hati

Seronok mencanting batik

Oleh Siti Zarinah Sahib

Rasa teruja jelas kelihatan pada wajah 110 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Baitul Hasanah, Rumah Kesayangan dan Pertubuhan Kebajikan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia ketika diminta melakarkan lukisan batik pada sehelai kemeja-T yang disediakan penganjur.

Sambil dibantu penyelaras program, masing-masing menunjukkan kesungguhan membuat lakaran mengikut pemahaman mengenai batik lalu menambah warna pada lukisan itu.

Ada menggunakan satu warna, ada dua dan tidak kurang menggabungkannya untuk mendapatkan hasil diinginkan.

Akhirnya selepas dua jam hasilnya sangat mengujakan apabila setiap lukisan bukan saja memberi makna tersendiri, tetapi menghadirkan kegembiraan yang sukar digambarkan.

Contengan dan bermain warna ibarat ekspresi diri menyeronokkan terutama apabila dilakukan bersama-sama.

Bengkel melukis batik anjuran Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad (Great Eastern Life) ini ternyata memberikan makna tersendiri buat kanak-kanak kurang bernasib baik ini apabila kebanyakan mereka melahirkan rasa gembira dengan aktiviti diadakan.

Bagi syarikat insuran Great Eastern Life, dengan menaja kanak-kanak kurang bernasib baik ini ia bukan saja bertujuan mencungkil bakat dalam melakukan teknik tradisional mencanting batik, tetapi juga mencipta kemahiran seni dan mewujudkan rasa cinta kepada seni tradisi lama yang ditinggalkan.

Bengkel ini juga diadakan bersempena usia syarikat ke-110 tahun sinonim dengan kehadiran kanak-kanak seramai 110 orang. Pada akhir program kanak-kanak diberikan hasil kerja dengan kemeja-T yang sudah diwarnakan.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 2:12pm
d