hati

Perkenal konsep kelab wanita

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

PENAT menghadap timbunan kerja di pejabat, menguruskan rumah tangga, memenuhi keperluan suami dan anak, ada waktunya boleh mendatangkan tekanan serta keletihan melampau.

Bagaimanapun, ramai wanita masih selesa mengurangkan tekanan dengan tidur sejenak, menyibukkan diri dengan hobi atau mencuri masa keluar mengunjungi pusat beli-belah berdekatan.

Dalam keadaan diri kurang terurus, adalah baik jika wanita tidak membazir wang dengan perkara yang sia-sia atau memerlukan kerja keras. Misalnya, cuba dapatkan khidmat dandanan di salun atau urutan di pusat rawatan spa.

Berada di celah kesibukan pengunjung di Publika Shopping Gallery, Osta Salon & Spa menawarkan dua jenis urutan untuk menenangkan tubuh dan tradisional Melayu.

Menariknya, spa ini bukan sekadar menawarkan khidmat menguruskan tubuh wanita yang lesu akibat kepenatan bekerja dan tekanan, malah memberi pengalaman umpama berada di kelab eksklusif.

Pemilik spa, Nurul Akmar Zorollah berkata, pihaknya tidak hanya menawarkan pakej rawatan tetapi turut menggalakkan setiap wanita yang datang berkunjung untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

“Lazimnya, kami akan menyambut pelanggan yang datang dengan hidangan minuman istimewa mengandungi hirisan oren dan lemon. Ia membantu melancarkan peredaran oksigen dalam badan dan memudahkan proses pembuangan toksik selepas selesai urutan.

“Pelanggan juga bebas memilih antara teh kamomil untuk lebih ketenangan atau rasberi yang mampu meningkatkan kegembiraan sebelum mereka pulang,” katanya.

Jelas Nurul Akmar, majoriti wanita yang datang ke spa miliknya untuk mendapatkan khidmat urutan, merehatkan tubuh dan menikmati pakej dandanan diri.

“Kami percaya semua wanita ingin dibelai dan dimanja. Jadi, kami bersedia membantu mereka menyelesaikan masalah kepenatan dan kelesuan tubuh. Malah, ramai pelanggan terdiri daripada wanita berkerjaya, mereka yang sukakan sesi memanjakan diri, suri rumah dan penuntut institusi pendidikan.

“Mereka datang untuk menghilangkan penat atau kesan tekanan yang dihadapi dalam rutin harian. Lagipun, ada banyak kajian yang menunjukkan wanita lebih cenderung menghadapi tekanan dan boleh menjurus kepada kemurungan, sekiranya dibiarkan.

“Sebab itulah kami perkenalkan konsep kelab wanita di spa. Kami mahu mereka lebih tenang dan santai untuk berkomunikasi bersama ahli terapi,” katanya.

Mengenai perbezaan pakej urutan ditawarkan, Nurul Akmar berkata, urutan menenangkan tubuh biasanya dicadangkan kepada wanita yang mahu merehatkan badan dan minda. Ini kerana teknik itu mudah membuatkan wanita melelapkan mata dan terus dibuai mimpi.

Berbeza dengan urutan tradisional Melayu menumpukan kepada pelanggan yang mahu menyelesaikan masalah dihadapi seperti kekejangan atau sakit tertentu pada badan.

“Kami ada sesi konsultasi ringkas dengan pelanggan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi. Selesai itu, barulah mereka akan dibawa ke bilik rawatan.

“Biasanya, wanita yang datang ke sini mengadu menghadapi masalah di bahagian belakang badan ataupun kaki. Bagi wanita yang banyak melakukan kerja di meja, mengadap komputer ataupun banyak menulis, mereka selalu mempunyai masalah bahagian belakang tubuh.

“Wanita yang banyak berjalan selalunya menghadapi masalah kekejangan otot kaki, kaki terasa berat kesan daripada berdiri terlalu lama atau berjalan terlalu banyak.

“Urutan akan bermula dari kaki dan kemudiannya ke bahagian atas belakang. Sepanjang proses ini, ahli terapi akan memberi tumpuan kepada bahagian bermasalah,” katanya.

Paling utama jelasnya, pelanggan juga boleh memilih rawatan menggunakan produk organik dan bukan organik. Malah sesi rawatan seterusnya juga diberi mengikut kehendak pelanggan dan sensitiviti masing-masing.

“Mungkin ramai wanita tidak sedar bahawa urutan mampu menenangkan minda berikutan peningkatan pengeluaran hormon endorfin yang boleh menghilangkan tekanan.

“Dalam kebanyakan situasi, urutan juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam badan, membantu pelanggan menangani masalah migrain, susah tidur atau kekejangan otot ketika tidur.

“Sebab itu kami selalu sarankan wanita muda yang aktif dan kuat bekerja untuk menikmati urutan bagi kelegaan tubuh. Dalam dunia serba pantas ini, ramai wanita muda berkerjaya menghadapi tekanan dalam tugasan harian.

“Ada antara mereka yang tidak tahu mengurus tekanan hingga mendatangkan keletihan berpanjangan. Jadi, jangan hadkan diri untuk mencuba mendapatkan rawatan terbaik untuk kecergasan tubuh,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 5:00am
d