hati

Ketengah bakat menulis

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Melihat barisan penulis ketika majlis pelancaran buku Sabtu lalu, terdetik rasa kagum. Ternyata bakat menulis buku boleh singgah dalam kamus hidup sesiapa saja. Asalkan ada minat, kehendak dan kesungguhan.

Masing-masing punya latar belakang dan cerita tersendiri. Ada suri rumah, doktor sakit puan, jururawat di dewan bersalin dan jururawat di dewan bedah.

Mereka juga menghasilkan buku genre berbeza, antaranya keibubapaan, panduan bakal ibu, perbidanan, kisah benar dan kisah seram.

Uniknya, masing-masing berkongsi hasil penulisan berdasarkan pengalaman menguruskan keluarga istimewa, ibu hamil dan wanita bersalin, pesakit kronik, situasi kecemasan serta perkara aneh yang berlaku sepanjang tempoh bertugas di satu-satu kawasan.

Tidak kira siapa atau apa pun kisah yang ditampilkan, realiti membuktikan ramai wanita kini mula menyedari bakat serba boleh mereka dalam melakukan pelbagai perkara.

Salwa Mohd Saleh

Ibu kepada empat anak ini bukan calang-calang wanita. Selepas tiga anaknya disahkan mempunyai masalah pembelajaran tahun lalu, Salwa terus cekal dan tidak menoleh ke belakang.

Biarpun bergelar suri rumah, pada dasarnya Salwa adalah wanita yang begitu komited bekerja dari rumah. Memperkenalkan hasil penulisan keduanya, Drama Wonder Emak, kata Salwa, naskhah itu adalah lanjutan daripada buku pertama.

Buku pertama mengandungi tip, informasi dan pengalaman membesarkan bayi sehingga anak mencapai umur empat hingga lima tahun. Namun, dalam buku kedua, dia berkongsi pengalaman mengenai sisi normal yang biasa dialami ibu bapa.

“Saya percaya, ramai ibu bapa terperangkap dengan imej keibubapaan sempurna yang sering digambarkan dalam buku, drama dan di media sosial. Bagaimanapun, ramai lupa yang biasa ditonjolkan itu adalah hal sempurna saja.

“Sebenarnya, tidak kira sehebat mana pun seorang wanita, hidup mereka tak akan sempurna kerana fitrah manusia saling melengkapi. Bagi saya, menulis ini adalah terapi diri.

“Setiap kali menulis, akan timbul rasa lega dan puas kerana dapat berkongsi dengan dengan orang lain. Bonusnya apabila orang membaca dan mendapat manfaat, kemudian maklum balas yang datang itu berbaur positif. Ada juga yang berterima kasih dan secara tidak langsung motivasi diri akan terus meningkat untuk menulis lagi,” katanya tersenyum.

Kata Salwa, dia gembira apabila hasil penulisannya dapat membantu mengubah hidup seseorang dan memperbetulkan keadaan yang salah.

“Bagi saya, itulah kejayaan paling besar. Apabila mesej yang ditulis sampai dan memberi kesan positif kepada kehidupan orang lain, di situ pula akan terbit kepuasan.

“Sebenarnya, menulis memerlukan seseorang banyak membaca. Agak mencabar untuk saya kerana berdepan kekangan masa untuk memegang buku dan menikmati pembacaan yang tenang. Sebagai alternatif, saya banyak membaca menggunakan skrin telefon bimbit sambil memasak, menyusukan bayi atau mengemas rumah.

“Untuk hasil penulisan berkualiti, saya perlu menumpukan perhatian, menulis ketika semua isi rumah sedang lena. Saya harap dapat menulis lebih banyak lagi dalam genre sama untuk anak istimewa,” katanya.

Dr Aimi Rahayu Abdul Rashid

Pengalaman menulis karya sastera sedikit sebanyak membantu Pegawai Perubatan, Perbidanan dan Sakit Puan di Pusat Perubatan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini menyumbang hasil penulisan dalam Buku Pink.

Idea untuk menulis beberapa bahagian dalam naskhah itu diambil daripada pengalamannya merawat dan bertemu ibu hamil daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Selalunya, apabila berjumpa ibu hamil, mereka akan beri pelbagai komen balas. Namun apa yang saya lihat, wanita di Malaysia ini kuat berpegang kepada mitos dan ajaran yang salah.

“Peliknya, mitos ini senada. Umpamanya, makan asid folik boleh membantu wanita hamil. Sebenarnya fungsi asid folik untuk membantu mengurangkan risiko kecacatan janin.

“Melihat kepada banyaknya mitos salah, saya mendapat idea untuk menulis. Masyarakat perlukan penjelasan yang betul. Selain menulis di buku, saya juga menulis di laman Twitter untuk berkongsi ilmu.

“Saya mahu masyarakat faham. Walaupun sukar mencuri masa kerana komitmen kerja, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti berkongsi dengan pembaca. Saya faham bahawa ramai di luar sana menantikan naskhah berbahasa Melayu untuk rujukan mereka.

“Sedangkan perkongsian di Facebook dan blog hari ini sukar dipastikan kesahihannya kerana diceritakan berdasarkan pengalaman individu saja,” katanya.

Nur Nabiila Masfuzah Abdullah (Bel Nawhen), Nur Afiqah Mohamad Kamisruddin dan Rosnalizawati Hamzah

Ketiga-tiga jururawat ini umpama berada dalam karakter masing-masing. Menyumbang hasil penulisan dalam naskhah Syif Tengah Malam, masing-masing bercerita mengenai pengalaman ditugaskan di wad dewan pembedahan.

Kata Nur Nabiila, naskhah itu adalah kolaborasi keempatnya dengan beberapa penulis lain. Dia yang aktif menulis sejak di bangku sekolah turut giat mengendalikan pelbagai program advokasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Dalam naskhah ini saya menulis pengalaman bertugas di dewan bedah. Kalau hendak diceritakan, memang banyak pengalaman yang kurang menyenangkan sepanjang bertugas sebagai jururawat. Walaupun kedengaran agak seram, sebenarnya inilah realiti yang kami hadapi di hospital.

“Ada waktunya, kisah itu tidak menyeramkan, tetapi meninggalkan tanda tanya kepada orang lain. Selain menulis cerita seram, saya juga aktif berkongsi banyak maklumat kesihatan di media sosial,” katanya.

Bagi Nur Afiqah pula, bidang penulisan memberi cabaran baru kepada dirinya. Biarpun berpengalaman menulis cerpen, wanita muda ini tetap merujuk mereka yang lebih berpengalaman bagi memastikan penceritaannya tidak bercanggah dengan terma perubatan.

“Saya bertugas di bahagian rawatan buah pinggang. Kadang-kadang pesakit mudah berhalusinasi kerana kandungan toksik dalam darah yang tinggi.

“Biarpun kita tahu pesakit dalam keadaan sedemikian, sebagai manusia, sukar untuk saya mengabaikan cakap-cakap pesakit begitu saja. Untuk keselesaan mereka, saya tetap perlu meneruskan tugas seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 2:05pm
d