hati

Koleksi eksklusif kualiti terbaik

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Ramai memuji penampilan seorang teman penulis. Ada gaya tersendiri, apatah lagi pakaian yang tersarung di badan berjenama terkenal. Kebijaksanaannya menyuai padan busana, kasut dan beg sandang menyebabkan ramai menyangka dia berbelanja besar untuk menjaga penampilannya.

Tiada siapa menyangka teman yang sentiasa tampak menarik ini sebenarnya adalah seorang pelanggan kedai bundle kerana dia memang pandai bergaya! Benarlah kata orang, penyataan dan penyerlahan fesyen itu bukan pada harga dan jenama tetapi kreativiti kita untuk membentuk gaya peribadi.

Jenama dan harga sepasang busana tidak menjamin gaya terhasil. Mungkin masih ramai yang beranggapan gaya cantik, anggun dan terkini hanya terhasil apabila menyarung busana mewah dengan harga mencecah ratusan atau ribuan ringgit.

Tanggapan itu ternyata tidak berasas kerana hakikatnya, fesyen memerlukan kebijaksanaan dan keberanian mencuba padanan yang sesuai dengan personaliti diri. Jadi, tidak mustahil jika teman penulis yang pandai bergaya ini boleh tampil menarik dengan modal kurang RM20!

Atas sebab itu, JBR Bundle berusaha membantu semua golongan tanpa mengira jantina, usia mahupun status mendapatkan semua koleksi baju, seluar, kasut, topi dan beg dengan harga berpatutan serendah RM5.

Sempena pembukaan cawangan kelapan dan terbaru di Balakong, Selangor 4 Ogos ini, pemilik JBR Bundle Abdul Jabbar Bachtiar berkata, pihaknya menawarkan 80,000 helai pakaian bundle untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak di satu pusat sehenti.

Menurutnya, semua pakaian terbabit dijual bermula harga RM5 hingga RM20 manakala untuk koleksi berjenama pada harga tidak melebihi RM200.

“Kami turut menawarkan koleksi pakaian dan barangan eksklusif yang dijamin berada pada kualiti terbaik serta asli pada harga bermula RM300 hingga RM2,000.

“Kami mempunyai 10 individu daripada pasukan khas yang berperanan memeriksa semua koleksi eksklusif bagi memastikan ia benar-benar asli,” katanya.

Abdul Jabbar berkata, semua koleksi pakaian dan aksesori itu diimport dari Jepun, Korea, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Misi kami adalah untuk memastikan setiap golongan mampu bergaya dengan koleksi berjenama pada harga mampu milik.

“Selain baju, seluar dan aksesori, kami turut menawarkan pelbagai pilihan barangan kelengkapan rumah termasuk pinggan mangkuk, cadar dan selimut serta barang permainan kanak-kanak,” ujarnya.

Katanya, sempena pembukaan cawangan terbarunya di Balakong, pelanggan berpeluang menikmati promosi hebat beli satu percuma satu bagi setiap pakaian berharga RM5 untuk dua jam awal pembukaan bermula jam 10 pagi.

“Cawangan terbaru ini beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam. Pelanggan boleh menggunakan aplikasi Waze JBR Bundle Balakong untuk tiba ke lokasi dengan tepat,” katanya.

Menurut Abdul Jabbar, peminat barangan bundle juga boleh mendapatkan maklumat dan koleksi terkini melalui laman Facebook JBR Bundle dan Instagram @jbrbundle.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 1:46am
d