hati

Melakar imej unik

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Tingkatkan deria fesyen sepanjang bulan ini dengan mengikuti pelbagai aktiviti menarik sempena berlangsungnya kempen Posh & Glam di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur.

Menampilkan lebih 130 jenama fesyen dan 20 jenama kecantikan popular, pengunjung yang datang bukan saja berpeluang mengikuti sesi merubah wajah dan rambut dengan bantuan pendandan profesional di ruang kecantikan, malah turut membawa pulang cenderahati menarik.

Ketika pelancaran kempen baru-baru ini, Pengurus Besar Kanan Sunway Velocity Mall KS Wong berkata, pihaknya komited untuk terus meningkatkan jumlah jenama fesyen dan kecantikan sekali gus melakar imej unik serta menarik buat pusat beli-belah berkenaan.

“Kami mahu Sunway Velocity Mall dikenali sebagai hab fesyen dan kecantikan di Kuala Lumpur. Setakat ini, kami mempunyai barisan jenama antarabangsa seperti Burton Menswear, Laneige, Miss Selfridge, H&M, Lacoste, Charles & Keith, Pedro, Sacoor Brothers, MAC, Victoria Secret, Innisfree, Aldo, Superdry dan SPAO.

“Beberapa jenama antarabangsa unik juga dijangka membuka butik mereka di sini pada pertengahan Ogos nanti. Jadi, inilah waktu tepat untuk kami memperkenalkan lebih banyak kelebihan serta keunikan yang ada di sini menerusi pelbagai acara menarik bersama pengunjung termasuk penebusan, pertandingan serta aktiviti fesyen,” katanya.

Memeriahkan acara di pentas pelancaran, 10 model tampil memperagakan enam jenama fesyen antarabangsa termasuk Lancaster, Superdry, ELLE, Miss Selfridge dan Burton Menswear.

Selain pertunjukan fesyen, kempen berkenaan juga membawakan sesi perkongsian menerusi bengkel kecantikan, solekan profesional dan aktiviti bersama personaliti media sosial.

Bagi yang mempunyai anak kecil, sertai peraduan Little Fashionistas yang berlangsung hari ini. Si cilik hanya perlu berpakaian cantik dengan tema Percutian Musim Panas atau Santai, menyertai peragaan di pentas dan berpeluang menang hadiah lumayan daripada pelbagai jenama yang mengambil bahagian!

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 12:29pm
d