hati

Warisi bakat ayah

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Hakikat yang perlu ditempuh pada era kini terutama kepada generasi muda adalah kesukaran mendapat pekerjaan terutama dalam bidang yang dimahukan.

Atas sebab itu, anak kelahiran Selama, Perak ini membuang rasa malu dan ego. Apa yang ada dalam hatinya cuma niat untuk mencari rezeki halal demi membantu suami serta keluarga.

Berbekalkan tunjuk ajar dan kemahiran diturunkan ayahnya dalam urutan tradisional membuatkan dia nekad memilih bidang itu sebagai sumber pendapatannya memandangkan tidak ramai orang memiliki kemahiran itu.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, wanita ini tidak menoleh ke belakang, apatah lagi untuk memilih pekerjaan kerana apa yang dia tahu, dia hanya mahu mempunyai duit poket sendiri tanpa perlu berharap sepenuhnya kepada suami di samping membantu individu yang memerlukan rawatan.

Menurut Nor Shahida Mohd Tarmizi, 28, walaupun dia adalah graduan jurusan pengurusan pendidikan namun persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang itu menjadikannya tidak boleh memilih.

“Saya tidak malu walaupun bergelar tukang urut. Saya juga tidak mahu mengendahkan tanggapan orang terhadap kerjaya ini kerana saya melakukan pekerjaan halal.

“Atas sebab kesukaran mendapatkan pekerjaan menjadikan saya nekad meneruskan kerjaya dalam bidang ini khusus untuk rawatan wanita di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Nor Shahida yang menjalankan Sha Homespa berkata, selain menjalankan rawatan di sekitar ibu kota, dia turut menjalankan perkhidmatan itu di negeri lain tetapi dengan syarat mempunyai lima pelanggan dalam satu negeri yang mahukan perkhidmatannya.

“Siapa kata mudah? Walaupun tidak ramai yang boleh mengurut tetapi bidang ini semakin berkembang kini dan semakin ramai wanita yang menceburi bidang ini.

“Dari situ wujud persaingan sengit terutama di sekitar ibu kota namun saya percaya dengan konsep rezeki dan syukur selepas hampir tujuh tahun berkecimpung, saya sudah mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya.

Menurutnya, sama seperti bidang lain, dia juga perlu berusaha sebaik mungkin untuk memastikan perkhidmatannya terus mendapat sambutan.

“Saya sering kali mendapatkan nasihat ayah kerana dia juga mahir mengurut dan seorang tukang urut di kampung. Saya belajar banyak teknik urutan dan petua yang diamalkan daripadanya.

“Selain itu, saya juga tidak malu untuk bertanyakan kepada pelanggan sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan teknik urutan saya kerana dari situ, saya dapat menambah baik teknik urutan saya,” katanya.

Tambahnya, dia juga tidak terkecuali dalam berdepan dugaan terutama ditipu pelanggan dari segi pembayaran dan temu janji.

“Saya anggap ini semua lumrah dalam pekerjaan, saya tidak berputus asa namun semakin bersemangat untuk berikan yang lebih baik kepada pelanggan.

“Selain itu, saya juga perlu kekal berdisiplin kerana bekerja sendiri dan tidak mempunyai pengurus atau ketua yang boleh menegur kesilapan saya,” ujarnya.

Menurut Nor Shahida, walaupun kini hanya bergelar seorang tukang urut dia memasang impian untuk memiliki pusat kelas urutan tradisional sendiri.

“Saya tidak mahu kemahiran ini terhenti begitu saja tanpa berkongsi dengan wanita lain.

Atas sebab itu, saya mahu ia dikongsi bersama terutama dengan suri rumah dan ibu tunggal.

“Bagi saya mudah, apa saja bidang diceburi semuanya memerlukan semangat dan jangan lakukan separuh jalan. Saya tidak malu walaupun bergelar tukang urut pada usia yang masih muda,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 3:38pm
d