hati

Tekan 'butang panik'

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bayangkan wanita berdepan situasi berbahaya dan dalam kecemasan terutama ketika seorang diri. Dalam keadaan mendebarkan itu kebanyakan daripada kita hanya mampu berdoa supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Setiap hari wanita berisiko terdedah kepada jenayah antaranya kes ragut, serangan, pembuli jalan raya dan rompakan.

Selain mendapatkan bantuan polis dan pihak berkaitan menerusi panggilan kecemasan, kini terdapat kaedah yang pantas mendapatkan bantuan dengan hanya menekan butang di skrin telefon.

MMSOS ‘Panic Button’ hasil ciptaan MM Synergy Sdn Bhd adalah aplikasi bantuan kecemasan untuk pengguna sekiranya berdepan situasi kecemasan dan bahaya seperti kes ragut, rompakan, serangan, jenayah harta benda, kecurian kenderaan, kebakaran, pembuli jalan raya, cubaan rompakan, perbuatan yang mencurigakan, membantu dalam memaklumkan ahli keluarga apabila berlaku kecemasan, tunda kenderaan, tuntutan insurans, menghidupkan kereta, membantu ganti tayar pancit atau rosak dan mengatur ambulans.

Aplikasi yang pertama seumpamanya di Malaysia itu membabitkan kerjasama bantuan ambulans, polis, bomba, hospital atau klinik, laporan jenayah, bantuan kenderaan dan kaunseling yang mudah diakses semuanya dalam satu butang.

Menurut pengasasnya, K L Lim, MMSOS beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu dan 365 hari sepanjang tahun dengan pengguna boleh menggunakan perkhidmatan ini pada bila-bila masa dan di mana saja ketika mengalami kes kecemasan.

Katanya, penggunaannya juga mudah untuk pengguna dengan hanya menekan butang kecemasan apabila berlaku kecemasan dan sebaik saja amaran kecemasan diterima di pusat, pasukan SOS Response akan membantu pengguna mengenal pasti dan menyelesaikan masalah dihadapi.

“Pasukan ini kemudian akan mengenal pasti kedudukan pengguna dan mendapatkan bantuan yang terdekat dengan mereka.

Anda sebagai pengguna juga boleh memantau status anda melalui aplikasi ini.

“Pengenalan aplikasi ini adalah tepat pada masanya, sekali gus dapat membantu kerajaan dan polis memastikan kadar jenayah di seluruh negara terus menurun dan rakyat sentiasa berasa selamat. Ia juga membantu dalam mengurangkan kos bebanan pengguna,” katanya.

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma di Play Store dan Apps Store, kemudian membuat pendaftaran dengan memasukkan butiran diri. Bagaimanapun, buat masa ini, perkhidmatan yang sangat bermanfaat ini hanya ditawarkan di Lembah Klang dan akan dikembangkan ke kawasan lain secara berperingkat.

Lim berkata, selain bantuan kecemasan, pengguna yang melanggan aplikasi itu dapat menikmati pelbagai tawaran dan manfaat menarik daripada syarikat dan organisasi yang menjalin kerjasama dengan caj RM1 sehari atau RM365 setahun.

Antara kelebihan untuk pelanggan termasuk insurans kemalangan peribadi percuma bernilai RM50,000 selain pemeriksaan kesihatan di hospital terpilih bernilai RM365.

Selain itu, pelanggan juga dapat menikmati harga istimewa untuk memperbaharui insurans kereta dan penyelenggaraan kereta, yuran ambulans, selain khidmat penundaan kenderaan percuma.

“Bukan itu saja, pelanggan juga dapat menikmati diskaun menarik untuk pakej percutian dan tempahan hotel terpilih di dalam negara,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 12:56pm
d