hati

Sebar mesej perpaduan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, syarikat sosial, Projek57 melancarkan Unity Ribbon, baru-baru ini.

Unity Ribbon sebahagian daripada usaha Projek57 untuk menggalakkan rakyat Malaysia meraih semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia dengan penuh rasa bangga apabila memakai Unity Ribbon dan menyebarkan mesej perpaduan.

Pengasas program Collin Swee berkata, perpaduan adalah kunci untuk membina negara yang lebih baik dan oleh itu, pihaknya sentiasa berusaha menyatupadukan rakyat negara ini.

“Unity Ribbon adalah inisiatif kami untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya memakainya dan berasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan dalam masa sama, semangat perpaduan akan terus hidup dan tersebar,” katanya.

Sementara itu, pengasas bersama Projek57 Syed Sadiq Albar berkata, projek itu lebih kepada simbol harapan yang membantu memperkasakan golongan belia sekali gus membina Malaysia yang lebih harmoni.

“Sebahagian daripada hasil projek ini akan disalurkan kepada program pendidikan dan kebudayaan Orang Asli.

“Oleh itu, bermula 31 Ogos hingga 16 September ini, kami meminta semua orang untuk memakai Unity Ribbon dan berbangga menjadi rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sempena pelancaran Unity Ribbon, satu sesi dialog yang bertemakan ‘Tak Kenal, Maka Tak Cinta’ diadakan sebagai sebahagian daripada acara pada pelancaran program di mana ahli panel membincangkan kepentingan perpaduan dan memahami antara satu sama dalam pembinaan Malaysia yang lebih harmoni

Dilancarkan pada April 2018, reka bentuk Unity Ribbon diilhamkan daripada Jalur Gemilang dengan warna biru yang melambangkan perpaduan, putih bagi integriti dan merah untuk keberanian.

Riben ini juga menampilkan satu simbol yang menjadi ikon Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman dalam warna kuning, yang melambangkan perpaduan, kepelbagaian, penerimaan dan kemajuan.Unity Ribbon ini boleh dibeli pada harga RM2.50 setiap satu dan RM0.50 daripada jumlah ini akan disumbang kepada belia kurang bernasib baik yang menghasilkan reben berkenaan, manakala selebihnya disalurkan kepada program belia Projek57.

Unity Ribbon boleh didapati di cawangan Jaya Grocer, Nando's Malaysia dan MyNews.com seluruh negara, dan juga melalui atas talian di laman web Projek57 melalui laman web https://www.projek57.com/product/unity-ribbon/.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 2:01pm
d