hati

Ilham mencipta gaya

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Rekaan fesyen sebati dalam darahnya, malah menjadi impiannya untuk melahirkan jenama sendiri dengan matlamat mencipta rekaan inklusif yang boleh dibanggakan serta melahirkan keyakinan kepada setiap wanita yang menyarung busana rekaannya.

Wanita ini sentiasa percaya fesyen harus menyatukan manusia melangkaui komuniti, umur, saiz dan bajet.

Bagi Pengasas Butik Vini G, Vineeta Goel, menerusi rekaannya, dia mahu memecahkan tembok persepsi bahawa penyesuaian, eksklusif dan kualiti hanya untuk kelompok atasan.

“Saya mahu setiap wanita tahu bahawa untuk kelihatan dan berasa cantik, mereka tidak perlu memiliki banyak wang. Itulah sebabnya kami mencipta gaya, bukannya trend kerana gaya adalah selama-lamanya dan berkekalan.

“Saya tahu saya boleh melakukan semua ini jika memulakan perniagaan fesyen sendiri. Begitulah bagaimana jenama ini dilahirkan, ia jenama untuk wanita biasa,” katanya.

Cemerlang dalam rekaan Melayu dan India, Vini G adalah destinasi fesyen sehenti di Bangsar dengan lebih 400 jenis fabrik eksklusif terpilih, rundingan peribadi malah mengukur, menjahit dan menghias dibuat dari awal hingga akhir.

Melalui cara ini, katanya, wanita yang sibuk tidak perlu tertekan untuk mengunjungi banyak tempat membuat pakaian kerana butik itu menawarkan segala-galanya di bawah satu bumbung.

Butik itu juga yang pertama melakukan pencelupan khusus (ikat-celup) dan menjadi perintis di Malaysia. Baru-baru ini, koleksi tudung dan blaus wanita serta kemeja lelaki ikat-celup dilancarkan di butik itu.

Menggemari rekaan fusion, Vineeta menerapkan gabungan itu bagi membolehkan rekaan klasik tradisional dalam rupa kontemporari.

“Inilah caranya untuk kita mengekalkan tradisi agar ia tetap hidup dan segar. Pelanggan menyukai prinsip kami ini kerana mereka boleh membawa kebaya lama tetapi berharga atau pakaian lain untuk diberi sentuhan segar dan kontemporari.

“Kami juga menghasilkan busana sedia dipakai (RTW), koleksi formal dan koleksi ikat-celup dibuat khusus selain perkhidmatan peribadi yang menjadi teras identiti kami,” katanya.

Menurut wanita berasal dari India ini, dia juga melalui beberapa cabaran pada permulaannya berjinak-jinak dengan rekaan fesyen.

Katanya, berasal dari negara itu, semua orang menyangkakan dia hanya membuat rekaan berkonsep India. Jadi, dia ingin membuktikan bahawa seorang pereka tidak semestinya ditentukan dari mana tempat asalnya.

“Secara perlahan dan melalui mulut ke mulut, orang tahu saya juga menghasilkan busana Melayu. Malah dengan khidmat sentuhan khusus dan peribadi, kami berjaya mencapai matlamat sebagai jenama fesyen yang merangkumi semua.

“Cabaran terakhir adalah persepsi orang bahawa pakaian yang mendapat sentuhan pereka bermakna mahal. Saya memulakan semua ini kerana berhasrat menjadi pereka bagi wanita biasa. Itulah sebabnya kami cuba menjadikan semua rekaan kami pelbagai guna,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 11:00am
d