hati

Jadi diri sendiri sepuas-puasnya

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Senyuman wanita ini meleret manis saat melambai dari pintu kaca. Riak cerianya menyambut penulis bersama jurugambar. Pantas Yeoh Mong Chin menghulur tangan, memperkenalkan diri. Lagaknya santai, tidak sombong.

Mungkin kerana latar belakang dirinya sebagai personaliti media sosial, Mong Chin mudah mesra dengan sesiapa saja. Sekalipun publisiti diterima kini melebihi seorang selebriti, namun wanita dari kota singa ini tetap merendah diri.

Kata Mong Chin, dia orang biasa yang selesa menjalani kehidupan sederhana, tetapi cukup meminati bidang solekan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup.

“Sekitar lima tahun lalu, saya adalah pelajar jurusan perakaunan di Singapore Management University. Saya sibuk menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan, menduduki ujian dan peperiksaan.

“Namun, dalam kesibukan itu, saya tidak pernah jemu meneroka banyak perkara baru. Saya mula menjadi pengikut media sosial dan blog serta belajar mengenai solekan, dandanan diri mahupun trend semasa. Jika ada waktu terluang, saya banyak membaca ulasan di dalam talian sambil menambah pengetahuan.

“Dari situ, saya mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan blog untuk berkongsi perkembangan diri dengan rakan. Saya fikir, ada baiknya jika saya turut menyumbang ulasan untuk komuniti atas talian, pengikut blog serta mereka yang aktif di laman YouTube. Dengan cara itu, aktiviti sampingan saya akan memberi lebih manfaat kepada orang lain,” katanya.

Dunia berubah

Mana tahu rupanya tuah Mong Chin datang bergolek. Anak kedua daripada tiga beradik ini kemudian mendapat tumpuan di laman Instagram dan saluran YouTube. Nama Mongabong menjadi sebutan dalam kalangan pengikutnya hinggakan wanita ini dilamar menyertai rancangan untuk saluran digital, Who Runs The World With Mong Chin.

“Ini pengalaman baru yang cukup berharga. Selama aktif di media sosial, saya gembira kerana diberi peluang menjelajah ke seluruh Asia Tenggara menerusi program sebegini. Tidak ada skrip dan semuanya berlaku secara spontan dan kasual.

“Dalam kata mudahnya, saya boleh menjadi diri sendiri sepuas-puasnya kerana pengisian program lebih kurang sama dengan apa yang saya selalu muat naik di saluran YouTube,” katanya.

Sekalipun teruja sepanjang penggambaran, Mong Chin berkata, dia masih berdepan banyak cabaran besar yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Bermula dengan maraton, wanita ini terpaksa berenang, mendaki, mengangkat beban, memanjat dan mencabar dirinya dengan pelbagai benda baru.

“Saya bawa kamera sendiri dan rakam apa yang saya lakukan di setiap lokasi. Apabila tidak ada skrip, semua yang saya lakukan terasa lebih realistik, bermakna dan cukup menyeronokkan.

“Kalau susah, saya boleh kata susah. Jika penat, saya boleh mengeluh dan begitulah seterusnya. Apa yang penting adalah menamatkan setiap cabaran dengan baik. Pengalaman ini akan dikongsi dengan semua pengikut media sosial dan penonton rancangan kelak,” katanya.

Jelas Mong Chin, dia tidak membuat persiapan khusus untuk menyertai program realiti berkenaan, sebaliknya nekad dengan kemampuan diri. Ada juga aktiviti yang memerlukan persediaan fizikal, mental dan stamina, tetapi semuanya lancar dengan khidmat nasihat jurulatih.

“Sehingga ke hari ini, kalau orang tanya, adakah saya pernah terfikir menjadi personaliti media sosial, jawapannya tidak. Begitu juga dengan peluang muncul di kaca televisyen. Semua ini di luar jangkaan.

“Namun, saya gembira kerana mendapat banyak sokongan daripada keluarga, kenalan dan pengikut di alam maya. Mereka sentiasa beri kata semangat dan berhubung walaupun kami jauh.

“Ada juga individu yang pernah melakukan cabaran sama menyapa. Mereka tidak kedekut berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar mengenai aktiviti berkenaan. Umpamanya untuk perlumbaan spartan di Sibu, ia memang mencabar fizikal, minda, emosi dan keupayaan diri. Saya perlu lakukan banyak aktiviti lasak untuk melepasi cabaran.

“Ada juga individu berbadan besar turut melakukan cabaran ini. Saya lihat mereka juga berdepan pelbagai halangan untuk berjaya. Namun, walau sesukar mana sekalipun, saya gembira kerana ia tetap pengalaman berharga untuk diri. Apabila berjaya, barulah kepuasan sebenar itu datang,” katanya.

Berikutan pembabitan dalam siri enam episod itu, Mong Chin mengakui dia mula sedar mengapa ada kelompok individu sanggup berhabis wang untuk menyusahkan diri dengan sukan lasak.

“Dulu saya fikir begitu. Kenapa perlu membayar sejumlah duit untuk menyusahkan diri? Tetapi sekarang saya faham. Ia mengenai kepuasan dan motivasi diri. Ramai wanita beranggapan tidak mampu melepasi cabaran besar dalam hidup sedangkan mereka belum mencuba.

“Jangan terlalu memikirkan hal yang remeh sebelum kita benar-benar mencuba. Boleh jadi, perkara sukar itulah yang mendatangkan kepuasan dan membentuk jati diri kita di masa depan,” katanya yang muncul di skrin Lifetime Asia setiap Isnin, jam 9.30 malam.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 3:22pm
d