hati

Permudah ibu berkerjaya

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Menyediakan hidangan untuk keluarga bagi sesetengah wanita terutama ibu berkerjaya pasti terasa membebankan apatah lagi jika memerlukan rencah dan proses yang merumitkan.

Daripada proses penyediaan bahan hingga memastikan sajian menepati selera seisi keluarga, ramai ibu yang mengaku kalah dan akhirnya memilih restoran untuk menikmati hidangan enak.

Bagaimanapun, kemunculan pelbagai pengusaha yang inovatif dalam penyediaan pes masakan segera memudahkan tugas isteri dan ibu menyediakan hidangan enak tanpa perlu bersusah payah menyiapkan rencah yang kebanyakannya memerlukan proses rumit serta memakan masa.

Pes atau rencah terdapat di pasaran juga kebanyakannya tidak kurang enaknya jika dibandingkan dengan yang disediakan sendiri. Selain itu ia ada banyak pilihan, dari sajian yang ringkas hinggalah masakan rumit.

Jenama Nisa Bakri kian mendapat tempat di negara ini dalam penyediaan pes dan rempah makanan segera yang bukan saja enak malah memudahkan ramai orang memasak hidangan dengan lebih pantas tapi masih mengekalkan rasa asli masakan tradisi serta moden.

Pengasasnya, Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid memperkenalkan tiga perencah segera baru bagi memudahkan golongan wanita menyediakan makanan.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Nisa Bakri berkata, pes terbaru yang dikeluarkan adalah Perencah Segera Ikan Bakar, Perencah Segera Masala Ayam dan Perencah Segera Tomyam Sotong.

Jelasnya, sebelum ini, sebanyak sembilan perencah segera jenama Nisa Bakri sudah berada di pasaran antara yang mendapat sambutan menggalakkan adalah Perencah Segera Asam Pedas dan Perencah Segera Kari Ikan.

“Menggunakan bahan semula jadi yang asli, tanpa pewarna dan tanpa MSG, perencah segera ini sangat mudah digunakan serta cepat dimasak. Sekali gus memudahkan wanita menyediakan makanan dan harganya sangat berpatutan iaitu RM8 setiap satu,” katanya.

Produk jenama itu turut menjual pelbagai jenis rempah ratus berkualiti tinggi didatangkan khas dari beberapa negara asal antaranya bawang merah India, jintan manis, lada hitam, badam dan banyak lagi.

Sementara itu, sebagai pelengkap resipi, Shariffa Nisa menghasilkan buku kompilasi resipi lebih 25 jenis menu hidangan berjudul Air Tangan Nisa Bakri.

Katanya, buku itu diterbitkan untuk panduan penggemar masakan selain rujukan suri rumah yang inginkan kelainan dalam juadah disajikan.

“Semua ini sebahagian inisiatif saya untuk berkongsi keistimewaan makanan dan hidangan Malaysia yang sangat mudah disediakan serta lazat untuk dinikmati.

“Pengenalan buku resipi masakan ini antara langkah ke depan bagi memperkenalkan produk ini di samping membuka peluang kepada penggemar masakan mempelajari cara penyediaan menu masakan tempatan.

“Penghasilan buku ini juga adalah bukti kesungguhan saya mempromosikan masakan tradisi Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya yang pernah berkunjung ke serata destinasi termasuk London, Perancis, Thailand, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan memperkenalkan produk jenamanya sendiri.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 2:55pm
d