hati

Usahawan berjiwa besar

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Wanita ini bijak memanfaatkan peluang di sekelilingnya. Kerjaya sebagai pakar perunding produk makmal mikrobiologi umpama pentas luas untuk dirinya menambah kenalan.

Tidak terikat dengan masa dan komitmen kerja yang terlalu membebankan, Siti Noorhaliz Ilias, 31, melangkah tenang dan yakin mengejar cita-citanya bergelar usahawan berjaya.

Sesetengah orang mungkin kurang tertarik dengan kerjaya yang rumit di belakang tabir. Namun kata Siti Noorhaliz, banyak jalan yang boleh diteroka dalam bidang pengkhususannya, asalkan ada keberanian untuk mencuba.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Bio-Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, ibu kepada tiga anak ini cukup kreatif dan berjiwa besar. Dalam keadaan dirinya hamil lima bulan, Siti Noorhaliz masih lincah bertemu profesor, doktor, pengkaji dan pemain industri berkaitan dengan makmal mikrobiologi.

“Ramai rakan seperjuangan saya bergelar pegawai penyelidik. Mereka bekerja di hospital, institut penyelidikan dan makmal. Namun saya sengaja memilih untuk menjadi perunding produk di syarikat pembekal kerana masa kerja yang lebih fleksibel.

“Saya suka bertemu dengan ramai orang dan belajar mengenai teknologi baru di luar negara. Ini bermakna, saya bergerak lebih setapak ke depan dan perlu mempelajari perkara baru sebelum dipraktikkan di Malaysia.

“Paling penting, saya dapat menguruskan masa untuk kerjaya, keluarga dan perniagaan sebaiknya tanpa perlu terikat dengan jam kerja,” katanya.

Bijak bahagi masa

Mungkin ramai tidak terfikir bagaimana wanita seiras wajah dan nama dengan penyanyi tersohor negara ini boleh membina ruang perniagaan sendiri dalam keadaan sibuk mengejar tanggungjawab pada keluarga dan komitmen kerja.

Kata Siti Noorhaliz, kesempatan bertemu ramai pakar kimia, penyelidik, penggerak industri dan pegawai di institut penyelidikan seluruh negara secara tidak langsung mendedahkan dirinya kepada banyak lagi cabang industri yang memiliki potensi untuk dikembangkan.

“Bekerja dengan orang biasanya memerlukan komunikasi baik. Tanpa sedar, saya banyak membina kenalan. Mereka juga bukan orang biasa, tetapi memiliki banyak idea, pendapat dan pandangan yang boleh disatukan menjadi asas perniagaan.

“Kebetulan selepas melahirkan anak kedua, saya mendapatkan pandangan ibu saudara yang juga seorang bidan mengenai kaedah untuk mengembalikan keanjalan kulit.

“Dia minta saya mengambil kunyit, beras, daun semambu, kelopak mawar dan kulit kayu manis. Semua bahan ini digiling dan disapu ke bahagian bermasalah terutama perut. Selepas pemakaian konsisten, perut kelihatan kempis dan kulit menjadi lebih halus dan lembut.

“Sejak itulah saya nekad menggabungkan pengetahuan yang ada, menghubungi rakan kenalan dan bertanya kaedah terbaik untuk mengkomersialkan penggunaan herba untuk mencerahkan dan merawat kulit selepas bersalin,” katanya

Jelas wanita ini, bukan mudah untuk dia menguruskan komitmen yang digalas sekiranya tiada perancangan masa terbaik.

“Lazimnya, saya akan menguruskan anak di sebelah pagi dan menguruskan tugas hakiki di pejabat atau keluar bertemu pelanggan. Sampai di rumah sekitar enam petang, saya akan ambil anak-anak, mandikan dan siapkan makanan mereka.

“Usai semua pekerjaan dan tanggungjawab, saya akan bersiap untuk memulakan perniagaan produk jenama sendiri kira-kira jam 9 malam.

“Ketika inilah saya akan menjawab mesej, menghubungi pelanggan dan menguruskan tempahan dalam talian. Biarpun jadual padat, tetapi saya tetap seronok kerana melakukan pekerjaan yang disukai,” katanya.

Tambah Siti Noorhaliz cabaran dan tekanan kerja ada di mana-mana dan dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu. Apa yang ada dalam kotak fikirannya adalah kerja keras sementara usia masih muda.

“Sekarang anak-anak masih kecil. Jika ada bahagian mencabar sekalipun apabila saya terpaksa bertugas di luar daerah. Dalam situasi ini, saya selalunya akan menyusun jadual supaya suami dapat ikut serta sebagai peneman.

“Alang-alang keluar kawasan, ada baiknya saya bawa seisi keluarga. Selesai urusan, kami boleh habiskan masa bersama. Dengan cara ini, barulah saya ada masa berkualiti dengan anak dan suami.

“Saya percaya inilah kelebihan jadual waktu fleksibel. Saya tidak perlu berkejar jam 8 pagi dan 5 petang setiap hari. Saya masuk pejabat pun hanya untuk menyiapkan kertas kerja atau menghadiri mesyuarat serta latihan,” katanya.

Minta bantuan

Bercerita lanjut soal tekanan, Siti Noorhaliz berkata dia lebih senang berbahagi tugas dengan suami dan meminta bantuan keluarga sekiranya tahu tidak dapat menguruskan banyak perkara dalam satu-satu masa.

“Saya percaya kepada pengurusan masa dan minat. Kalau kita melakukan pekerjaan yang sesuai dengan minat dan keinginan, yang susah akan rasa mudah. Penat akan bertukar puas dan begitulah seterusnya.

“Namun jika melakukan banyak kerja, kita tetap penat dan lesu. Saya sendiri pernah hampir berputus ada dengan perniagaan. Namun saya buat keputusan untuk tinggalkan segalanya dan berehat untuk seminggu dua.

“Tidak perlu memaksa diri melakukan yang terbaik. Jika penat, minta bantuan keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 1:56pm
d