hati

Penat berbaloi produk digemari ramai

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Siapa sangka keputusan berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan membesarkan cahaya mata menjadi detik permulaan kepada wanita berjiwa kental ini berkecimpung dalam dunia perniagaan diminati iaitu kek dan bakeri.

Walaupun mempunyai minat mendalam, kekangan komitmen yang perlu ditumpukan pada kerjaya sebelum itu menjadi halangan.

Keputusan berhenti kerja rupanya membuka ruang kepadanya untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan di samping menguruskan rumah tangga dan anak.

Bagi Delly Noriza Abdullah, peluang dan masa yang ada apabila bergelar suri rumah sepenuh masa digunakan sebaik mungkin bagi menambah pendapatan dan membantu keluarga.

“Ketika itu, selain menguruskan rumah, saya juga menghantar dan mengambil anak serta anak jiran terdekat pergi dan pulang dari sekolah.

“Pada masa sama, terdetik di fikiran menyertai kelas masakan dan bakeri memandangkan memasak adalah minat saya,” katanya.

Menurut Delly Noriza yang kini menetap di Puchong, Selangor, dia semakin teruja selepas menyertai kelas masakan dan mempelajari pelbagai resipi khususnya dalam pembuatan juadah pemanis mulut, piza serta kek cawan.

“Saya mula rajin mencuba semua resipi yang dipelajari dan hidangan yang terhasil itu diberikan kepada kawan serta jiran terdekat untuk merasainya.

“Apabila menerima maklum balas positif barulah saya berani membuka tempahan kepada orang ramai. Maklum balas itu sangat penting untuk memastikan setiap produk menepati selera pelanggan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah berhenti belajar dan gemar mengikuti pelbagai kelas masakan dan bakeri bagi memastikan ilmu dalam bidang itu semakin bertambah.

Edar roti

Delly Noriza bersyukur kerana sambutan diterima amat menggalakkan terutama beberapa produk pilihan utama pelanggan antaranya krim paf, donat, pavlova, tart keju dan pelbagai jenis roti. Tempahan semakin meningkat terutama menjelang musim perayaan atau sambutan apa juga majlis.

“Saya tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan dan amat bersyukur dengan rezeki dikurniakan ini. Saya juga mengedarkan pelbagai jenis roti ke sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) berhampiran rumah,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya dia menyediakan kek, kek cawan dan roti piza sebaik menerima tempahan kerana mementingkan kualiti, keenakan produk serta mahu memastikan setiap pelanggan menerima hasil tempahan yang baru.

“Walaupun kini semakin sibuk kerana perlu membahagikan masa sebaik mungkin antara urusan rumah tangga dan perniagaan, saya amat bersyukur dengan rezeki ini,” katanya.

Menurut wanita kelahiran Melaka ini, soal harga juga tidak menjadi masalah kerana semua produknya dijual pada harga sederhana.

“Saya menggunakan bahan berkualiti bagi memastikan keenakan dan keaslian rasa selain tahan lama namun ia tidak menyebabkan saya meletakkan harga tinggi.

“Saya memahami pelanggan dan sering meletakkan diri saya di tempat mereka. Atas sebab itu, saya sedaya upaya mengekalkan harga terbaik bagi tidak membebankan pelanggan yang mahu menikmati hidangan dan hasil air tangan saya,” katanya.

Katanya, semua maklumat dan tempahan produk kebiasaannya diterima melalui talian memandangkan kini semuanya di hujung jari.

Impi memiliki bakeri sendiri

Memasang impian memiliki bakeri sendiri suatu hari nanti menyebabkan Delly Noriza tidak boleh berdiam diri dan perlu bersungguh-sungguh dalam perniagaan diceburinya kini.

“Saya mengimpikan untuk membuka sebuah bakeri yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi proses penyediaan dan penjualan pelbagai produk saya. Buat masa ini, saya hanya menjalankan perniagaan di rumah,” katanya.

Katanya, dia juga bersyukur kerana keluarga amat memahami kerjayanya kini dan memberi sepenuh sokongan kepadanya.

“Dalam sibuk saya masih ada masa menguruskan anak ke sekolah, memerhatikan pelajaran mereka dan menyiapkan tempahan pelanggan.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Memang penat tetapi semuanya berbaloi apabila melihat reaksi pelanggan yang rata-ratanya menggemari produk yang saya sediakan,” katanya.

“Masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari dalam mengembangkan perniagaan ini. Sebagai penjual produk makanan, saya perlu pastikan semuanya terutama aspek kualiti dan rasa sentiasa dalam keadaan terbaik supaya pelanggan akan terus setia bersama saya,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 2:14pm
d