hati

42 jadi pembimbing rakan sebaya

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Unik, berilmu dan bermanfaat. Ketika ramai kanak-kanak dan remaja seusia mereka menikmati pelbagai bentuk hiburan di luar, 42 penghuni Rumah Ilham juga diberi peluang berharga, menonjolkan nilai kepemimpinan dalam diri dengan menjadi pembimbing rakan sebaya buat pelajar KAFA Integrasi Hidayatul Islamiah Kampung Baru Hicom, Shah Alam, Selangor.

Sebelum berlangsungnya program setengah hari itu, penghuni Rumah Ilham sudah diberi pendedahan menerusi projek Making A Difference (MAD) Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB). Menerusi apa yang dipelajari, mereka diberi tanggungjawab membimbing rakan sebaya, sekali gus berkongsi ilmu dan pengetahuan berkaitan kepemimpinan.

Bertindak sebagai jurulatih, kanak-kanak dan remaja berumur antara sembilan hingga 17 tahun itu memperlihatkan bagaimana kepemimpinan boleh disemai kepada rakan sebaya menerusi semangat kerja berpasukan, produktiviti, integriti, keyakinan diri, kreativiti, pemikiran kritikal dan kemahiran komunikasi yang membolehkan keputusan wajar dibuat dalam hidup.

Program diadakan di Masjid Kampung Baru Hicom itu bagaimanapun diadakan dengan kerjasama perusahaan sosial ‘Leaderonomics’ yang bermatlamat membawa transformasi dalam masyarakat menerusi pembangunan kepemimpinan.

Pengurus Hal Ehwal F&NHB Cariessa Goh berkata, permulaan projek itu bukan sekadar memperkasakan penghuni Rumah Ilham dengan pengetahuan, peralatan dan kemahiran yang diperlukan, malah mendidik mereka mencari penyelesaian berkesan kepada masalah dunia sebenar, sekali gus membangunkan keyakinan serta keupayaan untuk berdikari menerusi bimbingan mentor.

“Sepanjang program berlangsung, penghuni Rumah Ilham memainkan peranan sebagai pembimbing dan mengetuai pelajar KAFA Integrasi Hidayatul Islamiah berumur antara sembilan hingga 12 tahun.

“Mereka melakukan pelbagai aktiviti mencabar yang mengajar peserta berkenaan nilai kepemimpinan. Pada dasarnya, penghuni Rumah Ilham adalah perancang di sebalik program. Mereka mengilhamkan idea, konsep dan kaedah pembelajaran yang perlu diterapkan dalam setiap satu daripada lima aktiviti dianjurkan pada hari berkenaan.

“Bimbingan, pengetahuan dan kemahiran mereka ini diperoleh menerusi kem kepemimpinan dua hari satu malam yang dianjurkan F&NHB baru-baru ini. Bermodalkan kefahaman dan pelajaran dari kem berkenaan, mereka menjayakan program ini dengan bimbingan fasililator ‘Leaderonomics,” katanya.

Menurut Cariessa, banyak manfaat diperoleh penghuni Rumah Ilham, bukan saja dalam hal kepemimpinan tetapi turut mempengaruhi pembangunan diri dan aspek pendidikan. Paling penting, mereka juga dapat membina keyakinan diri dalam usaha meluaskan zon selesa sambil berkongsi pengalaman dan ganjaran diperoleh dengan orang lain.

“Kami sudah mengikuti perjalanan pembelajaran penghuni Rumah Ilham selama hampir 10 tahun. Apa yang boleh dikatakan, kami berbangga dengan kemajuan mereka tidak kira dari sudut akademik mahupun perwatakan. Kami juga berbesar hati melihat setiap perkembangan mereka dan akan terus memberi sokongan dengan menyediakan keperluan penting pada masa akan datang.

“Nampak jelas program pembangunan kepemimpinan bersama pelajar KAFA Integrasi Hidayatul Islamiah berjaya mengukir kejayaan baru. Kami menerima banyak maklum balas positif daripada peserta dan ahli jawatankuasa masjid.

“Ini mencerminkan kesungguhan, komitmen dan rasa tanggungjawab mereka dalam melaksanakan program serta memastikan setiap perancangan berjalan lancar,” katanya.

Peserta program, Nor Adriana Syuhaida, 12, berkata, dia seronok menyertai program berkenaan kerana dapat mempelajari bagaimana kerjasama menyumbang kepada kejayaan pasukan.

“Selain kerjasama satu pasukan, saya dapati usaha membantu satu sama lain dan sifat gigih juga penting untuk mencapai kejayaan. Semua aktiviti memerlukan ahli pasukan bekerjasama. Ini bukan mudah kerana setiap orang mempunyai pandangan dan cara tersendiri.

“Ternyata program ini benar-benar menyeronokkan dan akan diingat sebagai kenangan bermakna pada masa depan,” katanya.

Penghuni Rumah Ilham yang juga pembimbing utama program, Muhd Danish Haikal, 16, berkata, program pembangunan kepemimpinan itu banyak mematangkan dirinya dalam membuat keputusan.

“Secara keseluruhan, program ini banyak membantu saya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri. Bagi ilmu komunikasi dua hala umpamanya, saya mula yakin berinteraksi dengan orang lain serta menumpukan perhatian apabila bercakap dengan mereka.

“Kami juga belajar menghargai diri dan menyelesaikan masalah secara kreatif. Semoga apa yang kami kongsikan sepanjang program ini nanti memberi banyak perubahan dalam hidup masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 2:00pm
d