hati

Cikgu model fesyen muslimah

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Menggalas tugas sebagai pendidik menuntut pengorbanan dan kecekalan lebih-lebih lagi pada zaman mencabar ini. Bagi mereka yang komited terhadap kerjaya itu pasti sanggup berdepan apa jua cabaran dalam melahirkan generasi berguna pada masa hadapan.

Bagi Faeizaratul Fareiza Isa, dia berminat menjadi pendidik sejak kecil dan selepas tamat persekolahan, dia melanjutkan pengajian di maktab perguruan sebelum mula mengajar subjek Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah 16 tahun lalu.

Tanpa mengetepikan tanggungjawab hakikinya sebagai pendidik, Fareiza nekad mencuba sesuatu yang baru untuk dirinya dengan menceburi bidang peragaan fesyen Muslimah dan kecantikan sejak 2011.

Baginya, kerjaya dan minat perlu seiring dan tiada salahnya mengetengahkan bakat yang dimiliki untuk menambah pendapatan.

Ternyata langkahnya menceburi bidang peragaan menampakkan hasilnya apabila wajahnya sering menghiasi media cetak menggayakan busana Muslimah beberapa butik terkenal di negara ini.

Komited dengan kedua-dua kerjaya yang menjadi sumber pendapatannya, dia tidak mahu menoleh ke belakang dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk memastikan kepuasan majikan dan pelanggan.

Ditambah status dirinya sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, Faeizaratul atau mesra disapa Jaja ini perlu berani mencabar diri selain usahanya itu tidak lain kerana mahu menambah pendapatan untuk menyara anak yang sedang membesar.

Wanita berasal dari Ipoh, Perak ini juga tidak kekok di depan lensa kamera kerana ia menjadi minatnya sejak remaja, namun kerjaya sebagai pendidik tetap utama di hatinya.

“Ramai yang bertanya bagaimana saya bahagikan tugas sebagai guru dan model sambilan atau sempatkah saya buat kedua-dua kerjaya dalam satu masa.

“Sebenarnya, bidang peragaan ini secara sambilan saja, jadi tiada masalah dalam pembahagian masa kerana guru mengajar setengah hari, selain hujung minggu dan cuti sekolah.

“Kerjaya dalam bidang peragaan juga jauh berbeza berbanding perguruan, tapi saya rasa seronok kerana dapat kenal dengan ramai orang selain teruja kerana berpeluang memperagakan koleksi baju yang cantik serta sering mendapat sentuhan solekan jurusolek artis terkenal dan hebat. Secara tidak langsung, tekanan kerja terus hilang,” katanya.

Walaupun kerjaya itu nampak menyeronokkan, tapi dia tidak lepas berdepan cabaran pada awal pembabitannya ketika industri fesyen Muslimah masih baru.

Ketika itu katanya, dia berpegang pada pendirian dan prinsip sendiri, tapi bimbang jika dikatakan ‘diva’ atau berlagak. Baginya, setiap orang mesti yakin dan berpegang pada pendirian, barulah dihormati selain tidak sesekali takut kerana rezeki itu datangnya dari Allah.

Dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, ketiga-tiga anaknya menjadi sumber kekuatannya, malah mereka tahu dia mencari rezeki halal untuk mereka sekeluarga.

Ibunya turut menjadi penguat semangat dan wanita itu yang membantu menjaga anaknya apabila bekerja.

“Saya meneruskan kehidupan dengan positif bersama insan tersayang yang sentiasa ada bersama saya, beri sokongan tak kira dalam waktu susah atau senang.

“Pengertian daripada mereka pun sudah cukup sebenarnya dan itu yang menjadi kekuatan dalam hidup. Saya sudah banyak melalui episod duka, tapi tidak suka bersedih dan murung hingga mengganggu emosi.

“Saya perlu kuat demi anak, kalau jatuh terus bangkit dan lawan rasa sedih. Percaya kepada Allah sebab orang yang sabar selalu menang. Janji Allah itu pasti,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 2:14pm
d