hati

Pastikan kualiti sesuatu produk

Oleh Siti Zarinah Sahib

Benarkah pengguna semakin bijak dalam memilih produk perawatan wajah dan tidak membeli hanya semata-mata percayakan testimoni yang diberikan penjual?

Namun dalam sisi berbeza masih ada pelanggan terpedaya dengan momokan yang mengatakan krim ini boleh mencerah dan menganjalkan kulit serta menghilangkan jeragat dalam masa tujuh hari. Siapa yang tidak teruja?

Memang wanita sifatnya ingin sentiasa cantik dan menawan pada pandangan mata orang lain. Buktinya produk mencerah dan pil pelangsing sentiasa mendapat perhatian disebabkan cerah dan kurus itu dua perkara yang membuatkan wanita kelihatan menyerlah.

Menurut Nur Ridzuani Alias, 29, tidak semua wanita terpedaya dengan mesej yang disampaikan menerusi produk pencerah. Dia sendiri sangat menitikberatkan kualiti dalam pemilihan produk rawatan wajah.

“Bagi saya tahap kesihatan kulit seseorang berbeza mengikut usia, warna kulit dan cuaca. Jadi untuk memilih produk pencerah perlu melihat kepada jenis kulit. Apa yang penting adalah rawatan mengatasi masalah jerawat atau jeragat serta antipenuaan kerana ia sangat membantu untuk kulit kekal muda,” katanya.

Mengeluarkan bajet RM150 setiap bulan untuk mendapatkan produk pilihan hati, dia tidak melabelkan semua produk tempatan bermasalah manakala produk antarabangsa terbaik dan berkualiti.

“Saya melihat kualiti sesuatu produk sebelum memilihnya. Setiap produk ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri sama ada tempatan mahupun luar negara. Sebagai pengguna kita harus tahu keperluan kulit sebelum menggunakannya,” ujarnya yang melakukan rutin harian mencuci, menyegar dan melembap selain memakai krim pelindung matahari.

Sebagai model sambilan Nur Ridzuani menasihati pengguna agar tahu masalah kulit sebelum membeli produk supaya tiada sebarang masalah selepas menggunakannya.

“Baca kandungan untuk memastikan ia selamat digunakan. Banyak krim mengandungi bahan kimia merbahaya. Namun alhamdulillah setakat ini saya belum pernah mengalami masalah kulit akibat tersalah pilih. Cuma sebagai ibu kepada dua cahaya mata pastinya hormon ada naik turun yang turut mempengaruhi kecantikan kulit,” katanya.

Bagi Nurarienna Ahmad, 41, dia tidak kisah menggunakan jenama tempatan asalkan sesuai jenis kulit dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pada usia awal 40-an saya memilih rejim penjagaan bersifat antipenuaan berbanding mencerahkan kulit. Namun sekiranya dalam produk itu mengandungi ejen pencerah ia adalah satu bonus,” katanya.

Sangat tertib dalam rutin penjagaan wajah, Nurarienna sentiasa memastikan kulit dibersihkan dua kali sehari selepas itu memakai krim pelindung matahari. Sekali seminggu dia melakukan lulur di rumah bagi membuang sel kulit mati.

Mengeluarkan bajet RM50 sehingga RM150 sebulan untuk membeli produk rawatan wajah wanita ini juga tidak mahu melabelkan semua jenama tempatan merbahaya namun sekiranya produk itu tiada kajian, ada kemungkinan ia dihasilkan menerusi cara ‘timbang kilo’ dan pengguna perlu lebih berhati-hati.

“Saya juga tidak mahu produk mengandungi bahan yang memberikan kesan cepat tetapi dalam jangka masa panjang membahayakan kulit. Sebaliknya pilih dan selidik dulu jenama tempatan bagi memastikan ia tidak mengandungi bahan kimia terlarang,” jelasnya.

Bagi Asmayuzi Abdullah dia amat menekankan keselamatan dan hasil dalam penggunaan produk. Tambahan pula lambakan jenama ‘timbang kilo’ di pasaran sehingga sukar mengenal pasti produk yang benar-benar selamat.

“Saya sangat berhati-hati dalam memilih rangkaian penjagaan wajah kerana bimbang kemudaratannya. Sebab itu saya selesa menggunakan jenama keluaran Jepun. Tidak dinafikan ada kenalan menggunakan krim timbang kilo dan menunjukkan perubahan kulit mereka semakin cantik, namun saya percaya ia untuk jangka pendek saja. Langkah selamat pilih jenama yang mendapat pengesahan dan melalui ujian klinikal sebagai contoh yang dijual di farmasi,” katanya.

Katanya, rutin penjagaan wajah perlu dilakukan secara teratur agar kulit mendapat lembapan secukupnya. Memahami jenis kulit dan tujuan rawatan juga sangat penting sebelum mendapatkan sebarang produk.

“Untuk saya yang sudah memasuki 41 tahun dan berkulit matang, saya mencari produk yang dapat membantu melambatkan proses penuaan. Selain itu juga saya turut mencari krim yang dapat menghilangkan jeragat kesan daripada aktiviti luar. Sebab itu saya tidak lupa memakai krim pelindung matahari setiap kali melakukan aktiviti di luar,” katanya yang menyediakan bajet RM600 untuk membeli produk kecantikan yang tahan selama setahun.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 1:58pm
d