hati

Kulit cantik, mulus

Oleh Siti Zarinah Sahib

Apabila dia memberitahu kepada penulis hanya menggunakan bahan semula jadi dari rumah sebagai asas penjagaan wajah, tentu saja ia sukar dipercayai. Apatah lagi tatkala ‘membelek’ setiap inci wajah Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 29, yang mulus tanpa sebarang cela terserlah keseriannya.

Malah, pengakuan jujurnya hanya menggunakan ubat gigi menggantikan pembersih kulit sejak berusia belasan tahun turut mendapat perhatian ramai sehingga kisahnya menjadi tular di media sosial. Ramai yang tidak percaya kerana mana mungkin produk yang mempunyai fungsi membersihkan gigi dijadikan bahan pencuci wajah.

Mengakui ia adalah benar, ujar wanita cantik ini, sejak remaja dia sudah terdedah dengan petua lama yang diperturunkan daripada keluarga sebelah ayahnya.

“Ya, memang betul saya tidak mempunyai produk tetap untuk kecantikan wajah kerana sejak remaja saya selesa menggunakan bahan semula jadi. Antaranya ubat gigi sebagai pencuci muka, kulit kayu manis bagi menghilangkan parut, bawang putih untuk mengecutkan jerawat manakala putih telur dijadikan topeng wajah setiap dua minggu sekali,” katanya.

Mempunyai darah campuran Melayu dan Thailand di sebelah bapa, gadis kelahiran Taiping, Perak ini menyifatkan kebanyakan petua diambil turun-temurun daripada saudara sebelah ayahnya.

“Saya perhatikan wanita Thailand halus kulitnya kesan daripada amalan pemakanan pulut. Mereka juga mempunyai pelbagai petua yang sentiasa diamalkan. Kebanyakannya menggunakan bahan dari dapur,” katanya.

Mesra disapa Hazwany, sejak remaja dia tidak pernah mengalami masalah kulit. Jika ada hanya sebutir jerawat yang tumbuh akibat perubahan hormon selepas datang bulan dan selebihnya kulit ‘kebal’ walaupun dia pernah bertukar ganti dengan pelbagai produk.

“Saya suka mencuba. Tambahan pula apabila melihat rakan seusia memberikan maklum balas positif selepas menggunakan produk tertentu. Namun selepas beberapa kali memakainya, kesannya tetap sama dan lama-kelamaan saya mulai bosan lalu menukarnya dengan jenama lain pula. Apabila kulit kekal seadanya, saya terus menggunakan bahan semula jadi sehingga kini,” katanya tersenyum manis.

Mengakui ubat gigi sebarang jenama sangat berkesan menjadikan kulit lembap, lembut dan bebas jerawat. Apa yang dilakukan wanita ini adalah ubat gigi ini dicampur sedikit air lalu disapu pada muka. Hanya gosok seketika sebelum wajah dibilas menggunakan air sejuk. Rasa dingin membuatkan wajah kembali segar manakala ia membuang semua kotoran dan sel kulit mati pada kulit.

“Selepas kisah penjagaan wajah menggunakan ubat gigi ini tular, ramai memberikan maklum balas positif dan ingin mencuba. Ada juga mengecam saya kerana berpendapat tidak sewajarnya saya memberikan petua yang salah. Apa yang saya paparkan sekadar perkongsian. Ia berkesan untuk saya, mungkin tidak pada orang lain dan saya tidak meminta orang lain mencuba sekiranya mereka sudah mempunyai produk penjagaan wajah sendiri,” ulasnya.

Selain ubat gigi, anak sulung daripada tiga beradik ini turut menggunakan salap petroleum yang disapu pada muka sebagai pengganti lembapan sebelum tidur. Dia juga menggunakan ais yang disapu pada wajah sebelum mengenakan solekan.

“Petua ini saya peroleh daripada ibu saudara. Selepas melayari Internet, saya perhatikan ais mempunyai banyak kegunaan termasuk mencantikkan kulit. Sapuan ais sebelum bersolek menjadikan mekap tahan lebih lama. Ais juga melembutkan kulit, memberi kesegaran berpanjangan serta menghaluskan pori,” katanya yang sentiasa yakin dengan petua yang menjadi amalannya sekeluarga.

Jarang ditumbuhi jerawat, Hazwany turut mengamalkan sapuan bawang putih yang berkesan untuk mengecutkan jerawat. Caranya sapu bawang putih (dipotong) pada jerawat dan biarkan seketika, cuci dengan air. Bagi menghilangkan parut jerawat pula, amalkan kulit kayu manis yang dikikis di atas lesung batu, ambil airnya dan sapu pada bekas jerawat beberapa kali sebelum tidur.

“Cara ini amat berkesan untuk menghilang kesan jerawat dengan cepat. Tetapi disebabkan ia agak menyusahkan, ramai antara kita tidak percaya dengan keberkesanan bahan semula jadi ini sedangkan ia bebas bahan kimia dan selamat untuk kulit,” katanya yang mempunyai hampir 176,000 pengikut di laman Instagram.

Seorang yang kuat makan dan makan apa saja tanpa memikirkan makanan berminyak atau bergoreng, Hazwany percaya pada amalan penjagaan kulit yang menjadi rutin harian setiap hari.

“Sebab itu saya makan apa saja walaupun ada mengatakan makanan berminyak boleh menyebabkan jerawat. Mungkin juga disebabkan kulit saya ‘kebal’ terhadap sebarang masalah,” katanya yang juga penyanyi untuk pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang yang tidak gemar bersolek tebal, Hazwany hanya mengenakan bedak asas, gincu, maskara dan celak untuk acara santai. Dia juga tidak mengambil sebarang makanan tambahan untuk kulit memandangkan pernah mencuba namun tiada kesan ketara.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 9:50am
d