hati

Langkah betul bersih wajah

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kecantikan dan wanita tidak dapat dipisahkan. Mereka sanggup melakukan apa saja untuk kelihatan cantik tidak kira bagi kepuasan diri atau bergaya di hadapan orang lain.

Bagi segelintir wanita, mereka sudah cukup selesa untuk tampil dengan wajah polos di khalayak umum. Begitupun, ramai mengakui mereka sebenarnya lebih yakin dengan rupa yang lebih kemas, terurus dan menggayakan solekan bersesuaian dengan majlis.

Lihat saja bagaimana kebanyakan gadis dan wanita muda hari ini tertarik untuk mempelajari ilmu tatarias menerusi kelas dandanan diri atau mencedok pelbagai tip, cadangan dan petua yang dikongsi pengguna media sosial.

Membentuk kening umpamanya, bukan lagi sukar dan rumit untuk dilakukan. Masing-masing ada cara dan kemahiran tersendiri selepas kerap kali mencuba di depan cermin.

Sapuan pemerah pipi, pembayang mata, hidung dan rahang, pemilihan gincu, maskara serta bedak asas, semuanya menepati keperluan apatah lagi kehendak kulit.

Ada yang dilihat bersolek agak keterlaluan, namun mereka tetap yakin dengan kreativiti dan kemahiran diri. Sementara bagi yang sudah melepasi tahap amatur, mereka bijak menggunakan kemahiran yang ada dan menawarkan khidmat solekan buat mereka memerlukan.

Tidak kira secekap manapun wanita bersolek atau mendandan orang lain, usah sesekali mengabaikan rutin membersih wajah yang betul. Ini lebih penting berbanding memilih jenis produk yang hendak digunakan.

Lihat saja bagaimana selebriti wanita dan lelaki di Korea menitikberatkan penjagaan wajah mereka sebaik bangun atau sebelum tidur. Mereka tidak lokek memperuntukkan sedikit masa untuk membersihkan wajah, memakai pupur, mengoles losyen serta krim untuk mengekalkan kesihatan kulit wajah yang optimum.

Hal sama sewajarnya dijadikan amalan wajib bagi setiap wanita di negara ini. Faktor cuaca, penggunaan alat solek yang tebal, pekerjaan, tahap pencemaran udara dan tekanan kerja menjadi sebab utama perlunya rutin mencuci wajah yang baik.

Pemilik D&D Beauty House, Datin Diana Ibrahim, baru-baru ini berkongsi rutin asas mencuci wajah selepas seharian mengenakan solekan dan terdedah kepada pencemaran di luar.

Katanya, setiap wanita perlu mencuci muka mengikut langkah demi langkah memandangkan bahan solekan yang digunakan untuk merias wajah biasanya mengandungi bahan kimia.

“Kita tidak mahu sisa solekan yang tertinggal pada liang kulit memberi kesan buruk pada wajah. Soal memilih jenis produk penjagaan itu terpulang kepada setiap individu.

“Bagaimanapun, kita selalu mencadangkan kepada pelanggan supaya memilih pembersih wajah berasaskan susu. Ini kerana susu tidak mengeringkan kulit. Elakkan memilih minyak mineral kerana ia tidak baik untuk wajah,” katanya.

Menurut Diana, untuk kesan lebih efektif, wanita boleh melakukan pembersihan dua peringkat menggunakan pembersih berasaskan susu untuk menanggalkan sisa solekan, diikuti buih pembersih dan bilas.

“Namun, jika mengenakan mekap yang tebal, bersihkan dulu menggunakan cecair penanggal solekan. Usah guna tisu basah untuk menghilangkan kesan solekan kerana ia cenderung menyebabkan kulit kering dan pori wajah tersumbat. Jika perlu, gunakan pupur seminggu sekali,” katanya.

Ikuti langkah demi langkah membersihkan wajah sebagai panduan untuk mencipta rutin harian baru yang betul!

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 1:30pm
d