hati

Rai penggemar UT

Oleh Redzuan Muharam

Baju-T grafik atau UT edisi terhad salah satu item yang menjadi buruan peminat Uniqlo setiap kali berkunjung ke butik pakaian berkenaan.

Sempena acara UT Wear Your World yang diadakan di aras bawah, Pusat Beli-Belah 1 Utama, Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada 26 hingga 30 September lalu, sebanyak 13 koleksi UT dipamerkan kepada pengunjung.

Antara koleksi dipamerkan termasuk keluaran terbaru daripada edisi manga Jepun, Jump, Katagami, Hokusai Katsushika, Disney, Minions, gabungan SPRZ Art dan Keith Garing, Andy Warhol dan Jean Basquiat.

Pengurus Perhubungan Awam Uniqlo, Keith Jared Mejin berkata, acara itu dianjurkan bagi membolehkan pengunjung melihat semua koleksi UT yang pernah berada di pasaran dan bakal dilancarkan dengan lebih dekat.

Pada masa sama, acara itu diadakan untuk berkongsi dengan pengunjung dan pelanggan Uniqlo mengenai maklumat berkaitan setiap koleksi UT yang dikeluarkan.

“Setiap tahun, kami mengeluarkan pelbagai UT edisi terhad dan motif pada baju berkenaan yang menggambarkan personaliti si pemakai.

“Contohnya, UT koleksi Disney membabitkan kerjasama Uniqlo dengan pereka grafik, pelukis ilustrasi dan pengarah seni, Kate Moross dalam menghasilkan rekaan baju-T Mickey dan Minnie Mouse khusus untuk peminat siri kartun berkenaan.

“UT edisi Spade Invaders pula dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun ke-40 permainan berkenaan yang mula diperkenalkan pada 1978,” katanya pada acara berkenaan yang turut dihadiri beberapa personaliti media sosial.

Tambah Keith, pengunjung tidak hanya dapat menyaksikan koleksi dipamerkan, tetapi berpeluang memenangi hadiah utama iaitu permainan Nintendo Switch dan kad hadiah bernilai RM500 dengan menyertai cabaran bermain permainan Pacman.

“Cabaran permainan itu diadakan bagi menghiburkan pengunjung selain memberi mereka peluang untuk memenangi hadiah ditawarkan.

“Pemilihan pemenang ditentukan berdasarkan mereka yang memungut mata tertinggi dan selain cabaran berkenaan, beberapa aktiviti sampingan lain turut diadakan bagi memeriahkan acara.

“Antaranya permainan mesin tikam yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan kios fotografi sebagai ruang untuk pengunjung bergambar dengan rakan dan seisi keluarga mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 9:00am
d