hati

Falsafah sama sejak 193 tahun

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Selesa ketika mengenakan sepatu yang betul bukan sekadar dirasai fizikal tubuh tetapi boleh mempengaruhi emosi pemakai. Saat kaki berasa selesa, tentu sekali keyakinan diri mudah meningkat dan perjalanan rutin menjadi lebih lancar serta menggembirakan.

Tanyakan kepada sesiapa saja, keselesaan selalunya digambarkan dengan rasa mencukupi dan nikmat kepuasan luar biasa. Ia juga boleh memberi pengaruh besar kepada tahap kualiti hidup setiap individu.

Melihat tingginya jangkaan pengguna terhadap apa yang dipakai setiap hari, jenama pertukangan kasut unggul sejak 1825, Clarks kini tampil dengan rekaan sepatu gaya unik dan selesa.

Berpegang kepada falsafah sama hampir 200 tahun, jenama itu percaya bahawa keselesaan sentiasa menjadi keutamaan semua. Malah, falsafah itulah yang menjadikan Clarks terus relevan dalam pasaran sepatu dunia.

Timbalan Presiden Pemasaran Asia Tenggara C&J Clark (M) Sdn Bhd Shirleyvian Foo berkata, jenama itu komited untuk terus tampil dengan pelbagai rekaan segar bagi memenuhi keperluan pemakai sepanjang musim.

“Umpamanya, untuk koleksi musim luruh dan sejuk 2018, kami menyediakan lebih banyak pilihan sepatu gaya kasual yang menggambarkan gaya hidup bebas, lincah dan semangat pengembara.

“Semua koleksi ini mengutamakan faktor keselesaan emosi, kebebasan bergerak dan keyakinan diri, untuk si pemakai melengkapkan perjalanan panjang mereka setiap hari.

“Tambahan, kami juga percaya bahawa setiap orang harus memakai kasut yang baik, tanpa mengira jarak perjalanan mereka,” katanya.

Jelas Shirleyvian Foo, rekaan kali ini menonjolkan lebih banyak kelainan dan keunikan, seiring dengan perubahan gaya fesyen terkini, khusus untuk pencinta jenama terbabit.

“Kami tahu bahawa kaki berfungsi menyokong berat badan, mengawal keseimbangan tubuh dan menyerap kejutan setiap kali berjalan. Jadi, kami selitkan empat prinsip yang dipercayai berupaya membantu mengurangkan impak letih pada kaki.

“Misalnya, Fit Ergonomik menghasilkan potongan sepatu sempurna, sesuai dengan bentuk kaki, kusyen pada bahagian dalam dan bawah tapak, fungsi ‘Point Flex’ untuk menyokong gerakan secara semula jadi serta bahagian atas kasut yang fleksibel.

“Semua ciri ini ada pada koleksi Trigenic yang menampilkan sepatu kasual, sepadan dengan trend dan gaya hidup kini. Melengkapkan koleksi musim ini, Clarks juga menampilkan sepatu untuk mereka yang lasak dan padanan ideal untuk ke pejabat,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 7:15am
d