hati

Riasan ringkas sesuai usia

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kecantikan dan wanita tidak dapat dipisahkan. Walaupun sudah menjangkau ke lingkungan 40-an, ramai yang sanggup melakukan apa saja demi kelihatan cantik tidak kira untuk kepuasan diri atau bergaya di hadapan umum.

Bagi segelintir wanita, mereka sudah cukup selesa untuk tampil dengan wajah polos walaupun ketika menghadiri jemputan majlis tertentu.

Namun, ramai juga mengakui mereka sebenarnya lebih yakin jika wajah dirias manis dengan gaya solekan bersesuaian.

Walaupun ada yang menggemari solekan tebal, riasan ringkas bersesuaian usia sebenarnya lebih manis dipandang. Ia juga membuatkan penampilan seseorang lebih menarik apatah lagi bagi wanita yang berusia 40-an.

Menurut jurusolek profesional Norzila Hussein, penggunaan rona semula jadi sesuai digunakan untuk menghasilkan solekan sederhana.

“Apa yang perlu dititikberatkan adalah penggunaan bedak asas yang tepat supaya hasil keseluruhan nampak sempurna.

“Ramai yang beranggapan perlu menggunakan teknik tertentu untuk mendapatkan hasil solekan yang memukau namun pandangan itu tidak tepat kerana apa yang lebih penting adalah keseimbangan,” katanya.

Norzila berkata, penggunaan rona semula jadi sesuai digunakan namun pada masa sama perlu memilih warna gincu yang lebih terang bagi melengkapkan penampilan.

“Jangan bimbang solekan tidak kelihatan memukau kerana solekan yang lebih semula jadi itu lebih manis dipandang. Ia juga sesuai dengan faktor peningkatan usia yang memerlukan kita bergaya sederhana tetapi tetap tampak hebat,” ujarnya.

Katanya, dengan keyakinan diri yang disempurnakan dengan solekan sederhana tentu saja mampu menaikkan seri wajah.

Norzila berkongsi langkah demi langkah dalam menghasilkan solekan sederhana sesuai untuk wanita berusia 40 tahun dan ke atas.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 3:40pm
d