupan manusia, air penting untuk kesihatan badan dan mental. Malah, pengambilan air yang cukup juga membantu memperbaiki masalah kulit kering.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 1:19pm
d