hati

Urus tumbesaran anak

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Sesetengah ibu bapa sememangnya tidak menyedari anak mereka menghadapi masalah pertumbuhan. Ada juga yang tersalah anggap dengan masalah ini contohnya, ibu bapa percaya adalah normal jika tumbesaran anak terbantut kerana mereka sendiri bertubuh kecil atau rendah.

Dalam kedua-dua kes ini, ibu bapa gagal mengenal pasti faktor risiko dan terlepas peluang untuk menangani masalah berkenaan dengan cepat dan berkesan.

Akibatnya, anak mereka (termasuk yang mempunyai ketinggian dan berat badan normal) mungkin tidak dapat mengatasi halangan yang menjejaskan pertumbuhan, seterusnya menyebabkan mereka menjadi lebih rendah dan lebih ringan daripada dijangka.

Pakar kanak-kanak yang juga ahli Panel Pakar Program Pertumbuhan, Tabiat Makan dan Pemakanan Kanak-kanak (IMFeD) Dr Yong Junina Fadzil berkata, masalah pertumbuhan boleh berlaku dalam kalangan keluarga miskin mahupun kaya.

Katanya, faktor penyumbang termasuk sering sakit dalam tahun-tahun pertama kehidupan, menghidap penyakit kronik, pendedahan yang berpanjangan terhadap sesetengah ubat-ubatan atau dilahirkan pramatang.

“Namun, faktor yang lebih lazim biasanya berkaitan dengan tabiat makan dan pemakanan. Cerewet makan, masalah makan yang lebih serius dan kualiti diet yang tidak baik boleh menjejaskan pertumbuhan.

“Kesannya amat membimbangkan kerana seorang daripada lima kanak-kanak di Malaysia di bawah usia lima tahun terbantut (rendah untuk umurnya) dan seorang daripada 10 kanak-kanak kurang berat badan, seperti yang dilaporkan oleh Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016: Kesihatan Ibu dan Anak. Kanak-kanak ini berisiko mengalami masalah kesihatan, kognitif dan psikososial yang berkaitan,” katanya.

Menurut Dr Yong, pakar penjagaan kesihatan semakin bimbang terhadap betapa besarnya masalah pertumbuhan di negara ini.

Ini mendorong Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), yang disokong oleh Abbott Malaysia untuk melancarkan ‘IMFeD Get Growth On Track’, kempen saringan dan kaunseling mengenai pertumbuhan kanak-kanak di seluruh negara yang pertama oleh MPA.

Dr Yong menjelaskan melalui program IMFeD, MPA melatih kira-kira 150 pakar pediatrik dalam saringan dan pengurusan masalah pertumbuhan.

Kini, MPA menjemput ibu bapa membawa anak berjumpa pakar pediatrik untuk diukur berat badan dan ketinggian, kemudian menandakan bacaan berkenaan pada carta pertumbuhan.

Bacaan yang berada di bawah julat normal dan corak pertumbuhan yang tidak teratur mungkin menandakan kanak-kanak itu tidak membesar dengan baik.

“Kita tidak boleh sekadar melihat pada fizikal seseorang kanak-kanak untuk membuat kesimpulan yang tepat. Malah, kami juga perlu mengedarkan satu soal jawab ringkas mengenai tabiat makan dan tabiat harian, dan mungkin juga menjalankan pemeriksaan fizikal atau beberapa ujian lanjut, jika perlu, untuk mengenal pasti punca yang mungkin menjejaskan pertumbuhan mereka.

“Bergantung pada keputusannya, pakar pediatrik akan memberi nasihat kepada ibu bapa mengenai makanan yang perlu diberikan, kaedah memberi makan, panduan untuk tidur nyenyak (kanak-kanak paling banyak membesar semasa tidur pada waktu malam) dan aktiviti fizikal, malah juga panduan keibubapaan,” katanya.

Doktor juga akan menyarankan makanan tambahan untuk kanak-kanak yang memerlukan tenaga tambahan dan pemakanan seimbang lengkap untuk mengejar pertumbuhannya. Semua ini sangat penting untuk menguruskan pertumbuhan kanak-kanak.

Menurut Dr Yong, kempen IMFeD Get Growth On Track sangat relevan untuk ibu bapa yang mempunyai anak di bawah usia lima tahun.

Beliau menerangkan kanak-kanak perlu mencapai 60 peratus ketinggian maksimum mereka dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan. Oleh itu, lebih lambat masalah pertumbuhan dikenal pasti, lebih singkat masa yang tinggal untuk menyelesaikannya.

“Prinsip lebih cepat lebih baik ini juga menjelaskan bagaimana ia akan menjadi semakin sukar untuk mengubah pilihan dan tabiat makan apabila kanak-kanak sudah terbiasa dengan cara mereka,” katanya.

Dr Yong turut menyeru ibu bapa untuk bekerjasama dengan pakar pediatrik bagi membantu anak mereka membesar dengan lebih baik.

“Mulakan dengan memanfaatkan kempen ‘IMFeD Get Growth On Track’. Berbincang dengan pakar dan membaca bahan berunsur pendidikan akan membekalkan maklumat dan panduan untuk membantu anak anda mencapai potensi pertumbuhan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, seorang ibu, Zuliana Zulkiflee Abbas bimbangkan pertumbuhan anak perempuannya yang berusia setahun setengah.

Katanya, dia dan suami tidak pernah terlepas setiap pemeriksaan anak mereka, Dina Jaslyn dan akan merekodkan bacaan berat badan dan ketinggiannya setiap kali.

“Bayangkan betapa bimbangnya kami apabila Dina semakin susut berat badan. Pada awalnya kami sangka Dina memang semula jadi bertubuh kecil seperti saya. Memang dia makan sangat sedikit.

“Kami tertanya-tanya jika perkara ini boleh menjadi serius. Ibu bapa lain berkata tidak perlu bimbang, anak kami akan makan lebih baik apabila besar nanti. Tambahan pula, Dina aktif dan peka seperti biasa,” katanya.

Zuliana dan suaminya tidak pasti bagaimana mahu mengendalikan masalah itu lalu mereka mendapatkan bantuan pakar dan mengesahkan bahawa Dina memang mengalami masalah pertumbuhan.

“Doktor menerangkan ia disebabkan oleh masalah pemakanan dan menasihatkan kami cara untuk mengejar kembali pertumbuhan Dina.

“Kini, kami dapat melihat peningkatan dan saya bersyukur kerana mengesan masalah pertumbuhan anak kami di peringkat yang cukup awal. Ini membolehkan kami mengambil langkah pemulihan yang sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 3:53pm
d