hati

Kepuasan menjahit

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tidak semua orang boleh menjahit kerana selain minat, bidang itu turut memerlukan semangat dan kreativiti tersendiri.

Rata-rata individu mengakui bidang jahitan memerlukan ketelitian dan ketekunan luar biasa dalam melaksanakan setiap langkah bermula daripada menggunting sehinggalah siap menjadi sehelai busana atau produk.

Bagi Norshahida Kamaruzaman, bidang jahitan sememangnya memberi kepuasan luar biasa kepada dirinya terutama apabila berjaya menyiapkan kerja seni yang diinginkan selain menepati kehendak diri dan pelanggan.

Menceritakan detik mula terbabit dalam bidang jahitan, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, jahitan adalah jiwanya dan menjadikan dia tekad mahu serius dalam bidang terbabit.

“Bermula daripada suka-suka dan dijadikan sebagai hobi, kini saya semakin serius dan fokus dalam bidang yang diminati ini.

“Syukur kerana saya bukan saja minat malah pada masa sama dikurniakan bakat semula jadi dalam seni jahitan dan menjadikan bidang ini kerjaya hingga kini,” katanya.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang kini menetap di Gombak, Kuala Lumpur itu mengakui pada hakikatnya bidang jahitan tidak semudah disangka kerana ia memerlukan minat dan ketelitian.

“Tidak semua orang boleh menjahit terutama dalam proses menggunting kain dan mencantum sehinggalah ia siap sepenuhnya.

“Saya bukan saja menjahit, malah juga yang membuat lakaran dan rekaan pelbagai jenis baju termasuk baju kanak-kanak dan pelbagai produk yang disukai,” ujarnya.

Gigih usaha melalui minat

Wanita berjiwa kental ini mengakui sama dengan individu lain, dia juga bermula dari bawah.

“Walaupun sudah mula menjahit sewaktu usia masih remaja, sehingga kini saya masih mempelajari pelbagai ilmu baru dalam bidang ini.

“Sejak kecil, saya sudah menyedari dunia jahitan sememangnya serasi dengan jiwa saya. Saya berusaha mempelajari bidang ini secara lebih serius hari demi hari,” katanya.

Norshahida berkata, ilmu dan kemahiran dalam bidang itu dipelajari satu persatu yang kemudiannya dipraktikkan sebaik-baiknya.

“Bagi saya, setiap orang memerlukan satu kemahiran yang boleh digunakan bagi menjana pendapatan atau sekurang-kurangnya dapat membantu diri sendiri terutama ketika berdepan taraf kehidupan yang semakin meningkat.

“Atas faktor itu juga, saya memberanikan diri menjalankan perniagaan berasaskan jahitan supaya bakat dan kemahiran yang ada ini tidak sia-sia,” ujarnya.

Rezeki tangan seni

Menjadikan bidang itu sebagai kerjaya tetapnya kini, Norshahida yang sebelum ini berkhidmat dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta mengambil keputusan berhenti bekerja bagi menumpukan sepenuh perhatiannya dalam perniagaan berasaskan jahitan dijalankannya itu.

“Saya berhenti bekerja enam tahun lalu supaya dapat lebih fokus dan serius dalam bidang ini. Syukur, pilihan yang saya lakukan ini adalah tepat kerana kini lebih tenang dan gembira mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

Norshahida kini menjalankan perniagaan atas jenamanya sendiri iaitu Oshka.Co yang lebih kepada busana dan produk bayi dan kanak-kanak.

“Untuk berjaya dan kekal lama dalam bidang ini, saya mengamalkan disiplin diri selain mencari kelainan dalam setiap produk yang saya hasilkan.

“Saya bukan menjual produk semata-mata, tetapi lebih kepada kesenian dan kehalusan setiap produk bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan hasil yang mereka terima,” ujarnya.

Menurutnya, cabaran yang ditempuhi sepanjang berkecimpung dalam bidang itu tidaklah terlalu banyak namun saingan yang diterima daripada pengusaha produk sepertinya itu sedikit sebanyak membuatkan dia perlu lebih fokus.

“Kelebihan saya ialah semua produk yang saya jual adalah hasil kerja saya sepenuhnya. Saya memberi lebih tumpuan pada setiap produk.

“Syukur, selepas bertapak lebih empat tahun secara serius, saya berbangga kerana hasil kerja tangan ini membawa rezeki yang tidak putus untuk kami sekeluarga,” katanya.

Keluarga sumber inspirasi

Dianugerahkan suami yang bukan saja memahami tugasnya dalam bidang diceburi malah turut sama berkongsi minat dan bakat menjadikan Norshahida amat bertuah.

“Saya selalu berbincang bersama suami untuk menghasilkan apa juga produk kerana dia juga mempunyai idea yang kreatif dalam membantu saya lebih ke hadapan.

“Selain berkongsi pendapat, saya amat bersyukur kerana suami juga memahami dan turut membantu menguruskan rumah termasuk menjaga dua permata hati kami yang masih kecil,” katanya.

Tambah Norshahida, memandangkan dia mempunyai anak yang masih kecil menyebabkan kebiasaannya dia hanya menjahit atau menyiapkan tempahannya ketika anak-anaknya tidur.

“Saya menyiapkan kerja menjahit ketika waktu malam kerana kurang gangguan dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada produk yang dihasilkan.

“Walaupun kelihatan agak mencabar kerana kini saya perlu mengendalikan anak yang masih kecil namun ia sedikit pun tidak menjadi penghalang untuk saya terus berjaya,” ujarnya.

Katanya, tiada apa yang boleh menjadi halangan sekiranya seseorang itu mahu berjaya dalam bidang diceburi selain perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan semua berjalan lancar.

“Selain suami, ibu juga sumber inspirasi kerana saya banyak berkongsi suka duka bersamanya selain dia sentiasa memberi semangat kepada saya untuk terus berjaya.

“Saya mengharapkan apa yang saya jalankan kini akan semakin menyinar dan membuktikan bidang jahitan adalah antara bidang yang unik terutama dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi dan mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 2:25pm
d