hati

Tya tauke jamu

Oleh Siti Zarinah Sahib

Sejak usia enam tahun, ibunya Komariah Mahmud mula membiasakan Nurtria Wulandari Ariffin atau mesra disapa Tya Ariffin, 24, mengambil jamu yang diwarisi daripada nenek moyang.

Jamu pelbagai warna dan rasa itu dicampur, ditumbuk dan dikisar kemudian diminum setiap hari. Malah menjadi kebiasaan di Indonesia melihat anak gadis seawal usia 13 tahun minum jamu yang menjadi amalan seharian.

“Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang menyukai jamu. Dulu saya melihat ramuan jamu itu dikupas, ditumbuk kemudian dibancuh dengan cara tradisional untuk mendapatkan hasilnya.

“Ibu memberikan jamu kepada saya setiap pagi. Walaupun rasanya pahit, lama-kelamaan saya amat menyukainya. Di Indonesia jamu dijual di mana-mana sehingga di hadapan rumah membuatkan saya dan adik-beradik lain tidak kekok mengambilnya setiap hari,” katanya yang dilahirkan di Palembang, Indonesia.

Amalan ini terbawa-bawa sehingga dia mendirikan rumah tangga dan melahirkan cahaya mata pertama pada 31 Mac 2017. Namun isteri kepada ahli perniagaan terkenal, Asyraf Khalid ini mengakui berlaku sedikit konflik apabila suami tidak bersetuju dia mengambil jamu ketika berpantang.

Menurut Tya, suaminya itu bersifat skeptikal, sama seperti kebanyakan lelaki lain yang memandang rendah keberkesanan pengamalan jamu.

“Awalnya, dia tidak benarkan saya minum jamu kerana menganggap minuman herba itu boleh memanaskan badan dan memudaratkan terutama untuk si kecil kerana saya memberikan anak susu badan sepenuhnya. Apatah lagi stigma mengenai jamu yang menyebabkan bayi mendapat demam kuning.

“Dia lebih percayakan kaedah perubatan moden dan meminta saya mengikut saranan doktor. Bagaimanapun, saya ingkar permintaannya, tetapi pada masa sama memujuknya agar membenarkan saya minum jamu,” tutur Tya.

Melihat kepatuhan Tya yang berdisiplin mengamalkan adat resam tradisi keluarganya ketika berpantang, lama-kelamaan Asyraf mula bersetuju dan membenarkan isterinya mengambil jamu.

“Malah lebih menambah keyakinannya apabila melihat saya sihat, susu badan semakin banyak, mudah menguruskan anak dan memperoleh badan seperti sebelum bersalin. Ini menyebabkan suami mula mengubah pandangan terhadap jamu,” ujarnya.

Hasil jamu sendiri

Berazam ingin mengubah stigma masyarakat mengenai jamu yang dilihat hanya untuk wanita berusia dan diamalkan ketika dalam pantang, Tya kini mengeluarkan rangkaian produk cecair jamu Mutyara sebagai menyambung legasi keluarga yang amat mementingkan amalan pemakanan tradisional.

“Saya sendiri menjadi pengamal jamu tegar. Saya lihat potensi jamu wajar dikomersialkan apatah lagi ia hasil resipi turun temurun dari keluarga. Saya tidak mahu khasiat jamu dibiarkan begitu saja sebaliknya ingin berkongsi dengan seluruh wanita mengenai pentingnya menjaga kecantikan dalaman,” kata ibu kepada si cilik popular, Arif Jiwa Asyraf yang kini berusia setahun tiga bulan.

Lebih utama, menerusi rangkaian produk cecair dengan kandungan 350 mililiter ini, ia dapat mengubah anggapan golongan wanita yang takut mengambil jamu disebabkan rasanya yang pahit dan kelat.

“Setiap wanita patut mengamalkannya. Bermula seawal usia 16 tahun, untuk mereka yang belum berkahwin sehingga golongan berusia. Bahkan saya mahu lihat ia menjadi keperluan wajib untuk ibu muda agar menghargai diri dan orang tersayang dengan penjagaan dalaman,” katanya.

Dicipta seiring dengan arus pemodenan khusus buat wanita yang sibuk bekerjaya dan memilih jalan mudah untuk kekal bertenaga serta cantik, diharap kehadiran produk ini akan menghakis pandangan mengenai rasa yang sering digambarkan pahit dan sukar ditelan. Sebaliknya ramuan istimewa campuran buah kranberi, habbatus sauda, kurma, madu dan halba membuatkan rasanya enak diminum.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 5:08pm
d