hati

Baja organik sisa dapur

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Menjadikan sisa makanan sebagai baja organik antara petua menjadikan tanamannya tumbuh segar dan subur, malah tidak memerlukan kos yang tinggi untuk memastikan tanaman ‘menjadi’.

Itu antara petua dikongsi Norasyikin Ab Hamid, 28, yang memanfaatkan halaman rumahnya di Rawang, Selangor dengan pelbagai tanaman dan tumbuhan segar yang menyejukkan mata.

Katanya, setiap kali membuang sisa makanan, ramai tidak terfikir, ia sebenarnya boleh dikitar semula untuk menghasilkan baja organik.

“Bayangkan berapa banyak kawasan tapak pelupusan sampah yang dapat dijimatkan dengan mengitar semula sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.

“Mudah saja sebenarnya, antara bahan yang saya gunakan air basuhan beras, kulit bawang dan kulit telur, Alhamdulillah tanaman saya tetap subur.

“Selain selamat terhadap alam sekitar, kita dapat menjimatkan kos untuk membeli baja. Daripada membeli baja organik yang agak mahal, apa kata kita gunakan sisa dapur saja sebagai baja,” katanya.

Menurut Norasyikin, sebenarnya bukan susah hendak mewujudkan taman dapur. Maklumat mengenainya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak saja untuk mengusahakannya.

Namun, katanya, apa yang memuaskan hati apabila dia sekeluarga boleh makan sayuran yang bebas racun kimia dan pada masa sama dapat menggalakkan anak sukakan sayur.

“Saya babitkan anak dalam aktiviti berkebun dan mereka juga meminati hobi ini biarpun masih kecil. Banyak juga sumbangan mereka misalnya menolong mencabut rumput yang tumbuh di dalam pasu atau menyiram tanaman.

“Saya turut mendapat sokongan penuh suaminya terutama jika mahu mencari atau membeli bahan berkebun.

“Sudah pasti satu kepuasan buat saya apabila dapat masak dan makan hasil sayur yang ditanam sendiri. Memang ada sesetengah sayuran kadang-kadang ambil masa lama sebelum boleh dituai, tapi berbaloi sebab sayur kita tanam ini tidak menggunakan racun.

“Kalau beli sayur di pasar, sesetengahnya tidak terjamin sama ada bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sendiri di rumah. Hasil tanaman pula ada yang digunakan sendiri dan saya juga menjualnya kepada jiran tetangga yang berminat membeli,” katanya.

Antara tanaman yang ditanam Norasyikin termasuk terung, kubis, kubis bunga, cili, sawi, kacang botor, bendi dan tomato selain tanaman herba dan ulam seperti kunyit, kari, pandan, pegaga, kesum dan lengkuas.

Katanya, dia banyak mempelajari cara menanam daripada laman sosial dan Internet selain berkongsi minat dengan rakan yang mempunyai minat sama. Baginya bercucuk tanam tidaklah sukar kerana kebanyakan tanaman yang dipilih senang hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Lagipun, saya hendak manfaatkan tanah sekangkang kera yang ada ini. Seronok tanam sayur, rasanya lebih segar dan kebanyakan tanaman yang digunakan untuk masakan boleh dipetik pada bila-bila masa,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 1:36pm
d