hati

Paduan sifat dinamik, berani

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Selesa, unik, berani dan penuh keterujaan! Semua ciri ini cukup sepadan dengan gaya fesyen terkini Aldo untuk kempen musim luruh 2018 yang dilancarkan di butik Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengekalkan konsep ringkas dan mudah disesuaikan dengan penampilan, jenama kasut dan aksesori global itu membawakan kelainan besar apabila memperkenalkan koleksi penuh gaya, Get Ready.

Tampak menyerlah dengan pilihan warna terang, koleksi kali ini menawarkan pilihan sepatu potongan kemas yang bukan saja menawan tetapi selesa. Sifat dinamik dan berani digabungkan bersama membentuk gaya fesyen lebih santai, kasual, namun teguh dengan identiti tersendiri.

Sebenarnya, koleksi Get Ready diilhamkan daripada konsep siap sedia. Lihat saja bagaimana skrin utama di semua butik Aldo menceritakan terjemahan kempen untuk koleksi terbabit, bersesuaian dengan konsep yang cuba diketengahkan.

Menurut Pengarah Pembangunan Kandungan Aldo Catherine Sabourin, konsep terjunan dari pesawat dipaparkan dalam kempen kali ini sebagai metafora untuk pemakai sentiasa 'bersiap sedia' dengan sebarang momen penting dalam hidup.

“Konsep ini mengetengahkan dunia penuh semangat dan keterujaan. Ia memaparkan masa paling mendebarkan dan menggembirakan saat melompat bebas dari pesawat.

“Kami mahu tonjolkan pemikiran kreatif pemakai, gaya santai penuh tenaga dan keseronokan tulen saat berdepan pelbagai situasi tidak dijangka,” katanya.

Melengkapkan kempen musim ini, Aldo turut memperkenalkan koleksi edisi terhad yang menonjolkan kreativiti lima pereka antarabangsa iaitu Gabriella Laila Tittley (Montreal), Lee So Youn (Seoul), Dina Saadi (Dubai), Insa (London) dan Buff Monster (New York City).

Setiap koleksi edisi terhad memiliki kekuatan, imej, identiti dan terjemahan tertentu, bergantung kepada penilaian individu. Justeru, rebut peluang memiliki koleksi unik ini dengan corak terbaik, sepadan dengan personaliti diri anda!

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 3:45pm
d