hati

Selamatkan jantung, cipta senyuman

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Benar kata orang, manfaat melakukan kebajikan sebenarnya lebih dirasai sukarelawan itu sendiri. Tanpa sedar, sukarelawan akan berasa bahagia apabila melihat senyuman insan yang disantuni apatah lagi jika ia membabitkan pesakit kanak-kanak.

Namun bagi sukarelawan, manfaat pada diri sendiri adalah bonus kerana apa yang lebih penting pesakit kanak-kanak gembira dan menjadi lebih bersemangat. Dua elemen ini amat penting untuk membolehkan badan mereka memberi tindak balas positif terhadap rawatan yang diterima.

Nu Skin Malaysia mengambil kesempatan meraikan 160 peserta, termasuk 20 kanak-kanak penghidap penyakit jantung kongenital (CHD) ke Taman Burung Kuala Lumpur untuk melakukan aktiviti menyeronokkan sambil belajar sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat CSR tahunannya.

Usaha CSR itu sebagai menjunjung misi syarikat untuk mewujudkan sifat saling membantu di seluruh dunia dan membantu mengubah kehidupan masyarakat.

Menurut laporan, lapan hingga 10 kes bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, CHD adalah kecacatan kongenital yang paling biasa dilihat pada kanak-kanak.

Oleh itu, Nu Skin Malaysia menjalin kerjasama jangka panjang dengan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dan program amal A-Heart-for-A-Heart Gleneagles untuk menaja dan menyokong kanak-kanak kurang bernasib baik yang perlu menjalani prosedur jantung, rawatan atau pembedahan di hospital masing-masing.

Projek ini juga sebahagian daripada usaha Dana Jantung Kanak-kanak Asia Tenggara (SEA CHF), iaitu program CSR Nu Skin yang pernah memenangi anugerah.

Inisiatif ini juga bukti sebenar bagi syarikat itu memperbaiki kehidupan melalui pelbagai projek dan usaha. SEA CHF memainkan peranan penting dalam menaja pembedahan pembetulan jantung bagi kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh Malaysia.

Dalam keadaan ekonomi sedang merosot dan kos sara hidup yang semakin meningkat, sumbangan daripada pengedar dan kakitangan Nu Skin dari rantau ini (Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura Brunei, Indonesia dan Vietnam) membolehkan SEA CHF membantu menyumbang dana kepada kanak-kanak kurang bernasib baik yang perlu menjalani prosedur jantung, rawatan atau pembedahan.

Sejak 2008, Nu Skin Malaysia membantu lebih 254 kanak-kanak, sekali gus menghadirkan senyuman dan memupuk budaya ‘Force for Good’ melalui sekumpulan individu berdedikasi membantu golongan ini meningkatkan nilai kehidupan yang layak dinikmati mereka.

Pengurus Besar, Nu Skin Malaysia dan Brunei David Cheong berkata, melalui program seperti ini pihaknya ingin menunjukkan kepada pengedar sumbangan mereka penting untuk membantu menyelamatkan jantung dan mencipta senyuman.

Di Nu Skin, katanya, usaha mewujudkan senyuman dan membantu lebih ramai orang yang memerlukan akan diteruskan.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk kempen ‘Force For Good’, Nu Skin Malaysia turut melaksanakan Projek Wish List setiap tahun untuk kanak-kanak kurang bernasib baik semasa musim perayaan Krismas.

“Kanak-kanak ini akan menulis permintaan masing-masing di atas kad dan menggantungnya pada pokok Krismas manakala pengedar Nu Skin Malaysia yang bermurah hati akan menunaikan hasrat mereka dalam bentuk hadiah, termasuk pelbagai mainan, pakaian dan peralatan sukan.

“Saya menghargai usaha barisan pemimpin jualan kami yang bermurah hati menyumbang kepada perubahan dan menggalakkan transformasi kehidupan, begitu juga dengan penyertaan mereka yang aktif dalam menjayakan projek ini,” katanya,” katanya.

Projek Wish List itu dimulakan pada 2008 dan kini dijadikan sebagai acara tahunan bermula 2011 melalui kerjasama dengan Yayasan IJN bagi memenuhi impian kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 12:33pm
d