hati

Hamil kembar cara IVF [METROTV]

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

“SERONOKNYA jika dapat hamil kembar, saya mahu anak kembar, senang tak perlu mengandung lagi”. Itu antara dialog pasangan suami isteri yang menjalani kaedah rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim atau in-vitro (IVF).

Antara punca utama mereka yang mendapatkan rawatan IVF menginginkan zuriat kembar adalah disebabkan peningkatan usia - faktor yang tidak boleh dikawal, dilengahkan atau dihentikan.

Penantian terlalu lama atau kesabaran yang sudah mencapai tahapnya menjadi faktor sampingan pasangan yang menjalani rawatan IVF mahukan anak kembar.

Mengupas mengenai kaedah rawatan IVF dan potensi memiliki zuriat kembar, Perunding Fertiliti dan Sakit Puan Metro IVF, Dr Mohan Raj berkata, mungkin 10 tahun lalu, masih ramai individu yang tidak mengetahui apa-apa mengenai rawatan kesuburan yang boleh memberikan potensi memiliki bayi kembar namun peredaran masa mengubah keadaan itu.

“Jika sebelum ini ramai pasangan terutama pihak lelaki yang malu untuk tampil membincangkan isu kesuburan, namun keadaan semakin berubah dengan kemajuan teknologi perubatan juga perkembangan teknologi maklumat.

“Beberapa kaedah rawatan moden berjaya memberi harapan baru dan membantu pasangan mendapatkan zuriat antaranya dengan suntikan hormon, kaedah IUI melalui semaian benih di dalam rahim dan IVF,” katanya.

Menurutnya, seiring kecanggihan teknologi perubatan kini, rawatan IVF sering kali dikaitkan dengan potensi memiliki anak kembar.

“IVF antara pilihan rawatan paling terkenal namun perlu diketahui ia bukan satu-satunya pilihan yang boleh dilakukan. Setiap pasangan akan diperiksa terutama jika yang ingin menginginkan anak kembar.

“Paling utama ialah setiap pasangan yang sudah berumah tangga perlu mula menjalani pemeriksaan apabila memasuki tahun kedua perkahwinan namun tidak menunjukkan tanda kehamilan.

“Tidak semestinya semua pasangan itu bermasalah, disebabkan itu pentingnya pemeriksaan untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Kadar kesuburan individu itu juga akan menurun selepas memasuki usia 35 tahun khususnya pada wanita,” katanya.

Beliau tidak menafikan ramai pasangan yang menginginkan zuriat kembar melalui rawatan IVF terutama apabila usia pasangan terbabit sudah hampir mencecah 40 tahun.

“Perlu diketahui, risiko berlaku masalah apabila hamil kembar itu adalah lebih tinggi dan disebabkan itu, saya sendiri tidak menggalakkan pasangan untuk membuat keputusan memiliki anak kembar apabila menjalani rawatan IVF.

“Namun, sekiranya pasangan itu sudah menjangkau usia lebih 40 tahun dan potensi untuk hamil lagi sukar atau mengalami masalah lain, doktor atau pakar perubatan mungkin akan membenarkan impian memiliki anak kembar itu,” katanya.

RISIKO HAMIL KEMBAR

Menurut Dr Mohan, antara risiko hamil kembar yang paling mudah berlaku adalah keguguran dan kelahiran pramatang.

“Atas dua sebab ini, saya lebih menyarankan untuk tidak hamil kembar apabila menjalani rawatan IVF. Pasangan yang mendapatkan rawatan ini tentu saja teruja untuk memiliki anak dan disebabkan itu, saya mahu kurangkan risiko sebaik saja kehamilan itu berjaya,” katanya.

Menurutnya, hasil kajian mendapati 20 peratus kehamilan melalui kaedah IVF adalah kehamilan kembar dua, satu peratus kehamilan kembar tiga dan 80 peratus kehamilan biasa (satu janin).

“Kelahiran bayi tidak seiras akan berlaku sekiranya hamil kembar melalui IVF. Ini disebabkan kehamilan itu berlaku hasil daripada persenyawaan dua atau tiga sperma dengan telur yang berbeza. Ia berbeza dengan persenyawaan kembar semula jadi. Namun, dalam kaedah IVF, apa yang lebih diutamakan adalah berjaya hamil bukan kembar atau tidak,” katanya.

Dr Mohan berkata, pakar atau pegawai perubatan juga akan memeriksa keadaan wanita yang ingin hamil kembar.

“Hamil kembar secara semula jadi juga ada risikonya, inikan pula melalui IVF dan disebabkan itu pemantauan rapi perlu dilakukan.

“Lebih bimbang adalah risiko keguguran apabila hamil lebih daripada satu, tentu saja kesedihan itu berganda dan perkara itu yang mahu dielakkan. Kesedihan ini biasanya mengundang tekanan dan ia akan menyukarkan lagi usaha pasangan untuk mendapatkan anak,” katanya.

IVF DAN KOS

Menurutnya, setiap pasangan yang ingin memiliki cahaya mata melalui kaedah IVF perlu mengetahui secara terperinci mengenai kaedah itu bukan hanya memfokuskan untuk hamil kembar.

“Persediaan mental dan fizikal amat diperlukan bagi membantu proses ini untuk berjaya sepenuhnya. Selain itu, pasangan juga perlu tahu mengenai kos keseluruhan rawatan keseluruhan IVF antara RM9,000 hingga RM20,000,” katanya.

Dr Mohan berkata, kos rawatan perlu diselesaikan sebelum proses rawatan selesai bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Jika sebelum ini, kami memberi kelonggaran kepada pasangan suami isteri untuk membayar secara ansuran namun berlaku masalah apabila pasangan terbabit tidak menyelesaikan pembayaran. Disebabkan itu, saya katakan persediaan daripada segi kewangan juga amat perlu sebelum menjalani rawatan IVF,” katanya.

Tambah Dr Mohan, kepada pasangan yang sudah berjaya hamil melalui kaedah IVF disarankan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh kehamilan.

“Jangan ambil mudah kerana proses kehamilan tetap mempunyai risiko tersendiri, paling utama jaga emosi dan elak tekanan. Banyakkan berehat, tetapi tidak sehingga perlu berbaring sepanjang masa,” katanya.

Menurutnya, mungkin ada pasangan yang terlalu bimbang dengan risiko yang boleh berlaku menyebabkan ada yang menyatakan hamil secara IVF memerlukan wanita itu berbaring sepanjang masa tanpa melakukan apa-apa.

“Elakkan melakukan kerja berat dan keterlaluan terutama pada minggu awal kehamilan. Namun sekiranya semua berada pada tahap yang baik dan usia kandungan sudah memasuki trimester kedua, si ibu boleh melakukan rutin harian seperti biasa namun berhati-hati,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 6:01am
d