hati

Martabat seni lukisan inai

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Wanita ini ingin mencari kelainan dan pada masa sama berusaha memartabatkan seni lukisan inai di mata masyarakat tempatan.

Sekali melangkah dalam bidang dipilih menjadikan dia bukan saja sentiasa komited, malah lebih daripada itu kerana tanpa kenal erti penat, ibu kepada dua cahaya mata ini mempelajari pelbagai perkara baru terutama bagi memastikan perjalanan perniagaannya terus berkembang.

Bagi Noranis Abdul Munien, usahanya dalam memajukan perniagaan produk berasaskan inai adalah langkah tepat memandangkan bidang itu kurang dipelopori rakyat tempatan.

Mempunyai kelulusan dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Noranis berkata, bukan tidak berminat bekerja mengikut kelulusan yang ada, tetapi keinginan menceburi dan memiliki perniagaan sendiri lebih kuat menguasai hatinya.

“Saya memilih berkecimpung dalam bidang ini kerana minat untuk memartabatkan seni lukisan inai di mata masyarakat tempatan.

“Saya bermula sejak di universiti lagi dengan menubuhkan perniagaan sendiri, tetapi ketika itu menjual produk kecantikan dan tudung,” katanya.

Menurutnya, perniagaan yang diusahakan semakin berkembang sebelum dia mengambil keputusan mengusahakan perniagaan berasaskan produk inai.

“Saya mula serius dalam bidang ini sejak November 2015. Semangat untuk berniaga semakin kuat lantaran menerima sambutan yang menggalakkan.

“Saya rasa lebih bersemangat apabila suami turut menyokong apa yang saya usahakan ini dan dia yang sebelum ini bekerja di dalam sektor swasta mengambil keputusan berhenti bekerja demi untuk membantu,” ujarnya.

Pengeluar dan pembekal inai

Selepas berkecimpung secara serius dalam bidang ini, kini dia antara pengeluar dan pembekal produk berasaskan inai di Malaysia.

Noranis berkata, antara produk yang dikeluarkannya adalah inai kon, inai kilo, inai celup, inai kuku, inai serbuk, minyak inai dan pelbagai lagi produk berasaskan inai.

“Kami juga mempunyai lebih 100 ejen aktif seluruh Malaysia yang menjual produk inai keluaran kami dan mengambil tempahan melukis inai pengantin.

“Pada masa sama, kami juga menyediakan perkhidmatan melukis inai pengantin, menguruskan majlis malam berinai, menerima tempahan pelamin dan solekan,” katanya.

Menurutnya, dia mula menjalankan perniagaan secara dalam talian terutama di laman Facebook untuk menjual semua produk berasaskan inai dan kini turut menerima tempahan untuk majlis berinai di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Disebabkan mempunyai ejen di seluruh negeri membuatkan perniagaan ini semakin berkembang kerana ia bukanlah tertumpu di pantai timur saja.

“Disebabkan saya juga antara pelukis inai menyebabkan saya sendiri mahukan kualiti inai terbaik yang mampu memberi hasil lukisan luar biasa sekali gus memuaskan hati pelanggan,” ujarnya.

Katanya, untuk mengecapi kejayaan pastinya perniagaan diusahakan mempunyai pelbagai cabaran dan dugaan. Antara cabaran paling besar dan biasa, ialah memuaskan hati pelanggan. Malah dia juga perlu bijak menangani pelbagai kerenah pelanggan yang mahukan perkhidmatan terbaik dengan kos rendah.

“Selain itu, saya turut berdepan dengan masalah dalam menggunakan perkhidmatan pos kerana ada ketika barang yang saya pos pecah dan rosak apabila sampai ke tangan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, walau apa juga dugaan dia tidak mahu menjadikannya sebagai pematah semangat dan berazam untuk terus melakar kejayaan terutama dalam memperkenalkan semua produk inainya.

Impikan kejayaan lebih cemerlang

Dalam apa juga perniagaan diusahakan pastinya setiap individu mengimpikan kejayaan yang cemerlang dan mampu kekal bertahan dalam bidang diceburi.

Menurut Nor Anis, dia memasang impian dan harapan supaya jenamanya menjadi satu nama besar dan tidak asing lagi dalam dunia seni lukisan inai.

“Saya ingin menjadi pembekal produk berasaskan inai kepada semua pelukis inai di dalam mahupun luar negara pada masa akan datang.

“Impian ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun saya tidak akan berhenti berusaha kerana saya mengharapkan pada masa akan datang apabila sesiapa saja mahukan inai mereka akan mencari kami,” ujarnya.

Noranis berkata, dia juga berharap setiap ejen di bawahnya terus berkembang maju dan sentiasa ada bersamanya untuk menaikkan martabat seni inai di mata masyarakat tempatan.

“Bukan mudah untuk berjaya, namun amat mudah untuk gagal. Disebabkan itu, saya perlu berusaha lebih gigih terutama dalam menepati kehendak pelanggan yang mahukan kualiti inai terbaik.

“Pada masa sama, saya bersama ejen akan terus menghasilkan lukisan inai yang kreatif bagi mengangkat lagi jenama yang saya usahakan,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 2:27pm
d