hati

Swafoto bersulam pemanis mulut

Oleh Siti Zarinah Sahib

Amalan berswafoto bersama rakan mahupun insan tersayang seakan-akan sudah menjadi satu gaya hidup rakyat Malaysia. Gambar ketika makan, membeli-belah atau melakukan sebarang aktiviti ini kemudiannya akan dimuat naik menerusi laman Instagram untuk tatapan umum. Tanpa sedar ia mencipta keakraban di antara satu sama lain dan perkongsian kenangan yang boleh diabadikan bersama.

Bagi memberikan kegembiraan kepada individu yang gemar berswafoto walau di mana mereka berada, Muzium Selfie pertama kini dibuka kepada orang ramai di pusat beli-belah Fahrenheit 88 bermula 31 Ogos lalu.

Bertemakan pemanis mulut Malaysia, acara ini diadakan bertujuan memberi peluang rakyat Malaysia mengalami sendiri perjalanan pelbagai rangsangan deria seperti penglihatan, sentuhan dan rasa menerusi juadah enak disediakan.

Menurut Pengarah Muzium Selfie Sean Tan, buat julung kalinya muzium itu diperkenalkan kepada umum pada Hari Kebangsaan baru-baru ini. Muzium ini mempamerkan sembilan bilik inspirasi daripada ukiran manisan mulut Malaysia bagi memberikan detik bermakna ketika foto dirakamkan. Pelawat akan menerima lima pemanis mulut secara percuma iaitu kek cawan sirap, aiskrim Baskin Robbins, tart pisang dan teh buih TeaLive.

“Tujuan utama Muzium Selfie ini diperkenalkan bagi mengajak rakyat Malaysia pelbagai latar belakang untuk bersama-sama mencipta saat terindah dan menyimpan kenangan bersama insan tersayang,” katanya.

Jelasnya lagi, muzium ini direka bagi menjadikan gambar dengan juadah enak lebih menarik dan hidup. Ia bersesuaian dengan aktiviti rakyat Malaysia yang suka berswafoto bersama.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Fahrenheit 88, jenama tempatan dan antarabangsa. Ini menjadikan ia satu kenyataan dalam mewujudkan persekitaran kreatif, interaktif dan menyeronokkan. Kami berharap pengunjung akan bergembira di sini,” tambah Sean Tan.

Muzium yang berkeluasan 7,000 kaki persegi ini dihasilkan dengan kerjasama jenama antarabangsa dan tempatan seperti Samsung, Pandora, Benefit Cosmetics, Baskin Robbins, Hotlink Red, TeaLive, llaollao, dUCk Scarves dan Sos Cili Lingham.

Menariknya pengunjung boleh memasuki bilik menempatkan setiap jenama dengan konsep tersendiri. Mereka boleh merasai lima manisan Malaysia daripada lima bilik terpilih sambil merakam gambar bersama.

Antaranya The Giant Cakes by Pandora yang mempamerkan pelbagai ukiran kek gergasi berwarna-warni. Pengunjung boleh memilih kek cawan percuma dengan rasa tempatan sirap atau gula Melaka.

Bagi peminat alat solek pula boleh mengunjungi bilik Everything's Sweet by Benefit Cosmetics yang dipenuhi ukiran gula-gula dan manisan dengan penuh keceriaan.

Mereka boleh menikmati jagung lembut dan gebu atau gula-gula marshmallow laici apabila memasuki Fluffy Path iaitu bilik yang dibina untuk mempamerkan perasaan gembira dan bahagia.

Untuk peminat ais krim pula jangan lepaskan peluang mengunjungi Ice-Cream World by Baskin Robbins yang mempamerkan kon ais krim sebesar saiz sebenar. Pelawat akan menerima satu kaup percuma aiskrim Cold Brew Crunch atau Cotton Candy. Kafe dUCkies by dUCk Scarves pula menyediakan teh ais ikat tepi bersaiz besar sebagai simbolik minuman kesukaan rakyat Malaysia.

Turut disediakan adalah bilik Super Happiness by SAMSUNG Galaxy, bilik Splash Lab by TeaLive & llaollao dan Do-Nut-Stop by Hotlink.

Selain bergambar di setiap bilik pelawat juga boleh membeli produk rasmi Muzium Selfie sebagai kenangan di Fun Factory.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 6:00am
d