hati

Pastikan si kecil selamat

Oleh Siti Zarinah Sahib

Pelbagai kes yang dilaporkan di media massa mengenai penderaan dilakukan pengasuh membuatkan ibu bapa tidak senang duduk. Walaupun percaya dengan penjagaan di tempat asuhan anak, fobia dan bimbang tetap ada apabila membayangkan mengenai kejadian kanak-kanak maut di pusat asuhan atau rumah pengasuh.

Bagi ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke rumah pengasuh yang baru dikenali, pastinya persoalan sama ada anak mereka diasuh dengan baik akan berlegar-legar di fikiran. Untuk memeriksa setiap jam tentunya mustahil. Sudah pasti ibu bapa hanya berserah dan bertawakal agar si kecil berada dalam keadaan baik sepanjang 10 jam atau lebih di bawah penjagaan mereka.

Bagi Pengerusi Kelab Rekreasi Pengasuh Malaysia Siti Azha Yusoff, seseorang pengasuh perlu sedar tanggungjawab sebagai pengasuh adalah amat berat dan penting bagi memastikan si kecil berada dalam keadaan sihat di bawah penjagaan pengasuh. Ini kerana masa berkualiti bersama anak yang dijaga kadangkala lebih panjang berbanding bersama ibu bapa.

Dia yang juga berpengalaman sebagai pengasuh di rumah selama tujuh tahun menjelaskan pengasuh memerlukan kerjasama ibu bapa.

“Dalam hal ini amat penting untuk pengasuh mendapatkan ilmu keibubapaan menerusi kursus anjuran agensi tertentu dan mendaftarkan rumah jagaan mereka apabila bilangan anak asuhan meningkat empat orang. Namun mereka yang belum berdaftar seharusnya berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menceritakan pengalaman bergelar pengasuh, menurut Siti Azha, dia mulanya mengambil keputusan menjadi suri rumah selepas melahirkan cahaya mata kelima. Ketika itu dia bertugas sebagai pengurus katering di sebuah syarikat pengurusan makanan.

“Apabila anak bongsu meningkat usia tiga tahun saya mulai bosan dan memilih untuk menjaga anak asuhan kerana ingin mencari kawan untuk anak sendiri. Bermula dengan tiga anak asuhan yang tinggal di kawasan sekitar kemudian bertambah kepada lima orang.

“Lama-kelamaan saya memikirkan untuk menghadiri pelbagai kursus mengenai penjagaan anak asuhan untuk mendapatkan ilmu keibubapaan. Semakin banyak kursus yang saya sertai, lebih banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya.

Tekad mendaftarkan rumah asuhan mengikut prosedur yang betul, pada 2012 Siti Azha mengambil Kursus Asuhan Kanak-Kanak di bawah JKM namun pelbagai proses perlu dilaluinya sehingga hanya didaftarkan secara sah pada 2015 menggunakan nama Taska di Rumah ICT di Shah Alam, Selangor.

“Selepas mendaftar saya lebih berkeyakinan menjaga bayi dan kanak-kanak. Sehingga kini semuanya berjumlah enam orang untuk bayi berusia dua bulan ke atas di rumah pertama manakala rumah kedua menempatkan sembilan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas,” katanya.

Sebagai pengerusi kelab dia bertanggungjawab memberi pendedahan kepada pengasuh di rumah untuk berdaftar dengan JKM. Oleh kerana kebanyakan mereka adalah suri rumah, ramai yang kurang arif mengenai proses pendaftaran.

“Jadi saya membantu memudahkan tugas mereka dan menjelaskan kebaikan diperoleh sekiranya berdaftar dengan JKM. Mengenai kursus yang diambil pula ia sama seperti pengasuh di taska cuma silibus untuk Kursus Asuhan Permata lebih berat dan kurang sesuai dengan tahap pendidikan pengasuh di rumah. Namun ini bukan bermakna mereka tidak perlu mengambil kursus ini kerana ia sangat penting bagi melayakkan mereka mendapat sijil,” katanya.

Perlu ada komunikasi dengan ibu bapa

Sepanjang bergelar pengasuh, Siti Azha mengakui dia turut berdepan tekanan terutama berkaitan anak jagaan. Namun dia mempunyai cara menanganinya antaranya dengan meluahkan masalah menerusi kumpulan WhatsApp golongan ibu supaya mereka tahu masalah dihadapinya. Sebelum menerima anak jagaan dia juga menetapkan beberapa perkara yang harus diikuti bagi melancarkan urusan menjaga anak.

“Saya juga memastikan ibu bapa menganggap saya sebagai rakan dan bukan sebagai pengasuh semata-mata. Ini sangat penting kerana rasa tertekan dan kurang gembira ketika menjaga anak akan membuatkan pengasuh marah atau mungkin melakukan perkara tidak baik kepada anak yang dijaga. Sebab itu pentingnya individu yang mampu menjadi pendengar dan memberikan pendapat mengenai sesuatu masalah,” katanya.

Perkara paling penting yang sering ditekankan adalah tujuan menjaga anak asuhan dengan niat kerana Allah dan bukan untuk duit semata-mata. Apabila ada rasa tanggungjawab ini, Allah akan menghadirkan rasa kasih sayang dalam diri pengasuh kepada anak jagaan mereka.

“Rasa sayang inilah yang akan menjamin pengasuh tidak melakukan perkara tidak diingini dan menjaga anak yang dihantar seperti anak mereka sendiri,” katanya.

Kata Siti Azha, anak ini ibarat kain putih, jadi ibu bapa yang perlu mencorakkan kehidupan mereka. Menjaga anak kecil ini mudah jika pengasuh tahu caranya. Peluk, cium dan memberi pujian adalah cara terbaik menenangkan anak. Selain itu jaga perkataan diluahkan agar tiada perkataan tidak elok yang menjadi ikutan anak.

Merancang menganjurkan program untuk pengasuh di rumah, Siti Azha berharap program membabitkan ibu bapa, pengasuh, kaunselor dan peguam yang diadakan Ogos ini akan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pentingnya mencari pengasuh berdaftar serta penyelesaian kepada isu berkaitan penjagaan anak.

Panduan pilih pengasuh

1. Semak profil laman sosial pengasuh dan lihat perkataan yang digunakannya sama ada baik atau sebaliknya.

2. Ketika meninjau ke rumah pengasuh lihat persekitaran rumah dan anak di bawah jagaan pengasuh.

3. Lihat juga sama ada pengasuh berdaftar dengan JKM atau tidak sekiranya anak jagaan melebihi empat orang. Jika tidak abaikan saja dan cari pengasuh lain.

Beri ruang pengasuh luah perasaan

Menurut Pengasas Terapi Seni Ekspresi atau Modul REST merangkap kaunselor berdaftar Dr Rafidah Kastawi, ada banyak faktor yang boleh mendorong penderaan ke atas anak asuhan seperti yang kini hangat diperkatakan.

Sebagai kaunselor yang pernah mengendalikan kes penderaan anak asuhan, jelas Dr Rafidah, selepas diselidiki dia mendapati pengasuh mempunyai rasa tidak puas hati atau masalah emosi yang belum selesai ketika zaman kanak-kanak.

“Pada zaman kanak-kanak dia tidak dihiraukan keluarga dan wujud rasa kecewa. Perasaan ini terbawa-bawa sehingga dewasa. Apabila berlaku sesuatu perkara seperti tekanan melampau, ruang lingkup kerja yang luas menyebabkan dia melampiaskan rasa marah kepada si kecil dengan memukul atau mencederakan mereka,” katanya.

Oleh itu dari sudut psikologi, sangat penting untuk kita menyelesaikan persoalan lampau yang masih membelenggu fikiran kerana ia boleh mempengaruhi kehidupan pada masa kini. Misalnya rasa marah, tertekan atau kurang kasih sayang ibu bapa atau orang di sekeliling perlu diluahkan kepada mereka yang boleh dipercayai. Sekiranya tidak diselesaikan, sampai satu masa ia akan dipindahkan kepada individu yang hampir dengan diri mereka.

Tidak mustahil pengasuh juga pernah didera suatu ketika dulu yang mendorong mereka menjadi pendera. Ada kajian di luar negara yang membuktikan perlakuan ini apabila ada unsur balas dendam, keras hati, melawan dan memberontak dalam diri yang dilindungi oleh sifat sebaliknya.

Menjelaskan mengenai kesan dialami sama ada pendera atau si kecil, jelas Dr Rafidah, fitrahnya trauma yang dialami akan tersimpan kekal sepanjang hayat. Jangan beranggapan anak tidak tahu apa-apa kerana masih kecil. Pada usia satu hingga enam tahun otak si kecil mudah menyerap apa saja yang berlaku di sekeliling mereka.

“Oleh itu amat penting ibu bapa mendapatkan rawatan selanjutnya daripada pakar, sentiasa memastikan emosi si kecil berada dalam keadaan baik dan tidak mendedahkan kepada perkara yang boleh mewujudkan trauma buat kali kedua,” katanya.

Bagi pendera pula sudah pasti rasa bersalah akan menghantui diri sepanjang hayat. Apatah lagi jika bayi yang didera mengalami kecederaan fizikal dan mental. Lebih parah jika meninggal dunia. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan tekanan mental atau gila.

Bagi mengatasi masalah ini Dr Rafidah mencadangkan supaya pengusaha taska memberikan ruang kepada pengasuh meluahkan perasaan atau apa saja yang tersimpan di hati mereka.

“Beri mereka ruang untuk bercerita apa yang dirasai contohnya kesukaran mengendalikan anak, keletihan diberikan kerja yang tidak setimpal atau mungkin juga masalah peribadi seperti kewangan dan keluarga. Bina sistem sokongan di taska sama ada untuk pengusaha. Jika pengasuh di rumah suami dan keluarga anak asuhan perlulah memberi sokongan supaya mereka tidak berasa bersendirian berhadapan dengan masalah,” katanya.

Jika melihat ada perubahan pada diri pengasuh seperti bertukar pendiam atau resah gelisah, segera bawa mereka bertemu kaunselor atau pakar psikiatrik demi keselamatan anak-anak dan juga reputasi taska mereka sendiri.

Bagi ibu bapa pula sentiasa pantau kesihatan anak. Sekiranya melihat ada calar atau kesan lebam pada tubuh dan kemaluan segera bawa anak bertemu doktor. Anak-anak kecil yang sudah pandai bercakap biasanya tidak berbohong. Oleh itu jangan abaikan aduan anak. Ibu bapa juga dinasihatkan meningkatkan ilmu keibubapaan dengan menghadiri pelbagai kelas atau bengkel yang diadakan agensi tertentu.

“Terutama mereka yang mengendalikan asuhan di rumah supaya mendapatkan sijil asuhan awal kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dapat mengelak daripada pelbagai kes yang berlaku pada masa kini. Sijil itu menandakan mereka sudah mendapatkan maklumat mengenai didikan awal kanak-kanak dan cara berhadapan dengan kemalangan di rumah,” katanya.

Pada masa sama Dr Rafidah menggalakkan pengasuh, ibu bapa dan anak meluahkan perasaan menerusi cara melukis dan mewarna kerana ia cara terbaik untuk mengekspresi emosi dan luahan masalah yang membelenggu fikiran. Melukis bersama anak-anak pula dapat mengeratkan perhubungan di antara satu sama lain.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 8:00am
d