hati

Penjagaan dalam tempoh berpantang amat penting

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kebanyakan wanita kelihatan anggun menawan ketika berusia lingkungan 20-an dan masih belum berkahwin. Situasi itu mungkin berubah sebaik saja individu terbabit berkahwin apatah lagi selepas melahirkan cahaya mata.

Perubahan hormon dan kenaikan berat badan mendadak ketika hamil tentu saja mempengaruhi penampilan wanita terbabit.

Cabaran sebenar dalam mendapatkan kecantikan diimpikan menjadi agak sukar ketika itu. Mana tidaknya, ada yang bertambah hingga 20 kilogram (kg) ketika hamil selain kulit wajah menjadi kusam.

Kesibukan dengan rutin harian yang padat dalam menguruskan kerjaya, anak-anak dan keluarga menambahkan lagi kesukaran untuk mendapatkan kembali kulit serta bentuk badan diimpikan.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, ibu kepada tiga cahaya mata yang kini masih dalam tempoh berpantang, Zuriati Mohd Jadi berkata, ramai yang bersetuju kecantikan wanita dapat dinilai selepas melahirkan cahaya mata.

“Mungkin ketika masih belum berkahwin dan berusia lingkungan 20-an, ramai wanita yang kelihatan cantik dan langsing namun senario itu sering berubah terutama selepas melahirkan anak.

“Bagi saya, paling penting adalah penjagaan ketika tempoh berpantang dan ia terbukti apabila saya berjaya mengekalkan penampilan diri walaupun sudah mempunyai tiga cahaya mata,” katanya.

Menurut Zuriati, mengamalkan mandian herba sepanjang tempoh berpantang antara amalan penting untuk mendapatkan kembali kesegaran dan menghilangkan kusam pada wajah.

“Sepanjang tempoh berpantang ini, saya tidak boleh bersikap malas kerana bagi saya ini adalah tempoh sebenar untuk mendapatkan kembali apa yang diinginkan.

“Saya juga akan berurut dan bertungku bagi melancarkan peredaran darah, mengecutkan rahim serta mengelakkan angin,” ujarnya.

Zuriati yang juga turut menjalankan perkhidmatan perbidanan tradisional berkata, mungkin sesetengah wanita menganggap amalan berpantang bukan sesuatu yang penting.

“Tanggapan itu ternyata salah sama sekali, kerana berpantang adalah tempoh paling mudah untuk kembali cantik dan langsing.

“Dalam pada itu, pengambilan manjakani penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan,” katanya.

Tambah Zuriati, dia turut mengamalkan minuman air sirih untuk kesihatan dalaman selain menjadikan wajah nampak kemerah-merahan dan berseri.

“Selain untuk diminum, air rebusan sirih yang ditambah dengan asam keping dan manjakani juga boleh digunakan untuk membasuh vagina bagi mengelakkan bau yang tidak menyenangkan.

“Berbengkung juga penting sepanjang tempoh berpantang kerana ia dapat membantu mengembalikan bentuk badan menawan,” ujarnya.

Menurutnya, semua amalan dinyatakan itu dilakukan secara konsisten ketika berpantang anak pertama hingga kini.

“Janganlah menganggap semua ini susah atau leceh kerana kesan yang akan diterima bakal membuatkan anda tersenyum.

“Namun, sekiranya tidak dapat kembali pada bentuk badan seperti sebelum ini jangan pula berputus asa kerana mungkin anda memerlukan sedikit lagi masa asalkan konsisten,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 8:14am
d